MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 14 April lalu telah memutuskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini tidak akan diteruskan. Pada... Klik di sini untuk terus membaca

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 14 April lalu telah memutuskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini tidak akan diteruskan.

Pada September tahun lalu, politik Malaysia membuka satu lembaran baharu apabila MoU tersebut dimeterai bagi memastikan tiada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sebelum 31 Julai.

"Apabila UMNO sebulat suara memutuskan MoU berkenaan tidak akan diteruskan selepas 31 Julai, itu bermakna selepas tarikh tersebut, PRU15 boleh diadakan pada bila-bila masa,” tulis Sin Chew Daily melalui ruangan Lidah Pengarangnya baru-baru ini.

Akhbar tersebut mengulas, keputusan UMNO itu bertujuan untuk mempercepatkan PRU bagi mendapatkan semula mandat baharu daripada rakyat.

"Walaupun jawatan Perdana Menteri dipegang oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetapi UMNO masih gagal menguasai kerajaan secara sepenuhnya apabila masih bergantung sokongan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

"Pucuk pimpinan UMNO kini turut berusaha memperkukuhkan kedudukan dan cuba mendapatkan sokongan daripada kalangan ahli parti.

"Melalui PRU, pucuk pimpinan UMNO tentunya ingin memastikan pihaknya mampu menguasai parti dengan kukuh. Itulah sebabnya kenapa UMNO seperti tidak sabar lagi untuk mengadakan PRU,” tulis akhbar itu.

LANJUT MoU

Mengenai masalah Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai pandangan berbeza terhadap keputusan UMNO yang berhasrat mahu mengadakan PRU secepat yang mungkin, Sin Chew Daily mempunyai ulasan.

Menurut akhbar Cina itu, walaupun Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu meminta penjelasan daripada Ismail Sabri berhubung pendirian UMNO enggan melanjutkan MoU antara kerajaan dan PH, ia ternyata satu usaha yang sia-sia memandangkan Naib Presiden UMNO itu masih terikat dengan keputusan parti.

Dalam pada itu, Sin Chew Daily turut mengulas mengenai sesi persekolahan yang baharu yang telah dibuka tanpa menggunakan sistem penggiliran mulai minggu ini.

"Kehadiran murid-murid dan sesi persekolahan dilaksanakan sama seperti sebelum pandemik Covid-19 menular masih menimbulkan pelbagai reaksi berbeza.

"Bagi guru, kembalinya murid ke dalam kelas sudah tentu mampu memudahkan pembelajaran berbanding secara dalam talian berikutan timbulnya banyak masalah yang dialami sesetengah murid seperti ketidakstabilan talian internet, ketiadaan komputer dan sebagainya.

"Sebaliknya, bagi golongan ibu bapa, mereka tetap rasa bimbang kerana anak-anak mereka mungkin terdedah risiko penularan virus dalam kawasan sekolah,” jelas akhbar berkenaan.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, kementerian akan terus memantau keadaan murid yang datang ke sekolah.

"Kita berharap Kementerian Pendidikan benar-benar memastikan keselamatan murid di sekolah agar mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.

"Kita tidak mahu lagi ada murid yang disahkan dijangkiti virus berkenaan sehingga sekolah terpaksa ditutup semula.

"Sehubungan itu, pihak sekolah perlu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) secara ketat dan jelas. Ia bukan sahaja mampu menjamin keselesaan dan keselamatan murid, malah boleh mengelak sebarang perasaan bimbang dan curiga ibu bapa,” tulis akhbar itu lagi.

Walaupun negara telah memasuki peralihan ke fasa endemik, namun semua pihak mesti mempertingkatkan pengawasan di tempat-tempat awam lebih-lebih lagi dalam kawasan sekolah.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca