ISTERI saya mengeluh. Sesekali membebel tidak puas hati dan juga bersimpati melihat keadaan yang berlaku pada bulan Ramadan melalui berita semasa.
Katanya: "Awak tengok tu! Kenapa kejam sangat Israel ini. Tidak habis-habis nak buli rakyat Palestin.”
Saya hanya angguk-angguk bersetuju, bak kata pepatah sebagai ayam diasak malam, yang sekadar mampu melihat sahaja rakyat Palestin dibuli.
Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengeluarkan kenyataan. Seperti biasa bak kata pepatah, alur bertempuh, jalan berturut, dengan kerasnya mengutuk perlakuan Israel yang tidak menghormati Ramadan.
Seperti juga kata pepatah di atas, saya mengangguk dengan kenyataan keras dan berani Malaysia. Pada masa sama, sekali lagi saya menggelengkan kepala tidak bersetuju dengan perbuatan Israel yang tidak berhati perut.
Saya terbaca pula kenyataan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Katanya, Setiausaha Agung OIC iaitu H E Hissein Brahim Taha ada membuat panggilan telefon kepada H E Dr Riad Al-Malki iaitu Menteri Luar Palestin dan menyatakan: "Kami OIC akan tetap berdiri teguh di belakang rakyat Palestin. Kami juga dengan tegas menyokong untuk perjuangan hak rakyat Palestin.”
Dr Riad Al-Malik berkata: "Keadaan agak tegang. Kami ibarat menunggu mati sahaja disebabkan peningkatan pencerobohan oleh puak pelampau Israel. Mereka berani disebabkan tentera Israel melindungi mereka.”
Tanpa sedar, dengan spontan sekali lagi saya mengangguk-angguk dengan kenyataan berani OIC. Pada masa sama, mungkin pemikiran di bawah sedar saya menggeleng-gelengkan kepala pula mendengar ancaman dihadapi rakyat Palestin.
Tasnim Nazer, seorang wartawan menyatakan kita perlu sentiasa bercakap tentang penderitaan rakyat Palestin. Katanya, beberapa minggu lalu, seramai 158 rakyat Palestin cedera tetapi kurang mendapat liputan media.
Walaupun Turki, Jordan, Bahrain dan negara Islam lain ada menyatakan kutukan serta mengecam tindakan Israel, namun kata Tasnim, itu tidak cukup. Sepatutnya negara Islam bersatu untuk mengugut Israel menarik balik pelaburan tetapi mereka tidak melakukannya.
Saya mengangguk-angguk lagi, merujuk kepada penulisan Tasnim. Saya juga menggeleng-geleng kepala melihat tindakan negara Islam yang masih mempunyai hubungan dengan Israel.
Namun katanya, Presiden Recep Tayyip Erdoğan berkawan dan mengecam Israel tidak boleh dijadikan sebab yang sama. Katanya, beliau berkawan dengan Israel – lebih kepada hubungan politik ekonomi. Dan berkaitan keadaan Baitulmaqdis pula, kami adalah antara yang mempunyai suara lantang mengecam Israel.
Kata Presiden Turki itu lagi: "Kami juga telah meminta semua komuniti antarabangsa lebih sensitif dengan ketidakadilan yang berlaku kepada rakyat Palestin. Dan kami akan teruskan usaha ini dengan lebih lantang lagi.”
Saya mengangguk bersetuju walaupun saya tidak faham maksudnya tentang hubungan politik ekonomi. Saya berfikir, seperti kata pepatah lain pula – satu juga gendang yang berbunyi.
Selain itu, Ismael Patil, seorang penulis buku The Muslim Problem: From the British Empire to Islamophobia, menyatakan serangan Israel sebenarnya penghinaan buat orang Islam itu sendiri.
Menurut beliau, sejak 1967, Masjid al-Aqsa berada dalam keadaan bahaya. Pelampau Israel telah menduduki masjid itu mengikut kehendak mereka dengan alasan mereka juga mempunyai hak.
Ariel Sharon dan bala tenteranya pernah menyerbu Masjid al-Aqsa, menyebabkan rakyat Palestin menggerakkan Intifada.
Pada saat itu saya sudah penat untuk mengangguk-angguk atau menggeleng-geleng kepala. Cuma pepatah di atas sekali lagi memasuki benak fikiran saya. Kita tiada apa-apa dan tidaklah dapat berbuat apa-apa.
Kita hanya ibarat anjing mengunyah tulang. Kita mungkin ada keinginan melakukan sesuatu tetapi seperti kata pepatah lagi, barang yang jauh hendak dicekau, tangan pendek dihubung tak sampai. Dan kata saya pula, kita tidak akan dapat mengalahkan Israel!
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca