MELANJUTKAN pengajian ke peringkat yang tertinggi adalah impian bagi mereka yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan.
Bagi pelajar yang menyambung pengajian peringkat pasca siswazah, khususnya program sarjana secara kerja-kursus, mereka perlu hadir ke kuliah mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Jadual kuliah bergantung kepada program dan universiti yang dipilih.
Terdapat universiti yang menjalankan kuliah pada hari dan waktu bekerja. Ada kuliah dijalankan selepas waktu bekerja pada hari biasa, atau biasa digelar sebagai kelas malam dan terdapat juga program yang menjalankan kuliah pada hujung minggu.
Cabaran pertama dihadapi oleh pelajar yang bekerja adalah memastikan diri mereka dapat hadir ke kuliah.
Bagi pelajar yang memilih program menjalankan kuliah selepas waktu bekerja, pastinya mereka agak terkejar untuk hadir ke kuliah tepat pada masa.
Pelajar yang bekerja juga sering terkesan dengan arahan majikan apabila meminta mereka bekerja di luar kawasan, memungkinkan tidak dapat hadir ke kuliah. Oleh kerana itu, rakan sekelas perlu dirujuk untuk mengetahui kandungan kuliah dan tugasan yang tertinggal, selain menghubungi pensyarah untuk memaklumkan situasi diri.
PERANCANGAN
Kebanyakan pelajar juga sudah meninggalkan dunia akademik dalam suatu tempoh yang lama. Dari segi pembelajaran, walaupun mereka cepat faham kandungan syarahan kerana mempunyai kaitan dengan pekerjaan mereka, tetapi ada di antara mereka yang sukar untuk memahami bacaan ilmiah dan juga menulis secara akademik.
Terdapat juga pelajar yang hebat bila melakukan pembentangan tetapi tidak dapat menghasilkan tugasan dan menjawab peperiksaan dengan cemerlang kerana kelemahan menulis. Pelajar begini perlu berusaha lebih untuk memantapkan pemahaman dan penulisan mereka.
Bagi pelajar yang berkeluarga, komitmen perlu dibahagikan secara bijak dan adil terhadap pekerjaan, pelajaran dan keluarga. Persefahaman, tolak ansur dan sokongan daripada ahli keluarga amat penting untuk memastikan pembelajaran dapat diikuti dengan jayanya.
Ini kerana, selain daripada menghadiri kuliah, masa lapang pelajar akan dipenuhi dengan menyelesaikan tugasan yang perlu dihantar. Terdapat juga pelajar diuji dengan ahli keluarga sakit, kematian, perceraian dan bermacam masalah lain melibatkan ahli keluarga.
Oleh itu, disiplin dan pengurusan masa yang bijak amat diperlukan dalam memberikan keutamaan kepada perkara terpenting yang patut dilakukan.
Perancangan kewangan juga amat mustahak kerana di samping komitmen kewangan sedia ada, pelajar perlu menyediakan tambahan bajet untuk pelbagai perbelanjaan sepanjang pengajian.
Pelajar yang bekerja boleh mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar yuran pengajian.
Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, terdapat pelajar hilang pekerjaan dan ada juga yang mengalami pengurangan gaji.
Universiti telah mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan menawarkan pengurangan yuran dan kelonggaran bayaran yuran, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pelajar.
Selain cabaran utama di atas, terdapat cabaran berbentuk peribadi; contohnya kehilangan motivasi dan semangat untuk belajar ketika pertengahan pengajian, diuji dengan penyakit, masalah rumah tangga, masalah kebajikan dan penjagaan anak-anak serta rutin pekerjaan yang berubah-ubah.
Pelajar begini perlu sentiasa memaklumkan keadaan diri kepada pensyarah dan kawan- kawan agar diberikan sokongan moral supaya boleh menamatkan pengajian.
Sememangnya, bekerja sambil belajar bukanlah satu proses yang mudah, banyak cabaran perlu dilalui dan pengorbanan perlu dilakukan. Pelajar perlu bersedia dari segi fizikal, mental dan spiritual apabila membuat keputusan untuk menyambung pengajian.
* Dr Izatul Laili Jabar ialah Koordinator Program di Pusat Pengajian Siswazah, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam
Klik di sini untuk terus membaca