SHAH ALAM - Pelik tetapi benar. Itulah istilah sesuai bagi menggambarkan situasi di Johor ketika ini apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad secara tiba-tiba 'mengkritik' keras Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelik tetapi benar.

Itulah istilah sesuai bagi menggambarkan situasi di Johor ketika ini apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad secara tiba-tiba 'mengkritik' keras Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, dengan menuduhnya menghina dewan kerana dikatakan tertidur ketika sidang berlangsung.

Berikutan itu, timbul persoalan apakah punca atau penyebab di sebalik 'ketegangan' antara dua pemimpin utama Johor tersebut yang masih segar dengan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, Hasni dalam kenyataan terbaharunya menjelaskan beliau tidak mahu Mohd Puad mengulangi peringatan Sultan Johor supaya wakil rakyat tidak menjadikan DUN sebagai ‘sangkar beruk’.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, Mohd Puad tidak seharusnya berkata demikian, meskipun sekadar untuk mengingatkan ADUN.

"Sebagai Speaker dan Ahli Dewan, seeloknya beliau beri jaminan serta mengutarakan pelan tindakan bagi memperkuat institusi demokrasi negeri dalam masa terdekat.

"Dalam konteks kedudukan beliau, reformasi politik, mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada institusi demokrasi serta ahli politik adalah lebih mustahak daripada memainkan sentimen ‘derogatory’ seperti itu,” katanya ketika mengulas peringatan Mohd Puad agar semua ADUN Johor mengimbau semula titah Sultan Johor, pada tahun lalu.

Sebelum itu, Mohd Puad mempertikaikan dakwaan Hasni bahawa beliau menghina dewan kerana tertidur ketika sidang DUN, baru-baru ini.

Berikutan itu, Mohd Puad tidak menolak kemungkinan sebenarnya Hasni yang tertidur dan bekas Menteri Besar itu boleh memeriksa 'hansard' DUN Johor jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkenaan tidak berpuas hati dengan penjelasannya.

"Apakah itu menghina? Kenapa Hasni mesti memetik daripada portal lain sedangkan dia ada dalam Dewan. Apakah dia tidur dalam Dewan? Hasni boleh semak hansard Dewan sebelum buat komen. Sebenarnya lena dalam Dewan adalah menghina Dewan.

"Datuk Hasni tuduh saya menghina DUN. Apa yang saya hina? Dia ada dalam Dewan. Dia mendengar apa yang saya kata," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, beliau hanya mengingatkan dan mengulangi titah Sultan Johor yang berkata, "Jangan cemarkan Dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk.

Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga mempersoalkan adakah tindakannya mengingatkan nasihat murni Sultan Johor sebelum ini dianggap sebagai satu penghinaan.

"Saya mengingatkan kepada titah nasihat Tuanku Sultan Ibrahim ketika pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Puad ketika dihubungi Sinar Premium enggan mengulas lanjut mengenai perbalahan beliau dengan Hasni.

Klik di sini untuk terus membaca