HARI Isnin, 1 Ramadan 1392 Hijrah ialah 9 Oktober 1972. Ia merupakan Ramadan pertama di Mesir bagi kami grup atau tim pertama yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia untuk mengikuti kursus perubatan di Universiti Kaherah.... Klik di sini untuk terus membaca

HARI Isnin, 1 Ramadan 1392 Hijrah ialah 9 Oktober 1972. Ia merupakan Ramadan pertama di Mesir bagi kami grup atau tim pertama yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia untuk mengikuti kursus perubatan di Universiti Kaherah.

Kami mendarat di bumi Kaherah, Mesir hampir waktu maghrib 31 Disember 1971.

Masa itu tidak sampai tujuh peratus daripada jumlah bilangan doktor perubatan di Malaysia yang berbangsa dalam kalangan bumiputera.

Normah Jamaluddin, Nawi Isa, Syed Ahmad Syed Ali, Abdul Gani Mohammed Din dan saya yang lahir antara tahun 1950 dan 1952 gagal memasuki Fakulti Perubatan Universiti Malaya kerana keputusan Higher School Certificate (HSC) kami yang kurang baik.

Alhamdulillah kami diterima masuk ke dalam kursus praperubatan Universiti Kaherah dengan menggunakan keputusan sains tulen yang baik dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE).

Sekitar 20 pelajar perubatan Malaysia Universiti Kaherah tinggal di kejiranan Hospital Qasr al-Aini di Manial al-Rawdah, sebuah pulau di tengah-tengah Sungai Nil.

Bilangan pelajar Malaysia di Universiti al-Azhar ialah sekitar 200 orang. Di Mesir, pelajar antarabangsa pelbagai bidang pelajaran datang dari sekitar 100 negara.

Untuk bertemu pelajar-pelajar Malaysia lain dan beraktiviti di asrama Melayu, Abbasiyyah yang berdekatan dengan Universiti Ain Shams (mata mentari), kita perlu menaiki bas yang sentiasa penuh sesak atau taksi.

Harga makanan cara orang awam Mesir pada waktu iftar dan sahur adalah murah dan lazat dengan syarat deria rasa gustatori kita menerimanya. Oleh kerana beras sukar didapati, banyak kali menu pelajar Malaysia ialah ala Mesir.

MAKNA TARAWIH

Oleh kerana Kaherah tersohor dengan gelaran ‘Kota Seribu Menara', solat waktu dan tarawih berjemaah di masjid sangat mudah.

Masjid besar dan kecil didapati hampir setiap kilometer. Masa itulah saya faham bahawa istilah tarawih mempunyai akar kata berabjad Arab ‘ra-ha' yang bermakna rehat.

Maka tarawih bermakna solat ‘berehat-rehat' yang anjal dan didirikan secara relaks.

Pada tahun-tahun yang mendatang, saya meningkatkan cara pembacaan al-Quran dengan tiga orang asatizah (jamak bagi ustaz atau ustazah); setelah mempelajarinya daripada ibu bapa dan dua orang ustaz di Johor Bahru.

Ini di samping mendalami ilmu-ilmu Islam serta mempelajari bahasa Arab fushah (sebutan: fus-hah) yang asas.

Pada tahun-tahun kemudiannya saya serta para asatizah dan pelajar perubatan, pergigian dan farmasi sering dijemput ke majlis iftar di rumah sahabat-sahabat Mesir yang datang daripada keluarga pelbagai peringkat sosial.

Hidangan pula sesuai dengan taraf mereka. Apa yang sama ialah hospitaliti tuan rumah Mesir yang cemerlang. Di Mesir tiada kebuluran walaupun wujud orang miskin di sana sini.

Mesir bukanlah sebuah negara yang aman ketika itu. Ribuan para pemimpin, pengikut dan penyokong Ikhwan Muslimin yang telah dipenjara dan diseksa oleh Presiden Gamal Abdel Nasser dibebaskan kesemuanya oleh Presiden Anwar Sadat yang menyimpan niat tertentu bagi tindakannya itu.

Namun, Ikhwan dan buku-bukunya masih diharamkan.

Al-Ma'thurat Hasan al-Banna tidak diamalkan secara terbuka kerana kitab yang mengandungi kumpulan ayat al-Quran dan doa Nabi Muhammad SAW yang ma’thur itu dikumpulkan oleh asy-syahid pengasas Ikhwan itu.

Kekalahan Perang Arab-Israel pada Jun 1967 yang dialami Mesir, Jordan dan Syria (sebutan: si-ri-ya) masih belum ditebus lagi.

Ketika itu, Presiden Anwar Sadat sendiri tidak tahu bahawa masa yang paling baik untuk menyerang Israel ialah pada 6 Oktober 1973 (9 Ramadan 1393) dan beliau akan dibunuh sewaktu perayaan 6 Oktober 1981.

* Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah profesor psikiatri dan aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca