SHAH ALAM - Situasi Malaysia yang tidak imun terhadap insiden gempa bumi sama ada berpunca dari negara luar atau gempa bumi tempatan mendorong negara perlu bersiap sedia dengan langkah pencegahan awal bagi mengelak kejadian tidak diingini.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Situasi Malaysia yang tidak imun terhadap insiden gempa bumi sama ada berpunca dari negara luar atau gempa bumi tempatan mendorong negara perlu bersiap sedia dengan langkah pencegahan awal bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Bekas Pensyarah Geologi Struktur dan Tektonik, Jabatan Geologi, Universiti Malaya, Profesor Madya Mustaffa Kamal Shuib berkata, langkah-langkah pencegahan awal melibatkan menerima, menganalisis dan menyebarkan maklumat tentang gempa bumi kepada masyarakat.

"Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) misalnya telah menyediakan satu rangkaian stesen-stesen seismograf di seluruh negara.

"Agensi ini menyebarkan notifikasi kejadian gempa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta semua agensi kerajaan dan masyarakat di kawasan terjejas melalui pelbagai media,” ujar Mustaffa Kamal kepada Sinar Premium.

Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains pula menyediakan penilaian bahaya gempa.

"Mereka menyediakan Peta Bahaya Seismik Malaysia yang digunakan oleh perancang setempat dan agensi-agensi untuk menyediakan garis panduan dan standard yang sesuai untuk bangunan serta struktur binaan di sesuatu kawasan.

"MKN turut menggunakan peta ini untuk perancangan dan pelan pemulihan bencana sementara golongan profesional menggunakannya untuk penilaian tapak terperinci,” jelas beliau.

Menurut Mustaffa Kamal lagi, walaupun gegaran dirasai di Malaysia kebiasaannya adalah lemah, rakyat harus menyiapkan diri dengan pengetahuan asas mengenai langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan bahaya gempa bumi.

"Langkah-langkah keselamatan tersebut termasuklah sebelum, semasa dan selepas berlakunya gempa,” katanya lagi.

Langkah keselamatan jika berdepan kejadian gempa.

Sejak tahun 2007, Semenanjung Malaysa merasai gempa setempat di mana gegaran adalah lemah.

Bangunan-bangunan tinggi bergegar tetapi tiada kerosakan besar pernah dilaporkan.

Dalam pada itu, Mustaffa Kamal turut menekankan keperluan pendidikan awam berkaitan bahaya gempa bumi selain mempergiat aktiviti saintifik.

Kata beliau, ketika ini negara masih kekurangan data mengenai seismik, geologi dan geodetik.

Kegiatan penyelidikan dalam bidang ini, katanya, perlu dipergiat agar kita dapat memahami punca gempa setempat dengan lebih baik serta menyediakan peta bahaya gempa bumi yang lebih lengkap.

"Program pendidikan awam berkaitan bahaya gempa bumi dan persediaan untuk menghadapi gempa bumi perlu dipertingkat dan dianjur secara berterusan.

"Pendidikan secara meluas dan kesedaran umum tentang gempa bumi sedang dijalankan oleh METMalaysia melalui internet dan media sosial di mana mereka menyediakan maklumat tentang kejadian dan rekod gempa di seluruh Asia Tenggara.

"Mereka turut menyebarkan maklumat tentang kejadian gempa sejurus selepas ia terjadi selain menganjurkan seminar dan bengkel untuk berkongsi hasil penyelidikan gempa,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca