ENTAHLAH tapi Belalang tak tahu memikirkan bagaimana manusia dengan mudah sekali kena tipu dan ditipu di bawah Macau Scam. Apakah mereka didorong oleh ketakutan yang teramat sangat sehingga sanggup melepaskan wang simpanan dengan mudah dan... Klik di sini untuk terus membaca

ENTAHLAH tapi Belalang tak tahu memikirkan bagaimana manusia dengan mudah sekali kena tipu dan ditipu di bawah Macau Scam.

Apakah mereka didorong oleh ketakutan yang teramat sangat sehingga sanggup melepaskan wang simpanan dengan mudah dan begitu sahaja atau terlalu bodoh sehingga tidak sedar sedang ditipu.

Jumlah yang kena tipu itu pula bukan sedikit tapi beratus ribu dan dalam beberapa kes berjuta-juta ringgit.

Yang Belalang dengar kes terbaru sampai kehilangan RM7 juta dalam sekelip mata.

Belalang hairan bagaimana mereka di sebalik skim jahat ini begitu hebat dan meyakinkan menyamar sebagai pegawai Jabatan Hasil Dalam Negeri, pegawai polis, pegawai bank dan entah macam-macam lagi.

Yang pertama sekali bagaimana mereka berjaya memperoleh nombor telefon mangsa, nombor kad pengenalan dan data peribadi mangsa.

Siapa yang menyalurkan semua ini kepada pihak scammer? Dah tentu ada sindiket.

Inilah yang menjadi punca mengapa begitu ramai orang khuatir data peribadi mereka terlepas ke tangan pihak ketiga.

Sebab itulah apabila penjelasan mengenai keselamatan data di bawah MySejahtera dipertikaikan, ia adalah kerana orang ramai khuatir akan perkara-perkara seperti Macau Scam inilah.

Cara terbaik ialah untuk tidak mempedulikan panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

Namun sejauh manakah mangsa dapat mengelak daripada tidak mengangkat panggilan yang tak dikenali itu?

Satu lagi penipuan yang sedang berleluasa sekarang ialah Love Scam. Itu pun juga sangat menakjubkan dan paling ajaib.

Bagaimana manusia sanggup melepaskan wang simpanan mereka dengan jumlah yang begitu banyak kepada seseorang yang tak dikenali dan tak pernah ditemui.

Mereka hanya berkawan menerusi internet dan tak pernah bersua muka secara fizikal pun tapi selepas beberapa minggu rela menyerahkan wang simpanan seumur hidup kepada orang asing atas nama cinta.

Bukan sedikit, malah sampai beratus ribu juga malah ada kes sampai lebih sejuta ringgit.

Macam tak masuk akal tapi itulah hakikatnya. Ia tetap berlaku dan dah berlaku.

Kadang-kadang Belalang terfikir juga apakah mereka ini kena pukau. Boleh ke orang kena pukau atau dipukau menerusi dalam talian?

Belalang - Dalam waspada pun kadang-kadang hampir tertipu juga....

Klik di sini untuk terus membaca