NEGARA makmur, rakyat jelata tidak semestinya makmur kalau kekayaan negara dicuri oleh pemerintah yang korup dan dibolot segelintir golongan kaya. Begitu juga dengan pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi tidak akan membawa... Klik di sini untuk terus membaca

NEGARA makmur, rakyat jelata tidak semestinya makmur kalau kekayaan negara dicuri oleh pemerintah yang korup dan dibolot segelintir golongan kaya.

Begitu juga dengan pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi tidak akan membawa kebaikan kepada rakyat jelata jika pembahagiannya tidak sama rata.

Hal ini menjadi lebih relevan dan mendesak dalam suasana di mana ekonomi dunia dan negara mula pulih daripada kemerosotan global akibat pandemik Covid-19.

Sebelum Covid-19 melanda Malaysia bermula 25 Januari 2020, ekonomi kita berkembang pada kadar sederhana 4.3 peratus. Maksudnya kalau pada awal 2019 kita ada RM100 dalam poket, pada hujung tahun jumlah itu bertambah menjadi RM104.30. Kekayaan kita bertambah.

Tetapi pada tahun 2020, ekonomi kita bukan saja tidak berkembang malah kecut terus. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 5.6 peratus, Maksudnya duit RM104.30 yang ada dalam poket kita susut kepada RM98.70.

Akibat kejatuhan kekayaan inilah maka lebih setengah juta isi rumah kumpulan berpendapatan pertengahan (M40) jatuh menjadi kumpulan pendapatan rendah (B40).

Pada 21 September 2021, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, sebanyak 580,000 isi rumah M40 telah dikategorikan semula sebagai B40 atau kira-kira 20 peratus kumpulan pendapatan pertengahan.

Tahun lalu, ekonomi Malaysia mula pulih bagi mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus. Tetapi akibat kemerosotan teruk pada tahun 2020 dan pertumbuhan rendah tahun lalu maka masih banyak rakyat jelata yang belum merasa kesan pemulihan tersebut.

Rantaian pembekalan global yang terputus akibat kawalan pergerakan menyebabkan gangguan kepada pengeluaran dan penghantaran barangan pengguna dan perindustrian. Ini menyebabkan kenaikan harga dan kadar Inflasi yang mendadak. Keadaan menjadi lebih buruk akibat peperangan Rusia-Ukraine.

PEMBAHAGIAN KEKAYAAN TIDAK RATA

Salah satu kelemahan pokok ekonomi Malaysia adalah sistem pembahagian kekayaan yang tidak sama rata. Walaupun ekonomi berkembang tetapi sebahagian besar rakyat jelata tidak mendapat hasilnya.

Di sinilah terletak cabaran terhadap tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempercepatkan pemulihan guna tenaga dan penjanaan keuntungan, khususnya bagi faedah Bumiputera.

Pulangan pelaburan agensi-agensi ini merosot teruk sejak dengan nyata sejak sedekad dua ini bukan sahaja kerana faktor-faktor ekonomi tetapi juga akibat ketidakcekapan, penyelewengan dan rasuah.

Misalnya Tabung Haji, Felda, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan KhazanahNasionalBersatu. Hatta Permodalan Nasional Berhad (PNB) pun sudah mula menunjukkan aliran yang serupa. membimbangkan. Pulangan skim-skim amanah saham tajaannya semakin merosot.

Itu belum diambil kira keterdedahannya kepada beberapa pelaburan bermasalah seperti Sapura Energy Berhad dan hutang bagi membina pencakar langit Merdeka 118.

Yang terbaru dividen sementara Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2022 sebanyak 2.5 sen seunit terdiri daripada 2.15 sen dividen dan 0.35 sen bonus.

Pada kadar ini, pulangannya hampir-hampir habis ditelan oleh Inflasi yang diramalkan oleh Bank Negara antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus tahun ini. Lebih kurang macam dialog filem Almarhum P Ramlee masuk angin keluar asap.

Cuma dalam hal ini, pelabur yang semuanya Bumiputera melabur duit mereka dengan harapan memperoleh pulangan yang cukup untuk melindungi mereka daripada inflasi tetapi hampa.

Bukan itu saja , AHB yang tujuan tersiratnya adalah menambah aset hartanah Bumiputera, telah menukar kaedah pembayaran dividen daripada tunai kepada unit. Hanya pelabur kecil dengan 10,000 unit saham atau kurang dibayar tunai.

Ini bukanlah apa yang diamalkan sebelum ini dan sekali gus mencetuskan tanda tanya apakah AHB mengalami masalah aliran tunai?

Tidak kurang penting adalah persoalan sama ada unit baru yang diwujudkan itu disokong oleh aset tambahan dan aliran pendapatan yang mencukupi.

Kesimpulannya, bukan rakyat jelata yang tidak mempunyai simpanan dan pelaburan sahaja yang menderita kesan kemerosatan ekonomi dan pengurusan negara yang kurang meyakinkan malah yang ada simpanan dan pelaburan pun turut merasa kesan buruknya.

Malaysia menderita nasib malang yang berganda apabila di saat-saat dunia mengalami kegawatan ekonomi akibat Covid-19, kita dibebankan pula oleh rampasan kuasa tebuk atap "Sheraton Move".

Wallahualam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca