KEROHANIAN peribadi Ramadan dalam dua tahun belakangan ini tentunya telah ditambah dengan lebih banyak elemen sosial pada tahun ini apabila telah dibenarkan keluar untuk buka puasa, tarawih, moreh dan sahur. Di Negeri Sembilan, menziarahi... Klik di sini untuk terus membaca

KEROHANIAN peribadi Ramadan dalam dua tahun belakangan ini tentunya telah ditambah dengan lebih banyak elemen sosial pada tahun ini apabila telah dibenarkan keluar untuk buka puasa, tarawih, moreh dan sahur.

Di Negeri Sembilan, menziarahi pelbagai masjid berbeza telah memberi pengajaran yang tak disangka. Terdapat aspek sejarah iaitu apabila seni bina dan reka bentuk dalaman menggambarkan tahun (dan perbelanjaan) pembinaan.

Malah masjid kariah juga sangat pelbagai dari segi tiang seri, ayat-ayat pada seni khat, penggunaan bentuk (selalunya bintang dan bulan sabit) yang ditebuk pada dinding konkrit untuk pengudaraan dan penggunaan kaca berwarna yang serba mewah.

Terdapat juga aspek sosiologi iaitu beberapa jemaah yang tiada anak muda manakala beberapa yang lain penuh dengan pelajar tahfiz berserban mengalunkan bacaan ‘ameen’ yang merdu.

HIDUPKAN SEMULA PERSAHABATAN

Di Kuala Lumpur, acara buka puasa telah memberikan peluang yang jarang berlaku kepada kakitangan untuk berkumpul menghidupkan semula persahabatan dan mengembalikan kebersamaan fokus yang diperlukan oleh organisasi. Namun, pelbagai kejadian lain pada Ramadan kali ini memberikan banyak perkara untuk difikirkan khususnya kepada Muslim di Malaysia.

Salah satunya adalah merupakan kononnya isu agama, tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai keterangkuman iaitu siapakah yang dibenarkan untuk memanggil diri mereka sebagai Muslim.

Hal ini timbul apabila terdapat percanggahan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) mengenai pengiktirafan terhadap Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani – sebuah tarekat tasawuf terkenal di peringkat antarabangsa yang secara rasmi diiktiraf di Negeri Sembilan sejak tahun 2018.

Satu kenyataan yang jelas dari Sultan Selangor atas kapasiti baginda sebagai Pengerusi MKI mengesahkan bahawa tarekat tersebut dibenarkan untuk diamalkan, maka Perlembagaan Persekutuan haruslah dijunjung. Hal ehwal agama Islam berada di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu dan hal ini perlu dikekalkan untuk mengelakkan hal ehwal agama dipolitikkan.

Pempolitikan sebegini akan mengganggu ketenteraman dan keharmonian bukan sahaja dalam masyarakat Islam, bahkan juga antara orang Islam dan bukan Islam serta antara negara seperti yang kita saksikan di seluruh dunia.

Penyalahgunaan agama sebegini amat subur dalam masyarakat yang mengalami kacau-bilau politik atau sosioekonomi: disebabkan itu, badan-badan pemikir dan masyarakat sivil mempunyai peranan penting dalam menangani isu-isu seperti kos sara hidup, pekerjaan, perumahan, pendidikan dan sebagainya.

Perkara-perkara ini memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia dan penyelesaian permasalahan ini akan melemahkan percubaan ahli politik untuk melakukan hasutan perpecahan kaum.

Hal ini perlu diiringi dengan keperluan melakukan pembaharuan institusi seperti mengukuhkan Parlimen agar perbahasan disandarkan kepada kajian dan pengalaman berbanding berdasarkan kaum, agama atau personaliti politik. Sebaliknya, dua kes di mahkamah kini telah menyebabkan introspeksi tertentu.

Kes pertama adalah mengenai sabitan (dan rayuan yang akan dilakukan) terhadap pemanduan secara melulu menyebabkan kematian lapan orang remaja. Di sini bukanlah tempat untuk meluahkan semula fakta yang diketahui ramai, tetapi persoalan yang diutarakan mengenai kes ini amat ketara secara umumnya terbahagi kepada dua bahagian.

Persoalan lebih teknikal dan bersifat perundangan termasuk "Mengapakah pihak yang dituduh menggunakan kenyataan tidak bersumpah berbanding kenyataan bersumpah?” atau "Bagaimanakah kereta yang dipandu perlahan boleh menyebabkan lapan kematian dan kemudiannya terbalik?”

EKSPLOITASI AGENDA PERKAUMAN

Tetapi persoalan yang lebih meluas tentang basikal lajak telah ditanyakan. Media sosial dibanjiri dengan pelbagai video menunjukkan kanak-kanak menunggang basikal tanpa brek dan lampu pada kelajuan tinggi dan dalam formasi sambil melakukan lagak ngeri.

Terdapat komentar dari ibu bapa yang menyokong kedai-kedai yang menjual peralatan yang diperlukan tanpa sebarang perakuan (mahupun kecaman) terhadap risiko keselamatan yang ada.

Menariknya, hanya kanak-kanak Melayu yang melakukan aktiviti ini. Semestinya apabila pemandu dan mangsa terdiri dari kaum berlainan, akan terdapat pihak yang mengeksploitasi agenda perkauman.

Oleh itu, persoalan yang tepat mengenai kesedaran keselamatan, peraturan lalu lintas dan sikap di jalan raya, keibubapaan dan ketersediaan hiburan yang selamat untuk kanak-kanak perlu dijawab. Jika tidak kita akan melihat lebih banyak tragedi dan perpecahan.

Keselamatan kanak-kanak terutamanya yang berkeperluan khas ditimbulkan oleh satu lagi kes di mahkamah: pengabaian kanak-kanak oleh seorang pengasas rumah kebajikan. Walaupun testimoni setakat ini amat menyakitkan hati - sehingga menggambarkan berlakunya penderaan sistematik – tidak sewajarnya kita terlebih dahulu menjatuhkan hukuman mendahului mahkamah.

Bagaimanapun, hal ini jelas memerlukan suatu tindakan segera diambil untuk undang-undang, latihan dan penguatkuasaan yang lebih baik.

Di Yayasan Chow Kit dan IDEAS Autism Centre, perlindungan kanak-kanak yang kami sediakan melebihi keperluan undang-undang termasuk latihan berterusan kepada kakitangan dan pekerja sosial serta audit luaran kami.

Hal ini amat menyedihkan apabila pusat jagaan lain terlepas daripada tindakan undang-undang walaupun melanggar mana-mana undang-undang yang telah ditetapkan disebabkan tiada ketegasan undang-undang dan penguatkuasaan yang lebih ketat, lalu mengakibatkan fitnah terhadap semua pusat jagaan, hasilnya: sokongan masyarakat yang semakin berkurang terhadap kanak-kanak yang sangat memerlukan.

Tanpa mengira sama ada melindungi kanak-kanak di jalanan mahupun di rumah penjagaan - atau pengikut tarekat - perlindungan yang lebih baik, kedaulatan undang-undang dan penguatkuasaan yang jelas merupakan satu kebaikan terhadap Muslim.

*Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Ahli Lembaga Pengarah di Yayasan Chow Kit dan IDEAS

Klik di sini untuk terus membaca