BAITULMAQDIS - Ramadan semakin hampir ke penghujungnya tetapi kesucian Masjid al-Aqsa masih dicemari dengan insiden keganasan pasukan keselamatan Israel di Baitulmaqdis. Kejadian terbaru itu berlaku baru-baru ini ramai menyaksikan penduduk... Klik di sini untuk terus membaca

BAITULMAQDIS - Ramadan semakin hampir ke penghujungnya tetapi kesucian Masjid al-Aqsa masih dicemari dengan insiden keganasan pasukan keselamatan Israel di Baitulmaqdis.

Kejadian terbaru itu berlaku baru-baru ini ramai menyaksikan penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan polis di dalam dan sekitar Masjid al-Aqsa.

Masjid itu ialah rumah ibadat ketiga paling suci Islam dan pada pagi Jumaat lalu, pertempuran baru meletus antara penunjuk perasaan Palestin dengan polis Israel menyebabkan sekurang-kurangnya 31 penduduk Palestin cedera.

Pihak polis dilaporkan melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah penduduk Palestin menyebabkan salah seorang daripadanya mengalami luka di kepala dan dibawa ke hospital Hadassah Baitulmaqdis.

Polis turut menggunakan dron untuk menyembur gas pemedih mata dari udara ke arah penunjuk perasaan Palestin selepas solat Jumaat sekali gus mengenai jemaah yang berada di dalam Kubah Emas di dalam kawasan pekarangan Masjid al-Aqsa.

Kira-kira 150,000 umat Islam dilaporkan pergi ke masjid untuk solat pada Jumaat lalu, menurut Wakaf Islam Baitulmaqdis.

Insiden yang mencemarkan kesucian masjid itu berlaku sebelum ini iaitu pada 15 April lalu semasa penduduk Yahudi meraikan perayaan Passover atau Paskah apabila pasukan keselamatan Israel mencederakan sekurang-kurangnya 158 penduduk Palestin dan menangkap 400 yang lain di dalam kawasan itu sepanjang minggu.

Perayaan Passover ialah perayaan yang memperingati pembebasan Yahudi daripada perhambaan Mesir.

Ratusan ribu umat Islam bersolat di pekarangan Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan tahun ini. - AFP

Insiden yang mencemarkan kesucian Masjid al-Aqsa itu juga berlaku disebabkan oleh sikap provokasi yang ditunjukkan oleh penduduk Yahudi dan layanan berat sebelah polis Israel.

Justeru, bekas Perdana Menteri Palestin yang juga pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pernah mengeluarkan kenyataan akhbar pada 15 April lalu dengan menyatakan pergerakannya akan bertindak balas sekiranya serangan daripada peneroka haram Yahudi berterusan di Masjid al-Aqsa dengan menegaskan ia akan mempertahankan masjid tersebut dalam apa jua keadaan dan menggariskan empat tuntutan untuk Israel.

LARANGAN PENYEMBELIHAN

Empat tuntutan itu ialah membenarkan jemaah Islam mengakses Masjid al-Aqsa dengan bebas dan tidak menyerang mereka di dalam pekarangannya, membebaskan tahanan yang ditahan pada 15 April lalu serta yang telah ditangkap sebelum ini, menghalang sebarang penyembelihan haiwan di dalam masjid tersebut sekali gus merujuk kepada ancaman kumpulan Yahudi ekstremis untuk melakukan korban di perkarangan masjid dan menamatkan pembunuhan di Jenin serta di seluruh Tebing Barat.

Tuntutan larangan penyembelihan itu telah menyebabkan sebuah kumpulan Yahudi gagal untuk menyembelih kambing di masjid tersebut.

Pada Khamis lalu, Haniyeh sekali lagi menyatakan dalam kenyataan akhbar bahawa dasar serbuan ke Masjid al-Aqsa akan ‘ditewaskan’ oleh Hamas dan ia menyeru penduduk Palestin untuk pergi beramai-ramai ke masjid tersebut pada Jumaat untuk menunaikan solat Subuh serta mempertahankannya daripada pencabulan Israel.

Seruan itu akhirnya diikuti oleh penduduk Palestin apabila ramai yang mengerjakan solat subuh dan lebih 100,000 umat Islam menunaikan solat Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun, insiden polis Israel bertindak ganas ke atas penduduk Palestin di Masjid al-Aqsa masih berterusan pada subuh dan selepas solat Jumaat baru-baru ini.

Tindakan ganas itu yang sudah sinonim dilakukan oleh pasukan keselamatan Israel kerana polis rejim Zionis sebelum ini bertindak berat sebelah ketika berurusan dengan penduduk Yahudi dan Palestin.

Seorang penduduk yang juga peniaga Palestin, Alaa Zorba memberitahu agensi berita AFP bahawa dia telah melihat seorang pegawai keselamatan Israel memeriksa dokumen milik seorang penduduk Palestin yang ingin pergi solat di Masjid al-Aqsa tetapi menolaknya tanpa sebab yang jelas.

Tidak lama selepas itu, pegawai yang sama mengucapkan selamat bergembira pada hari Passover kepada seorang penduduk Yahudi yang melepasinya.

Dan dalam apa yang dilihat oleh penduduk Palestin sebagai provokasi terang-terangan, semakin ramai penganut agama Yahudi melawat ke pekarangan masjid tersebut.

Secara tradisi, penduduk Yahudi dibenarkan melawat tetapi tidak boleh berdoa di pekarangan Masjid al-Aqsa yang turut menempatkan Temple Mount untuk penganut agama Yahudi.

Bagaimanapun, usaha Hamas untuk menjaga kesucian Masjid al-Aqsa tidak banyak bergantung kepada masyarakat antarabangsa yang dilihat tidak berlaku adil kepada penduduk Palestin, kata jurucakap Hamas di Lubnan, Jihad Taha memberitahu portal berita Al-Monitor.

Menurutnya lagi, mempertahankan Masjid al-Aqsa adalah keutamaan bagi Hamas.

Setakat ini, bantuan masyarakat antarbangsa hanya memandang sebelah mata tentang isu kesucian Masjid al-Aqsa berbanding dengan masalah Perang Ukraine yang menampilkan banyak bantahan dan sekatan ekonomi dilakukan ke atas Rusia yang menyerang negara jirannya itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca