SHAH ALAM - Pemimpin Pas yang terbabit dalam usaha terancang mempercepatkan proses hukuman penjara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar disingkirkan daripada parti jika dokumen didedahkan oleh PasLeak adalah benar dan sahih.
Bagaimanapun, menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Zaharudin Muhammad mempersoalkan kesahihan dokumen minit mesyuarat atau PasLeak yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO.
Zaharudin yang juga bekas ahli Majlis Syura Ulama Pas berkata, beliau akan menentang keras usaha mempercepatkan hukuman penjara ke atas beberapa pemimpin UMNO terbabit jika dokumen berkenaan adalah benar.
"Isu PasLeak ini bagi saya pokok asasnya kesahihan berita tersebut. Jika betul, bukan sahaja UMNO, bahkan saya sendiri bukan sahaja tidak bersetuju, bahkan menentang sekeras-kerasnya tindakan tidak bermoral ini.
"Jika benar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung Pas) terlibat, insya-ALLAH saya sendiri akan ketuai satu gerakan untuk singkir pemimpin seperti ini dan kumpulannya, sebagaimana saya pernah ketuai gerakan singkirkan 'Jebon'," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Zaharudin berkata, beliau mempertikaikan kesahihan dokumen berkenaan kerana biasanya jika ada rancangan dan strategi seumpama itu, pihak berkenaan akan memastikan tiada sebarang bukti wujud.
"Tetapi masalahnya betulkah dokumen itu? Lagi pula saya pelik, biasanya rancangan seperti itu mana-mana strategi pun, mereka tak dokumenkan. Jadi, bila ada dokumen, saya agak pelik sikit," katanya.
Dalam pada itu, Zaharudin juga menegaskan penyatuan ummah seperti Muafakat Nasional (MN) amat penting diwujudkan namun bukan untuk kepentingan Pas mahupun UMNO tetapi untuk kepentingan umum.
"Penyatuan ummah terutamanya MN sangat penting. Bukan untuk Pas mahupun UMNO tapi untuk ummah. Kes seperti ini boleh merosakkan kesatuan ummah," katanya.
TIADA YANG ANEH
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Suffian Hamdan pula menegaskan bahawa banyak pihaknya percaya besar kemungkinan dokumen didedahkan oleh PasLeak berkenaan adalah benar dan sahih.
Malah, Shahril Suffian berkata, satu demi satu pimpinan Perikatan Nasional (PN) menggambarkan bahawa tidak wajar atau tidak logik untuk sesiapa melayan kemungkinan bahawa dokumen PasLeak adalah sahih dan benar.
"Ramai yang namakan ia dokumen sampah. Ada juga yang menggelar sesiapa yang melayan isu ini sebagai 'loyar buruk'. Seolah-olah kalau percaya maka orangnya tak waras.
"Sedangkan tiada yang aneh dan mengejutkan jika ramai dalam kalangan UMNO yang tertanya. Kerana apa yang digambarkan melalui perbincangan- perbincangan yang didakwa berlaku dalam PasLeak itu seakan konsisten dengan pelbagai tindakan terhadap UMNO selama ini," katanya.
Mengulas lanjut, Shahril Suffian berkata, jika apa didedahkan PasLeak berkenaan benar maka ia memperlihatkan satu percubaan untuk campur tangan dalam urusan dalaman parti UMNO oleh pihak lain.
"Cuba campur tangan dalam UMNO. Cuba mengajar dan mengarah UMNO apa yang ia perlu buat, dengan siapa ia mesti bekerjasama dengan siapa ia tak boleh bekerjasama. Cuba pecahbelahkan UMNO dengan adu domba. Ini semua sudah berlangsung lama dan nyata dalam tindakan dan kenyataan pimpinan dalam Perikatan Nasional.
"Lainlah kalau kandungan dokumen itu mengakui dan mengiktiraf bahawa UMNO dan BN boleh memimpin negara lebih baik dari mereka. Itu mungkin susah sikit nak percaya.
"Natijahnya, jika ada merasakan PasLeak tidak luar biasa kerana memang kerja parti lawan melemahkan parti kita, maka sudah tentu, tidak luar biasa juga jika orang UMNO banyak bercakap tentangnya kerana parti sudah lama cuba ditekan, dirobek, malah dimusnah dan diharamkan.
"Sememangnya kita tidak tahu kesahihan. Jika sahih, kita tak tahu siapa dalam mesyuarat-mesyuarat itu yang bocorkan dan apa tujuan mereka. Atau sama ada mereka mewakili seluruh kepimpinan Pas atau tidak. Kita tak tahu sama ada ditambah gula garam dan cili untuk wujudkan syak wasangka dalam UMNO yang semakin lama semakin utuh kesatuannya," katanya.
Bagaimanapun, Shahril Suffian berkata, realitinya PasLeak tidak lari jauh daripada realiti tindakan yang dibuat terhadap UMNO selama ini.
"Tapi yang kita tahu, PasLeak tak lari jauh dari realiti tindakan yang dibuat terhadap UMNO selama ini. Itu kisah yang utama. Sama ada dokumen itu sahih atau palsu, tidak aneh mengapa isu ini 'bernyawa'," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca