TINDAKAN 528 etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap rabu lalu mudah difahami.
Mustahil manusia yang menggadai nyawa dengan menaiki bot-bot kecil meredah lautan luas akan terus duduk dalam tahanan selama bertahun-tahun tanpa mengetahui untung nasib mereka pada masa hadapan.
Kematian enam orang etnik Rohingya dilanggar kenderaan ketika melarikan diri pula adalah satu satu tragedi Ramadan yang menuntut kita menilai semula pendekatan kemanusiaan terhadap mereka.
Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia sehingga akhir Mac 2022 terdapat 182,120 orang pelarian yang berdaftar dengan mereka tujuan mendapat suaka dari negara seperti Australia atau Amerika Syarikat.
Myanmar menjadi penyumbang terbesar kehadiran pelarian di negara ini iaitu sebanyak menyumbang 156,110 orang pelarian yang merangkumi 103,810 etnik Rohingya, 22,700 etnik Chins, dan 29,600 dari pelbagai etnik lain.
Selebihnya terdapat 26,000 pelarian dari 50 buah negara yang melarikan diri dari peperangan dan pendakwaan. Daripada jumlah ini 45,800 orang adalah kanak-kanak di bawah 18 tahun.
Mereka hanya dibenarkan bekerja sambilan atau gaji harian. Ini mendedahkan mereka kepada penganiayaan oleh majikan dan terus berada dalam kemiskinan, serta mendorong anak-anak menjadi pengemis jalanan. Ini semua masalah sosial yang sedang berlegar di Lembah Klang dan memerlukan penyelesaian cara baharu.
Anak-anak mereka juga hanya mendapat pendidikan tidak formal dari pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang bersimpati dan mempunyai dana untuk membantu memberi pendidikan.
Tanpa pendidikan formal mereka tiada jalan untuk mengubah masa depan sama ada di negara asal nanti atau di negara ketiga yang memberi suaka. Lebih membimbangkan jika mereka gagal ditempatkan di negara maju atau kembali ke negara mereka, maka ia akan terus menjadi satu pandemik sosial di negara kita pada masa hadapan.
DILEMA MALAYSIA
Malaysia berhadapan dilema. Sekiranya pelarian ini diberi peluang pekerjaan dan pendidikan yang baik meraka akan terus tinggal di negara ini. Ia akan menjejaskan rakyat tempatan dan juga akan menggalakkan lebih ramai penduduk Myanmar melarikan di ke Malaysia.
Namun dalam masa yang sama Malaysia tidak boleh menjadi seperti ‘separa Myanmar’ yang tidak mempedulikan nasib dan masa depan etnik Rohingya ini.
Negara ini harus ada nilai kemanusiaan yang lebih baik dari negara serantau.
Dalam kala kita membiarkan etnik Rohingya merempat dan menempatkan mereka di depo tahanan, ratusan ribu warga Myanmar (2019) bekerja di negara ini dan membantu memakmurkan ekonomi rejim Myanmar.
Sudah tiba masanya kerajaan menamatkan semua pekerja dari Myanmar. Tempat mereka boleh diganti oleh ratusan ribu pelarian Myanmar yang terpaksa ditanggung oleh negara ini.
Sudah tiba masanya juga untuk kerajaan dan UNCHR mencari formula membenarkan mereka bekerja dan mendapat pendidikan tanpa menjejaskan status pelarian mereka.
Salah satu kaedah yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh kerajaan adalah mengarahkan syarikat-syarikat perladangan yang mahu mengambil tenaga asing agar mengambil kumpulan ini dan mewujudkan komuniti mereka di ladang-ladang.
Syarikat-syarikat perladangan boleh memberi kemahiran berladang dan menyediakan pendidikan anak-anak Rohingya seperti mana yang dibuat kepada pekerja-pekerja ladang dari India sebelum kemerdekaan negara.
Ini akan menyediakan Rohingya dengan kemahiran kerja dan pendidikan yang diperlukan sama ada untuk meneruskan kelangsungan di negara ketiga atau di Myanmar pada masa hadapan.
Kemahiran ladang juga mungkin akan mempercepatkan penerimaan pelarian oleh negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand yang memerlukan pekerja ladang yang ramai.
Pada tahun 2020, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid pernah memberitahu bahawa kerajaan sedang mengenal pasti negara lain yang mahu menerima pelarian, terutamanya etnik Rohingya.
Hanya satu cara untuk meyakinkan negara lain menerima pelarian ini ialah mereka mempunyai kemahiran untuk hidup di negara terbabit.
Memberi kemahiran bekerja dan pendidikan asas adalah situasi menang-menang kepada negara kita, pelarian dan juga negara yang akan memberi suaka kepada mereka.
* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca