SHAH ALAM - Pemberian tol percuma dan potongan harga hingga 50 peratus akan diberikan kepada pengguna lebuh raya utama negara sempena Hari Raya Aidilfitri bukti kerajaan pimpinan UMNO sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat. Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemberian tol percuma dan potongan harga hingga 50 peratus akan diberikan kepada pengguna lebuh raya utama negara sempena Hari Raya Aidilfitri bukti kerajaan pimpinan UMNO sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat.

Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, langkah berkenaan juga menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan hanya prihatin, malah memahami masalah peningkatan kos sara hidup dan harga barangan dihadapi oleh rakyat sekarang.

Tambahan pula, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Perdana Menteri juga memahami hasrat rakyat untuk pulang berhari raya bersama keluarga dan mengunjungi sanak saudara di kampung halaman selepas sekian lama tidak dapat berbuat demikian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) dan penularan pandemik Covid-19.

"Kini selepas kerajaan mengumumkan negara memasuki fasa peralihan pandemik Covid-19 maka rakyat yang tinggal di kota dan bandar sudah pastinya mahu pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

"Oleh itu, apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri mengenai pemberian tol percuma dan potongan harga sehingga 50 peratus adalah satu langkah tepat bagi meringankan beban kewangan rakyat. Inilah hasilnya apabila seorang Perdana Menteri, datangnya daripada parti yang sentiasa merasai denyut nadi dan kesusahan rakyat seperti UMNO," katanya kepada Sinar Premium, pada Isnin.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yakin semua orang termasuk dirinya terkejut dan gembira dengan pengumuman Perdana Menteri hari ini.

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, berita gembira berkenaan juga menunjukkan Perdana Menteri amat prihatin kepada rakyat yang lebih dua tahun tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana ceria dan meriah bersama keluarga masing-masing di kampung halaman kerana penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

"Jadi dengan pengumuman berkenaan menunjukkan Perdana Menteri mahu melihat rakyat dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana lebih meriah dan ceria bersama keluarga di kampung halaman masing-masing.

"Ini juga adalah bukti jelas kerajaan di bawah kepimpinan UMNO amat prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan rakyat di negara ini," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

MOHD PUAD


Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian tol percuma dan potongan harga hingga 50 peratus akan diberikan kepada pengguna lebuh raya utama negara bermula jam 12 tengah malam Sabtu ini hingga 11.59 malam pada 1 Mei ini.

Ismail Sabri berkata, persetujuan yang dicapai selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya itu bakal membabitkan manfaat keseluruhan RM77.11 juta.

Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi.

Beliau berkata, langkah kerajaan memperuntukkan dana untuk tol percuma dan diskaun itu selaras fasa peralihan ke endemik sejak 1 April lalu dan sempena sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei depan.

Pemberian tol percuma membabitkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan Lebuh Raya Utara Selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Ismail Sabri berkata, pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara– Selatan dan LPT juga akan diberikan ketika orang ramai dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing.

Klik di sini untuk terus membaca