SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Data Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menunjukkan sebanyak 759 gempa bumi tempatan berukuran 2.0 magnitud (MI) ke atas direkodkan sejak tahun 2015 hingga Mac 2022.
Rekod sepanjang tempoh tujuh tahun tersebut sekali gus membuktikan Malaysia tidak sekadar menerima tempias akibat gempa bumi negara jiran, bahkan turut mengalami gempa bumi tempatan atau sendiri.
Menurut Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, beberapa kawasan di Semenanjung seperti Bukit Tinggi, Jerantut, Temenggor dan Kuala Pilah turut mengalami gempa bumi tempatan yang biasanya diakibatkan oleh gelinciran atau garis sesar aktif.
"Beberapa potensi garis sesar aktif yang telah dikenal pasti dilihat mempunyai hubungan dengan sesetengah kewujudan gempa-gempa bumi tempatan ini.
"Sebagai contoh gempa bumi yang bermagnitud sederhana seperti di Lahad Datu bermagnitud 5.6 pada 1976 dan Ranau yang bermagnitud 6.0 pada 5 Jun 2015, merupakan hasil garis sesar aktif yang memang wujud di Sabah,” ujar Muhammad Helmi kepada Sinar Premium.
Jelas beliau lagi, selain ancaman gempa bumi tempatan, Sabah dan Sarawak turut terdedah kepada ancaman gegaran akibat gempa bumi yang berlaku di Selatan Filipina dan utara Sulawesi.
Malaysia terletak berhampiran dua sempadan pertembungan kepingan yang aktif keseismikannya iaitu sempadan pertembungan di antara Kepingan Indo-Australian dan Kepingan Eurasian di sebelah barat dan sempadan pertembungan di antara Kepingan Eurasian dan Kepingan Laut Filipina di sebelah timur.
"Gegaran gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di sempadan pertembungan kepingan-kepingan tersebut dapat dirasai gegarannya di Malaysia.
"Selain itu, gegaran gempa bumi yang dirasai di pantai barat Semenanjung Malaysia kebanyakannya adalah berpunca daripada gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di Sumatera dan Laut Andaman,” kata beliau.
Menurut MET Malaysia lagi, antara beberapa insiden gempa bumi kuat yang pernah berlaku dan memberi kesan kepada Malaysia termasuklah gempa bumi di Lahad Datu pada 26 Julai 1976 bermagnitud 5.8.
Tidak ketinggalan gempa bumi di Ranau pada tahun 2015 berukuran 6.0 magnitud yang mengorbankan 18 nyawa.
Sebelum ini, Sinar Ahad melaporkan Malaysia semakin diancam bahaya gempa berikutan pusat gempa yang berlaku berada dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik.
Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Ir Dr Azlan Adnan mendedahkan, hasil perbincangan dengan agensi terlibat dalam menghasilkan peta bahaya, kejadian gempa 5.0 magnitud dijangka boleh berlaku di Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca