PEMIMPIN negara-negara anggota ASEAN dijangka akan bertemu dengan Presiden AS, Joe Biden di kediaman rasminya Rumah Putih Washington DC untuk Sidang Kemuncak khas AS-ASEAN. Sidang kemuncak khas AS-ASEAN sepatutnya diadakan pada bulan Mac... Klik di sini untuk terus membaca

PEMIMPIN negara-negara anggota ASEAN dijangka akan bertemu dengan Presiden AS, Joe Biden di kediaman rasminya Rumah Putih Washington DC untuk Sidang Kemuncak khas AS-ASEAN.

Sidang kemuncak khas AS-ASEAN sepatutnya diadakan pada bulan Mac tetapi terpaksa ditangguh ke Mei kerana kesukaran dalam kalangan pemimpin untuk menentukan tarikh yang sesuai. Akhir tarikh yang dipersetujui adalah pertengahan Mei (12-13).

Bagaimanapun sidang kemuncak khas ini diadakan ketika ketegangan di Laut China Selatan, perbezaan pendapat di kalangan anggota ASEAN berhubung tindak balasnya terhadap krisis di Myanmar selepas rampasan kuasa setahun lalu.

Sidang Kemuncak khas juga diadakan semasa konflik pencerobohan Rusia-Ukraine di mana kebanyakan negara anggota ASEAN bersimpati dengan Ukraine namun enggan mengutuk Rusia secara terbuka tetapi menyeru agar konflik ini diselesaikan secara aman berbanding dengan AS serta negara-negara Barat telah mengutuk tindakan Rusia secara keras dan mengenakan sekatan ekonomi.

Pertemuan ini amat penting dalam hubungan AS-ASEAN kerana merupakan sebahagian daripada usaha percaturan politik AS untuk menentukan hala tuju hubungan AS dengan rantau Asia Tenggara.

Pentadbiran Presiden Joe Biden sedar hubungan AS dengan ASEAN telah mengalami era dingin ketika pentadbiran Presiden Donald Trump ini kerana pentadbiran Donald Trump lebih tertumpu kepada hubungan dengan kuasa-kuasa besar seperti China dan Rusia.

Pelantikan ke beberapa jawatan duta besar AS ke rantau Asia Tenggara telah terbiar kosong ketika pentadbiran Donald Trump dan beliau menunjukkan sikap dingin terhadap ASEAN dengan tidak menghadiri persidangan ASEAN sebaliknya menghantar wakil yang berstatus lebih rendah daripada ketua kerajaan.

Oleh demikian adalah menjadi keutamaan bagi Pentadbiran Biden untuk memperkukuhkan semula hubungan dengan negara-negara Asia Tenggara. AS mempunyai maklumat untuk memajukan konsep Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, selamat dan berdaya tahan.

AS menganggap Asia Tenggara sebagai rantau yang penting dalam usahanya untuk mengimbangi kuasa China yang semakin meningkat di Laut China Selatan.

Melalui Sidang Kemuncak Khas ini AS mahu menunjukkan komitmen berterusan Amerika Syarikat kepada ASEAN dan mengiktiraf peranannya sebagai kuasa besar yang berwibawa dalam menyelesaikan permasalahan yang mendesak yang timbul di rantau seperti pandemik Covid-19, perubahan cuaca, pertumbuhan ekonomi secara mampan, ancaman keganasan.

Apa yang pasti adalah AS kini sedang giat untuk menarik semula sokongan negara-negara ASEAN melalui peruntukan dan pemberian.

Justeru itu, Presiden Biden telah mengumumkan peruntukan sebanyak AS$102 juta sebagai sebahagian daripada inisiatif baharu untuk mengembangkan penglibatan AS dengan ASEAN usaha pemulihan dan keselamatan kesihatan Covid-19, memerangi krisis iklim, merangsang pemulihan dan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan kesaksamaan jantina serta mempergiatkan hubungan penduduk dengan penduduk.

Selain itu, Sidang Kemuncak Khas ini juga bertujuan untuk menyambut ulangan ke-45 tahun hubungan AS-ASEAN.

KRISIS MYANMAR

Bagaimana isu Myanmar menjadi antara permasalahan iaitu sama ada pemimpin tentera Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing akan diundang oleh AS untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas di Washington DC?

Besar kemungkinan Jeneral Min Aung Hlaing tidak akan diundang oleh AS dan siapa akan mewakili kerajaan Myanmar?

Sebaliknya adakah AS akan mengundang wakil daripada Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Myanmar (NUG) iaitu kerajaan buangan. Jika perkara ini berlaku bagaimana dengan reaksi kerajaan tentera Myanmar dan para pemimpin ASEAN yang lain?

Adakah para pemimpin ASEAN sudi bersama dengan wakil kerajaan buangan Myanmar kerana ia boleh memberi implikasi diplomatik seolah-olah ASEAN kini mengiktiraf kerajaan buangan Myanmar dan bukannya kerajaan tentera di Yangon?

Sekiranya Myanmar dihalang daripada menyertai Sidang Kemuncak Khas apakah implikasinya kepada perpaduan ASEAN? Myanmar sememang sudah menjadi duri dalam daging kepada ASEAN. Pada penghujung Mac 2022, kerajaan tentera Myanmar telah menyekat Prak Sokhonn, selaku Menteri Luar Kamboja dan perutusan khas ASEAN daripada bertemu dengan pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi semasa lawatan tiga harinya ke Myanmar, walaupun pada asalnya kerajaan tentera berjanji untuk memberikannya akses untuk bertemu dengan sesiapa yang berkepentingan politik.

Selain daripada menganjurkan Sidang Kemuncak Khas pentadbiran Joe Biden telah mengatur beberapa langkah strategik untuk membina semula keyakinan para pemimpin di Asia Tenggara. Antaranya kunjungan rasmi pemimpin-pemimpin kanan AS seperti Timbalan Presiden Kamala Harris, Setiausaha Negara AS Anthony Blinken dan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin. Pentabiran Biden juga dijangka akan menggunakan Sidang Kemuncak Khas ini untuk memperjelaskan matlamat pakatan Australia, Uinted Kingdom, United States (AUKUS) dan cuba meyakinkan negara-negara anggota ASEAN untuk menyokongnya.

Perdana Menteri Malaysia dijangka akan menghadiri Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN. Pendirian Malaysia adalah jelas iaitu menyokong konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dan Asia Tenggara Zon Bebas Senjata Nuklear (SEANWFZ). AS dan China merupakan rakan perdagangan utama Malaysia dan tidak mahu terherat ke dalam Perang Dingin 2.0 antara China dan AS.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca