SHAH ALAM - Berbanding negara aktif gempa seperti Jepun pembinaan bangunan di Malaysia lebih banyak menumpukan kepada konsep pengukuhan struktur berbanding konsep pengasingan seismik (seismic isolation). Menurut Pensyarah Jabatan Seni Bina... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Berbanding negara aktif gempa seperti Jepun pembinaan bangunan di Malaysia lebih banyak menumpukan kepada konsep pengukuhan struktur berbanding konsep pengasingan seismik (seismic isolation).

Menurut Pensyarah Jabatan Seni Bina (Industri) Universiti Malaya, Profesor Madya Ar Sarly Adre Sarkum, konsep pengukuhan struktur bangunan bermakna struktur bangunan diperkuatkan agar dapat menahan gegaran gempa.

Katanya, konsep pengukuhan struktur adalah lebih sesuai di Malaysia berikutan negara jarang dilanda gempa bumi.

"Tidak berbaloi untuk Malaysia yang mempunyai tahap risiko rendah gempa bumi untuk membelanjakan sejumlah besar wang melakukan konsep pengasingan seismik.

"Ini kerana kadar gempa bumi di negara kita adalah jarang dan tidak tinggi pada skala Richter,” kata Sarly Adre kepada Sinar Premium.Ujarnya, dalam mereka sesebuah bangunan tahan gempa beberapa faktor perlu diambil kira antaranya keadaan saiz dan tinggi bangunan dan dari segi kos adalah berbeza mengikut keperluan.

"Namun kos untuk pengukuhan struktur boleh menjangkau 10 peratus lebih mahal bergantung pada lokasi, keadaan tanah dan persekitaran lokasi seperti di lereng bukit dan lain-lain,” katanya.

Tambah beliau, kebanyakan bangunan yang mempunyai pengukuhan struktur terletak di Sabah berikutan negeri itu lebih berisiko tinggi dilanda gempa berbanding di Semenanjung.

Sementara itu, konsep pengasingan seismik sangat efektif digunakan di Jepun yang mengalami lebih kurang 2,000 gempa bumi setiap tahun.

Gambar menunjukkan perbezaan pergerakan bangunan ketika gempa bumi (dengan dan tanpa konsep pengasingan seismik )

"Dengan kekerapan gempa bumi mencecah 2,000 setiap tahun dan lebih 200 daripadanya melebihi 1 pada skala Richter, semua bangunan di Jepun adalah tahan gempa.

"Namun bangunan pencakar langit dan bangunan-bangunan penting yang berkos tinggi terutamanya mempunyai sistem terbaik iaitu pengasingan seismik sebagai perlindungan daripada gempa,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Firma Sarly Adre Sarkum Architecture Sdn Bhd menambah, penggunaan sistem pengasingan seismik dapat mengurangkan atau mengawal goyang disebabkan gempa.

"Sistem tersebut bermakna seluruh struktur bangunan adalah terpisah daripada tanah. Ia tersembunyi namun mampu mengelak bangunan daripada bergoyang apabila berlaku gempa bumi,” katanya lagi.

Pengasingan seismik berfungsi apabila seluruh struktur bangunan dipisahkan dari bumi secara fizikal.

Selalunya dilakukan dengan menggunakan bearing getah dan ‘sliding seismic isolators’ yang terletak di antara struktur bangunan dan tapak bangunan.

Katanya, satu contoh bangunan terkenal di Jepun yang menggunakan sistem pengasingan seismik adalah Sendai Mediatheque yang direkabentuk oleh arkitek terkenal, Toyo Ito.

Bangunan kaca itu mengalami hampir tiada kerosakan selepas gempa bumi kuat yang melanda Sendai pada tahun 2011.

Klik di sini untuk terus membaca