SHAH ALAM - Langkah kerajaan dan 30 syarikat konsesi lebuh raya bersetuju untuk memberikan tol percuma dan diskaun sempena sambutan Aidilfitri pada 3 Mei pastinya memberikan kelegaan kecil kepada 32 juta rakyat Malaysia ketika ini.
Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, pada saat kos kehidupan seharian rakyat masih tinggi di samping isu kadar inflasi global sedang meningkat, inisiatif terkini itu dianggap bertepatan dalam mengurangkan beban rakyat yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19.
Jelas beliau, pada saat genting seperti sekarang, rakyat amat memerlukan sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan bagi meringankan beban kewangan mereka, sementara menunggu negara beralih sepenuhnya kepada fasa endemik.
"Sudah pasti setiap bantuan daripada kerajaan memberi kelegaan kecil kepada rakyat negara, lebih-lebih lagi sebahagian mereka menyambut perayaan Aidilfitri dan Hari Pekerja pada 1 Mei.
"Pada saat dunia berdepan masalah inflasi dan kos harga barang semakin tinggi, sudah pasti inisiatif pemberian tol percuma langkah tepat untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.
"Soal sama ada tempoh pemberian tol percuma dan diskaun terlalu singkat juga tidak wajar dipertikaikan memandangkan keputusan itu sebenarnya memberi kesan penambahan beban fiskal yang besar kepada negara," ujarnya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan menawarkan tol percuma dan diskaun sempena sambutan Aidilfitri menerusi 30 laluan lebuh raya di seluruh negara.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kos tol percuma dan diskaun itu melibatkan jumlah sebanyak RM77.11 juta dan ia akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.
Selain itu, Ismail Sabri turut menjelaskan tol percuma juga diberikan kepada pengguna Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang pulang semula ke kediaman masing-masing bermula 12 tengah malam 7 Mei (Sabtu) hingga 11.59 malam 8 Mei (Ahad) untuk semua kelas kenderaan.
tawaran diskaun tol antara 30 peratus hingga 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa sama bagi semua kelas kenderaan.
Awal tahun ini, kerajaan memberi jaminan tiada sekatan untuk orang ramai pulang beraya di kampung halaman.
Ia sejajar negara mula memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.
SENARAI KONSESI LEBUH RAYA DI MALAYSIA:
TOL PERCUMA
1) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
2) Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE)
3) Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH)
4) Lebuhraya Butterworth - Kulim (BKE)
5) Lebuhraya Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA)
6) Jambatan Pulau Pinang (JPP)
7) Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1)
8) Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2)
9) Lebuhraya KL - Karak (KLK)
DISKAUN 50 PERATUS
1) Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
2) Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP)
3) Lebuhraya Cheras - Kajang (GRANDSAGA)
4) Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA)
5) Lebuhraya Baru Pantai (NPE)
6) Lebuhraya Bertingkat Ampang - KL (AKLEH)
7) Lebuhraya KL - Putrajaya (MEX)
8) Lebuhraya Duta - Ulu Klang (DUKE)
DISKAUN 30 PERATUS
1) Projek Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART)
2) Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE)
3) Lebuhraya KL - Kuala Selangor (LATAR)
4) Lebuhraya Libgkaran Luar Butterworth (LLB)
5) Lebuhraya Kemuning - Shah Alam (LKSA)
6) Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK)
7) Jambatan Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah (JPP 2)
8) Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)
9) Lebuhraya Skim Penyuarai Trafik KL Barat (SPRINT)
10) Lebuhraya Kajang - Seremban (LEKAS)
11) Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (GRAND SEPADU)
12) Lebuhraya Senai Desaru (SDE)
13) Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE)
Klik di sini untuk terus membaca