SELEPAS dua bulan tentera Rusia bertindak menyerang Ukraine bermula pada 24 Februari lalu, Moscow kemudian menyatakan bahawa matlamatnya melakukan serangan itu adalah untuk mendapatkan kawalan penuh ke atas Wilayah Donbas di timur dan juga... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS dua bulan tentera Rusia bertindak menyerang Ukraine bermula pada 24 Februari lalu, Moscow kemudian menyatakan bahawa matlamatnya melakukan serangan itu adalah untuk mendapatkan kawalan penuh ke atas Wilayah Donbas di timur dan juga selatan negara tersebut.

Setakat ini, Presiden Rusia, Vladimir Putin pernah mengumumkan bandar pelabuhan Mariupol berjaya ditawan oleh tentera negaranya.

Bagaimanapun, masih tidak jelas apakah sebenarnya yang dirancang Moscow dalam fasa kedua kempen ketenteraan khasnya di Ukraine dan objektif jangka sederhana dan panjang negara kuasa besar itu setakat ini.

Namun, Rusia nampaknya telah mendapat beberapa pengajaran dalam minggu-minggu pertama peperangannya di Ukraine.

MISI KUASAI DONETSK DAN LUGANSK

Pada Mac lalu, tentera Rusia menyatakan ia memberikan tumpuan di bandar raya Donetsk dan Lugansk yang mana kumpulan pemberontak pro-Rusia menjadi aktif sejak 2014 di kedua-dua tempat itu.

Seorang pegawai tinggi tentera Rusia, Mejar Jeneral Rustam Minnekaev dipetik sebagai berkata, satu daripada tugas tentera Rusia adalah untuk mewujudkan kawalan penuh ke atas Donbas dan selatan Ukraine.

Beliau memberitahu bahawa melalui itu, ia akan menyediakan koridor darat ke Crimea dari Ukraine.

Pada tahun 2014, Rusia berjaya menguasai Crimea yang mana Moscow berjaya mendudukinya.

Tentera Rusia belum dapat menawan keseluruhan Ukraine. - Foto AFP

Pakar-pakar tidak lagi percaya bahawa Rusia mempunyai rancangan di ibu negara Ukraine, Kiev yang sebelum ini menjadi sasaran awal kempen khas ketenteraan Moscow.

Ini mungkin disebabkan pergerakan perlahan tenteranya dan kehilangan pasukan serta peralatan yang besar ketika awal perang yang mendorong tentera Rusia melakukan perubahan taktik.

Menurut Pascal Ausseur iaitu Pengarah Institut Kajian Strategik FMES di Perancis, tentera Rusia mungkin kembali kepada model lama yang dikenali sebagai 'jentolak' Kesatuan Soviet.

Model itu ialah, katanya seperti dilaporkan AFP: "Jika kamu tidak dapat memecahkan kekuatan musuhmu, kamu akan mengilingkan mereka."

Colin Clarke iaitu rakan penyelidik kanan di Soufan Center yang merupakan sebuah kumpulan pemikir berkata, untuk mengelakkan pengepungan tentera Rusia, penduduk Ukraine yang mempertahankan negara mereka kemungkinan akan berselerakan ke beberapa bahagian lain.

Dalam pada itu, terdapat peningkatan bantuan-bantuan ketenteraan yang diberikan kepada Ukraine.

Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pakej ketenteraan yang bernilai AS$800 juta (RM3.4 bilion) khususnya untuk digunakan oleh Ukraine dalam usahanya untuk menentang tentera Rusia di Donbas.

Namun, penghantaran kenderaan berperisai akan mengambil masa selama beberapa minggu untuk untuk tiba di Ukraine, kata Mark Cancian yang merupakan seorang penasihat kanan di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).

"Walaupun kenderaan itu keluar dari stok yang sudah sedia ada di Eropah, ia perlu diselenggara sebelum dihantar (ke Ukraine)," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

BANTUAN KEPADA UKRAINE

Negara-negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah mula membekalkan Ukraine dengan sistem peluru berpandu S300 yang pada asalnya dicipta oleh Kesatuan Soviet.

Bagaimanapun Ausseur menyatakan, penggunaan peralatan tentera itu oleh tentera Ukraine juga mengambil masa.

Dalam pada itu, Perancis menghantar senjata antikereta kebal Milan dan meriam Caesar ke Ukraine.

Bagaimanapun, pakar-pakar mengatakan Kiev masih kekurangan senjata canggih lain, seperti meriam Howitzer.

Ukraine perlu mempertahankan negara tersebut daripada serangan udara tentera Rusia, kata Ausseur.

Alexander Khramchikhin iaitu pakar tentera Rusia dari Institut Analisis Politik dan Ketenteraan yang berpusat di Moscow menyatakan peperangan itu akan berlangsung selama bertahun-tahun.

"Rusia setakat ini tidak lagi mencapai objektifnya dan tidak mudah untuk melihat bagaimana ia akan mencapainya di masa depan," katanya kepada AFP. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca