BEGITU banyak orang memperkatakan tentang insiden yang tidak sepatutnya berlaku iaitu ‘rusuhan’ kecil yang matlamat para pelakunya adalah untuk melolos dan membebaskan diri dari Pusat Tahanan Sementara Jabatan Imigresen Malaysia Sungai Bakap, Seberang Perai, Pulau Pinang pada jam 4.30 pagi 20 April lalu.
Ia adalah satu tragedi yang berakhir dengan satu lagi tragedi kerana enam daripada 528 etnik Rohingya yang meloloskan diri itu maut dilanggar kenderaan ketika mereka cuba melintas Lebuh Raya Utara-Selatan pada hari yang sama pada awal pagi yang gelap itu.
Daripada enam yang maut itu, tiga adalah lelaki dewasa, manakala tiga lagi perempuan termasuk dua kanak-kanak berusia lapan dan sembilan tahun.
Tidak sampai 24 jam selepas mereka melarikan diri, pihak berkuasa telah berjaya menahan semula 398 tahanan.
Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, dua dalang utama yang disyaki mencetuskan insiden tersebut telah berjaya ditahan semula pada Khamis lalu.
Pihak polis juga telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kejadian tersebut dengan menyoal kakitangan Jabatan Imigresen dan Rela yang terlibat dalam mengawal pusat tahanan berkenaan pada awal pagi kejadian.
Namun bukan itu yang rakyat hendak dengar. Yang rakyat hendak tahu ialah, apakah benar dakwaan pusat tahanan imigresen yang menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) ini sangat sesak dan teruk keadaannya, bak kata tak sesuai untuk menempatkan manusia.
Jabatan Imigresen perlu tampil dengan penjelasan yang berterus terang. Jika tidak benar, sila tunjukkan kepada umum rupa bentuk bilik-bilik yang menempatkan PATI ini di seluruh negara agar umum tahu.
Jika benar sepertimana yang didakwa oleh begitu banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan Suhakam, apakah langkah-langkah segera dan jangka panjang yang akan dan perlu diambil untuk mengatasinya.
Satu sikap yang tidak elok yang masih menjadi amalan dan budaya negara kita adalah untuk tidak berterus terang lebih-lebih lagi perkara dan urusan yang melibatkan kepentingan awam.
Kita faham Jabatan Imigresen adalah salah satu jabatan yang melibatkan sekuriti negara.
Tidak semua perkara boleh dan patut didedahkan tetapi apabila berlaku insiden sepertimana di Sungai Bakap ini, umum mendambakan satu kenyataan yang jelas dan terbuka bukan kenyataan empat perenggan daripada jabatan berkenaan.
Apabila tragedi seperti ini hanya disambut dengan kenyataan empat perenggan, inilah yang mencetuskan kemarahan ramai.
Ambillah pertanggungjawaban yang lebih sedikit dengan menjelaskan langkah-langkah untuk memastikan insiden seperti ini tidak berlaku lagi kerana menurut laporan media, ini adalah kejadian kesepuluh tahanan lari dari pusat tahanan PATI sejak 1999.
Hakikat bahawa begitu ramai tahanan ingin meloloskan diri dari pusat tahanan itu menyatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan tempat mereka ditahan.
Dari perspektif yang lebih besar pula, perlu ada inisiatif yang bersungguh-sungguh di peringkat antarabangsa bagaimana untuk mengatasi masalah pelarian Rohingya ini kerana sepertimana etnik Kurdish, Rohingya juga adalah bangsa yang tidak ada identiti sebuah negara.
SUKAR BERADAPTASI
Myanmar tidak mahu mereka dan begitu juga dengan Bangladesh. Dan tidak sepertimana etnik-etnik lain yang berhijrah ke negara kita, etnik Rohingya berhadapan dengan isu adaptasi iaitu berhadapan dengan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat tempatan.
Oleh hal yang demikian, masyarakat tempatan agak skeptikal untuk menerima kehadiran mereka.
Jika jumlah mereka menjadi semakin besar, suatu masa nanti, ia akan menjadi satu krisis sosial bukan sahaja kepada masyarakat tempatan tetapi juga kepada mereka.
Sementara isu ini masih boleh ditangani maka perlu ada satu pasukan petugas khas di peringkat nasional bagaimana untuk menghadapi dan menyelesaikannya.
Menanti saat ini tiba, Jabatan Imigresen Malaysia perlu diberi peruntukan yang sewajarnya untuk menambah baik pusat-pusat tahanan PATI. Rakyat tidak mahu insiden meloloskan diri ini berlaku lagi.
Rakyat wajar berasa khuatir akan keselamatan mereka gara-gara tingkah laku Long Tiger.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca