SHAH ALAM - Gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter yang melanda Bukit Tinggi di Sumatera, Indonesia pada 25 Februari lalu telah menyebabkan gegaran kuat dirasai di beberapa negeri di Malaysia terutama di Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Johor.
Gegaran tersebut mencetuskan bukan sahaja kekecohan tetapi juga rasa panik dalam kalangan orang ramai.
Kejadian itu membawa kepada persoalan sejauh mana selamatnya Malaysia yang berada sangat hampir dengan Lingkaran Api Pasifik?
Menurut Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Ir Dr Azlan Adnan, Malaysia semakin mengalami ancaman bahaya gempa berikutan epicenter atau pusat gempa yang berlaku berada dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik (Pacific Ring of Fire).
"Dan negara kerap kali merasai kesan gegaran kerana garis-garis sesar aktif yang menghasilkan banyak gempa bumi berada di Indonesia terutamanya dari Sumatera dan Filipina,” ujar Azlan kepada Sinar Premium.
Azlan yang juga Pensyarah Jabatan Struktur dan Bahan, Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan UTM berkata, ia menjadikan Malaysia tidak imun sepenuhnya terhadap gegaran gempa bumi.
Buktinya gempa bumi di Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015 direkodkan mencecah 6.0 pada skala Richter telah antara lain menyebabkan kerosakan teruk terhadap bangunan dan infrastruktur serta tanah runtuh.
Lebih malang, sejumlah 18 mangsa turut dilaporkan menjadi korban jiwa dalam kejadian gempa bumi tersebut yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara.
Gegaran 5.0 magnitud Kata Azlan lagi, hasil perbincangan dengan agensi terlibat dalam menghasilkan peta bahaya, gempa 5.0 magnitud dijangka boleh berlaku di Malaysia.
"Kita jangkakan gegaran berukuran 5.0 magnitud boleh berlaku di semenanjung.
"Kawasan berhampiran Lembah Klang, Bukit Tinggi (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan Manjung (Perak) ada sesar yang aktif dan kita masih belum dapat lihat pergerakan sebenar.
"Sesar aktif adalah rekahan muka bumi yang sentiasa bergerak yang boleh mencetuskan gempa bumi,” katanya lagi.
Ditanya kenapa kawasan yang disebutkan ini ada sesar aktif dan tidak di kawasan-kawasan lain, Azlan berkata, kerana kawasan berkenaan terletak di kawasan gunung-ganang yang berlurah di mana sesar aktif biasa terdapat.
"Untuk menghasilkan peta bahaya gempa, saiz 5 magnitud ini dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa sehingga 500 tahun akan datang,” katanya.
Tambah beliau, semua bangunan di Malaysia perlu direka bentuk untuk menahan kesan gempa, bergantung kepada tahap intensiti gegaran yang diukur dalam bentuk cepatan tanah (peak ground acceleration) seperti dalam Peta Bahaya Seismik yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (KMG) dan juga Jabatan Standard Malaysia (JSM).
Dalam pada itu, bekas Pensyarah Geologi Struktur dan Tetonik, Jabatan Geologi, Universiti Malaya, Profesor Madya Mustaffa Kamal Shuib mengakui, Malaysia sememangnya mengalami gempa bumi tempatan, selain menerima tempias gempa bumi dari luar.
"Di semenanjung, selain gegaran yang dirasai akibat gempa bumi di Sumatera, rekod gempa tempatan pertama direkodkan pada tahun 2007.
"Sejak tahun 2007 sudah terdapat gempa bumi berlaku yang puncanya berasal dari negara ini sendiri, misalnya di Kawasan Bukit Tinggi, Manjung dan Kuala Pilah,” kata Mustaffa Kamal.
Jelas beliau,dalam tempoh lapan tahun iaitu antara tahun 2007 hingga 2015, sebanyak 31 gegaran direkodkan Jabatan Meteorologi yang berskala sehingga 3.6 Richter di sekitar Bukit Tinggi.
Bagaimanapun, senario berbeza berlaku di Sabah dan Sarawak. Sejak 1970 hingga 2019, lebih 20 gempa bumi dikesan di Sarawak, manakala sejak tahun 1900 sehingga 2016, lebih 65 gempa bumi tempatan direkodkan di Sabah oleh United States Geological Survey.
Klik di sini untuk terus membaca