SHAH ALAM - Negara jiran, Indonesia dilihat lebih jauh ke hadapan dalam mengurus kedudukan fiskal mereka sejak 20 tahun lalu berbanding Malaysia.
Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, walaupun negara berkenaan mencatatkan belanjawan defisit, tetapi ia agak rendah, manakala saiz dan kos kerajaan mereka adalah relatif, munasabah serta terkawal berbanding Malaysia.
"Kedudukan fiskal Indonesia untuk suku tahun pertama 2022 di mana mereka di dalam lebihan. Antara sebabnya ialah kerana harga komoditi yang tinggi sekarang ini.
"Jika trend harga berterusan, hasil kerajaan itu akan bertambah dengan peningkatan cukai nilai tambah (VAT). Dengan pertambahan dan lebihan hasil itu, pemerintah Indonesia akan lebih mampu membantu rakyatnya memandangkan harga barang tinggi sekarang.
"Jelas Indonesia mengurus kedudukan fiskal mereka dengan lebih baik daripada Malaysia sejak 20 tahun lampau,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati yang melaporkan Indonesia mencatat lebihan bajet hampir AS$720 juta pada suku tahun pertama 2022.
Sementara itu, Nungsari berkata, Malaysia telah berada dalam defisit sejak tahun 1998 pada kadar yang lebih teruk berbanding Indonesia.
Menurutnya, Malaysia juga banyak berbelanja melalui hutang yang dibuat di luar belanjawan dan terpaksa dibayar oleh belanjawan kemudiannya.
"Oleh itu, hutang terkumpul kerajaan Malaysia adalah tinggi yang menyebabkan perbelanjaan servis hutang pun tinggi.
"Selain itu, hasil kerajaan menerusi pengeluaran negara kasar (GDP) semakin menurun sejak lebih 10 tahun. Jadi kena pinjam lagi.
"Apabila ada krisis seperti Covid-19, kerajaan tidak ada duit untuk membantu. Suruh rakyat gunakan duit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau minta bank tangguh kutip hutang. Perbelanjaan langsung untuk membantu tidak banyak.
"Skop fiskal kerajaan Malaysia adalah kecil bertanding Indonesia kerana hutang kita lebih tinggi, kos kerajaan lebih tinggi dan hasil kerajaan semakin berkurangan,” ujarnya.
Menurut Nungsari, Malaysia juga tidak menunjukkan kesungguhan untuk mengawal perbelanjaan dan kos berkenaan.
"Projek mega puluhan bilion diteruskan juga. Yang boleh minta pihak swasta buat, kerajaan juga nak buat.
"Berbanding Indonesia yang mempunyai ruang fiskal yang lebih luas kerana hasil kerajaannya semakin meningkat.
"Jumlah hutangnya juga kurang yang membolehkan negara itu berhutang lagi,” jelasnya.
Beliau juga berkata, kerajaan perlu mendahulukan keutamaan jelas untuk jangka masa pendek dengan membantu golongan yang terkesan teruk akibat Covid-19.
"Dengan membekalkan jaringan sosial untuk mereka secara bertumpu. Tangguhkan semua projek mega dan alihkan perbelanjaan kepada memperdalamkan dan meluaskan lagi jaringan keselamatan sosialnya.
"Kerajaan kena bertindak dengan cara meningkatkan keyakinan pelabur untuk tambahkan pelaburan dan kegiatan ekonomi.
"Itu satu lagi kelebihan Indonesia, mereka menerima banyak pelaburan walaupun dari negara Asean. Malaysia sudah ketinggalan jauh dari segi itu.
Tambah beliau, dasar negara sepatutnya lebih menekankan pertumbuhan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama dalam bidang baharu.
"Ia di mana syarikat Malaysia boleh bersaing di pasaran eksport. Tidak perlu beri tumpuan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca