KES-kes hak jagaan anak sama ada bagi orang Islam ataupun bukan Islam ketika ini menjadi lebih kompleks kini khususnya jika melibatkan keganasan rumahtangga.
Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 telah diperkenalkan bagi menjaga kepentingan keluarga khususnya anak-anak kecil. Dalam konteks berlaku penderaan sama ada emosi atau fizikal mahkamah perlu lebih berhati-hati di dalam membuat keputusan mengenai hak jagaan dan lawatan anak tersebut.
Dilema yang muncul ialah dalam kehendak tidak mahu memutuskan silaturahim antara anak dan ibu atau bapa, kekhuatiran berlaku penderaan juga mahu dielakkan. Hal yang demikian menjadikan lawatan anak-anak oleh bapa atau ibu yang berpotensi melakukan keganasan rumahtangga perlu diteliti dengan lebih berhikmah lagi.
Beberapa minggu lalu saya melakukan perbicaraan dalam kes sebegini di sebuah Mahkamah Syariah di Negeri Sembilan. Secara spontan Yang Arif Hakim menzahirkan kebimbangan tentang keberkesanan lawatan di Balai Polis ini. Kebimbangan beliau sebenarnya memang mempunyai asas kerana saya sendiri pernah mengendalikan lawatan sebegini yang dilihat sangat kaku, tiada elemen kasih sayang serta disulami dengan rasa takut.
Walaupun kita sudah mempunyai Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bertujuan bagi mengadakan peruntukan perlindungan undang-undang dalam situasi keganasan rumah tangga dan perkara yang bersampingan dengannya, agak terlambat jika mahu bergantung kepada akta tersebut kerana penderaan telahpun berlaku kepada pasangan atau anak-anak.
Alternatif yang ada ialah ada mahkamah yang membuat perintah lawatan dilakukan di Balai Polis kerana pihak berwewenang tersebut berupaya menjaga keamanan semasa lawatan. Namun persoalannya adakah Balai Polis sesuai dijadikan tempat melawat anak-anak?
Pastinya saya sebagai Peguam Syarie mempunyai pandangan saya sendiri mengenai hal ini namun ada kalanya permohonan sebegitu terpaksa dibuat bagi menjaga kemaslahatan semua pihak iaitu tidak mahu memutuskan silaturahim di samping menjaga keselamatan anak kecil.
Dalam hal ini saya berpandangan sudah sampai masanya kerajaan memberikan peruntukan khusus untuk dibuat ruang sesuai mesra kanak-kanak bagi tujuan lawatan berselia yang diperintahkan oleh mahkamah. Ketika ini tiada ruang khusus untuk tujuan ini di mana-mana Balai Polis.
KEBAJIKAN KANAK-KANAK
Melalui pengalaman juga ada kalanya ketika lawatan pihak polis menugaskan seorang anggota mereka memerhati gelagat kanak-kanak dan orang yang melawat mereka. Hal ini menjadikan lawatan dilihat kaku dan gagal mengeratkan silaturahim.
Peruntukan ini sangat penting bagi menyediakan tempat mesra kanak-kanak sambil boleh diperhatikan oleh orang lain tanpa tidak dilihat oleh kanak-kanak itu. Selain hanya menyediakan ruang pertemuan yang formal, sudah tiba masanya untuk pihak pemegang taruh, Polis Diraja Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri turut meneliti keperluan ini secara lebih serius demi memberi hak pihak-pihak yang telah bercerai untuk menjalani kehidupan normal dan anak-anak yang terlibat juga mendapat haknya secara adil bebas dari gangguan fizikal dan emosi.
Dalam apa jua tindakan dan keputusan, menangani permasalahan anak kecil ini sangatlah rumit. Anak kecil tersebut bukan sahaja merupakan pemimpin masalah hadapan tetapi harapan kita pada masa ini. Jika kebajikan mereka dikesampingkan, pasti ia memberi efek negatif kepada negara suatu ketika nanti.
Penambahbaikan seperti dekorasi dan kelengkapan bilik pertemuan untuk kegunaan sesi pertemuaan antara ibu bapa atau penjaga bersama kanak-kanak mestilah kondusif. Umpamanya perabot dan susun atur sofa yang lebih santai ala kelengkapan rumah amat membantu suasana pertemuan menjadi lebih mesra.
Keadaan ini menjadikan proses lawatan dan akses suatu proses yang menyeronokkan. Bahkan memberi ketenangan diri kepada kanak-kanak yang terlibat. Seandainya syor ini berjaya dilaksanakan, pastinya landskap pertemuan ibu bapa atau penjaga yang diatur di Balai Polis memberi wajah baharu dan imej yang lebih positif khususnya kepada Polis dan Kementerian Dalam Negeri sendiri.
Balai polis boleh dijadikan mesra masyarakat bukan sahaja kepada orang dewasa tetapi juga kanak-kanak. Walaupun dulu hal ehwal kekeluargaan tidak diambil perhatian oleh pihak polis tetapi dengan tergubalnya Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 ini pihak polis sudah mula mengambil cakna permasalahan kekeluargaan yang dideritai oleh rakyat awam. Anjakan paradigma sebegini sangat penting khususnya dalam usaha kerajaan membina Keluarga Malaysia.
Keluarga Malaysia perlu dimulakan di dalam keluarga itu sendiri terlebih dahulu sebelum diperluas kepada orang lain. Jika keluarga nukleus seperti ini berantakan apakah gunanya kita bercakap dalam konteks keluarga yang lebih besar lagi.
Kita sudah hampir menyambut Aidilfitri, persoalan lawatan hari raya lazim timbul menjelang hari raya, kadang-kadang Peguam Syariepun tidak dapat berhari raya dengan sempurna kerana menguruskan lawatan anak guam mereka.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca