SEBENARNYA bila penganalisis tempatan menyuarakan mengenai kedudukan negara jiran yang lebih baik dari Malaysia dalam mengurus kedudukan fiskal negara, ianya bukan sesuatu perkara yang baharu. Malah telah banyak perbincangan dan perdebatan... Klik di sini untuk terus membaca

SEBENARNYA bila penganalisis tempatan menyuarakan mengenai kedudukan negara jiran yang lebih baik dari Malaysia dalam mengurus kedudukan fiskal negara, ianya bukan sesuatu perkara yang baharu.

Malah telah banyak perbincangan dan perdebatan berlangsung dalam kalangan pakar ekonomi dalam dan luar negara mengenai status perbelanjaan negara.

Malah menteri bertanggungjawab yang menjaga kewangan negara pernah menyatakan bahawa pihaknya menyedari tahap fiskal itu dan tidak pernah menyembunyikan apa-apa fakta berkaitan kewangan negara.

Ini ditegaskan sendiri Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada bulan Februari 2022 di akhbar tempatan bahawa tidak ada perkara yang disembunyikan mengenai dasar-dasar perbelanjaan ekonomi negara.

Sebaliknya usaha pengukuhan perbelanjaan kerajaan sentiasa diperbaiki dan dipantau menerusi Akta Tanggungjawab Fiskal yang diperkenalkan pada pembentangan Bajet 2022 lalu.

Dengan tujuan meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara bagi memastikan kemampanan fiskal dan menyokong kestabilan ekonomi makro.

Bagaimana ada kalanya perkara berlaku di luar kawalan walaupun kerajaan mempunyai perancangan teliti dalam tempoh setahun menerusi Bajet 2022 dan menerusi pelan 10 tahun dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Antara perkara di luar kawalan sebagai contoh ialah penularan virus Covid-19 yang serius dalam tempoh 2 tahun lalu yang sehingga kini boleh dikatakan menjejaskan semua sektor utama ekonomi negara.

Ini tidak termasuk hutang kerajaan dari segi bon yang berbilion ringgit, kes ketirisan seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Audit, kes rasuah yang berleluasa, kes kerugian korporat yang menuntut bantuan daripada kerajaan.

Dalam pada waktu yang sama ketika peralihan ke fasa endemik pula, rakyat dan negara diuji dengan kenaikan mendadak kadar inflasi global sehingga menyebabkan harga barangan keperluan rakyat terus meningkat.

Selain itu kerajaan juga terpaksa mengimport barangan keperluan dengan kadar mata wang yang rendah ketika ini serta perbelanjaan subsidi yang berterusan khususnya kepada bahan api demi membendung inflasi sekali gus menjaga agar harga barangan dapat dikawal.

Kesemua faktor di luar kawalan ini mempengaruhi kadar fiskal negara dari semasa ke semasa dan ini memberi pelbagai cabaran kepada kerajaan mengurus fiskal negara.

Bagi sesetengah penganalisis pendekatan yang boleh dilakukan ketika ini, kerajaan perlu menggunakan ‘strategi fiskal mengembang’ .

Sebagai individu, apabila kita menghadapi masalah kewangan maka kita perlu berjimat cermat dan kurang berbelanja.

Namun, berbeza dengan pendekatan kerajaan. Apabila negara menghadapi kelembapan ekonomi maka kerajaan perlu berbelanja untuk merancakkan kembali ekonomi.

Kerajaan perlu mewujudkan banyak peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan begitu juga pihak swasta supaya rakyat dapat peluang pekerjaan dan ada gaji untuk rakyat berbelanja.

Kerajaan juga akan menambah projek pembangunan dan infrastruktur yang akan mewujudkan peluang perniagaan kepada kontraktor-kontraktor binaan.

Dengan anugerah projek seumpama ini ia akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat. Jadi segi teori, aliran ekonomi akan berlaku lantas mengembangkan kadar pertumbuhan dalam negara kasar (KDNK).

Banyak lagi contoh pro dan kontra mengenai dasar fiskal dan yang pastinya penyelesaian fiskal memakan masa yang lama bergantung kepada jumlah hasil pendapatan negara.

Mungkin elemen dalam ekonomi Islam perlu difikirkan, dalam menyelesaikan dasar fiskal demi kebaikan ummah dan negara.

Apa pun, hanya ketelusan dan kejujuran dalam perbelanjaan sama ada membabitkan orang ramai, korporat dan kerajaan perlu sentiasa disemai agar graf fiskal dalam lingkungan yang positif dan munasabah.

* Meor Shahrom ialah Ketua Unit Bisnes

Klik di sini untuk terus membaca