SHAH ALAM - Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), G Manivanan menggesa 1.3 juta ahli parti itu supaya memilih barisan pemimpin yang mampu merencana strategi kemenangan pilihan raya umum, sekali gus mengangkat kembali martabat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), G Manivanan menggesa 1.3 juta ahli parti itu supaya memilih barisan pemimpin yang mampu merencana strategi kemenangan pilihan raya umum, sekali gus mengangkat kembali martabat parti yang agak tercalar ketika ini.

Bekas Ahli Parlimen Kapar itu berkata, ahli-ahli PKR juga tidak boleh sekadar memilih pemimpin berdasarkan ketaksuban terhadap individu tertentu memandangkan mereka perlu mengutamakan pendekatan sayangi parti lebih daripada individu.

Jelas beliau, keyakinan ahli-ahli terhadap seseorang pemimpin juga perlu diselangi dengan usaha pemberian sokongan terhadap barisan pasukan diketuai pemimpin berkenaan agar gerak kerja penyusunan strategi memartabatkan kembali PKR dapat dilaksanakan dengan lancar.

"Semua sayang (calon Timbalan Presiden PKR) Rafizi (Ramli), Presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Tetapi isunya adalah kita sayang parti lebih daripada individu.

"Itu asas paling penting kerana kalau tiada PKR, tiada kita semua. Kewujudan kita hari ini kerana penderitaan parti yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Keadilan. Ada yang meninggalkan kita, ada yang uzur...jadi kita tidak boleh cicirkan setiap orang kerana ia satu penghormatan kepada akar umbi.

"Memang ramai bertanding (jawatan Naib Presiden PKR), tetapi ahli-ahli perlu buat keputusan bukan atas minat individu semata-mata. Sebaliknya beri ruang kepada siapa boleh mengangkat kembali martabat PKR, siapa boleh beri strategi kemenangan kepada parti. Rafizi sahaja tidak cukup, anda perlu memilih setiap ahli pasukan bersama beliau," ujarnya dalam satu program Jelajah Yakini Rakyat di Gerik, Perak pada Ahad.

Selain Manivanan, terdapat 15 lagi pemimpin utama PKR yang bersaing bagi merebut jawatan Naib Presiden parti itu pada proses pemilihan parti berkenaan penggal 2022-2025.

Jawatan Naib Presiden yang bakal memperuntukkan empat tempat turut ditandingi Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.

LIH KANG

Turut menawarkan diri adalah Chang Lih Kang; Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ketua Wanita PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Pengelola PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selain itu, bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai dan ADUN Sentosa, Dr G Gunaraj.

Empat lagi calon adalah Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail; bekas Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub; bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban serta ADUN Bukit Selambau, Dr R. Summugam.

Seorang lagi calon Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang pula menegaskan pihaknya tidak bersetuju dengan pandangan parti menjadi semakin lemah sejak tercetusnya peristiwa kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipanggil Langkah Sheraton pada tahun 2020.

Menyifatkan tindakan khianat kem bekas Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak wajar dijadikan alasan bagi menutup kelemahan parti, Ahli Parlimen Tanjung Malim itu sebaliknya berpandangan PKR lemah kerana tidak lagi dilihat sebagai parti membawa suara rakyat.

"(Selepas Langkah Sheraton) Kita tidak lagi dilihat memperjuangkan nasib rakyat, tidak lagi bela nasib golongan susah dan marhaen. Kita perlu gilap semula imej parti dengan pemilihan kali ini merupakan peluang keemasan 1.3 juta ahli PKR untuk pilih barisan kepimpinan dalam bentuk kerangka baharu lebih segar serta mampu menyuntik naratif baharu perjuangan parti.

Nasib dua calon Timbalan Presiden PKR iaitu Rafizi Ramli (kiri) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bakal ditentukan oleh 1.3 juta ahli PKR pada pemilihan penggal 2022-2025 pada bulan Mei nanti.

"Bagi saya, paling penting parti kena kembali menjadi relevan dan tidak boleh dilihat sekadar mengejar kuasa. Perlu diingat selepas pemilihan parti, kita akan memasuki medan pertarungan paling getir iaitu PRU15.

"Atas sebab itu, kita perlukan seorang panglima perang yang dapat membantu Presiden parti bagi menguruskan strategi pilihan raya dan memimpin kita ke arah kemenangan. Panglima itu pula perlu disokong oleh sebuah pasukan yang memiliki pandangan sealiran," katanya.

Bagi Nik Nazmi, beliau percaya sekiranya negara mahu mengangkat naratif politik pelbagai kaum ke tahap lebih baik, PKR perlu menjadi pemimpin kepada ideologi itu kerana ia merupakan satu-satunya parti berbilang kaum yang majoriti ahli terdiri kaum Melayu.

Jelas beliau, faktor itu juga merupakan kekuatan sebenar PKR memandangkan dalam sejarah politik negara sendiri, banyak pemimpin Melayu termasuk Allahyarham Datuk Onn Jaafar cuba mewujudkan parti berbilang kaum diketuai kaum Melayu, namun gagal.

"Amat malang bagi rakyat Malaysia kerana corak kepimpinan politik pelbagai kaum dipinggirkan dengan golongan elit politik lebih gemar menggunakan sentimen perkauman dan agama demi kepentingan mereka.

"Ketika ini, rakyat susah bukan sebab isu perkauman, tetapi nasib mereka tidak diendahkan elit politik dan elit ekonomi. Kita kena ubah situasi ini dengan PKR wajar memimpin perubahan corak politik negara pada masa hadapan," tegasnya lagi.

Buat julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid, iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Februari lalu.

Proses pengundian bagi pemilih dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei, manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

Klik di sini untuk terus membaca