SAMBUTAN Hari Bumi diraikan pada 22 April setiap tahun sebagai usaha menghargai bumi dan menyemai rasa tanggungjawab serta meningkatkan kesedaran kalangan masyarakat untuk melindungi bumi dan alam sekitar.
Sambutan yang disambut setiap tahun sejak tahun 1970 itu, bertujuan mempelbagaikan, mendidik dan memacu gerakan kelestarian alam sekitar di seluruh dunia.
Tahun ini Sambutan Hari Bumi bertemakan Invest in Our Planet. Tema dipilih dalam usaha mempercepat solusi untuk memerangi ancaman terbesar dunia iaitu perubahan iklim selain menyeru segenap warga global untuk turut serta mengambil bahagian dalam usaha menjaga bumi.
Namun, sambutan demi sambutan tersebut tidak membawa erti jika alam sekitar dan komponennya berterusan diteroka dengan rakus, dicemari dan dimusnahkan sewenangnya. Natijahnya alam sering dilihat sebagai sumber kekayaan, misalnya aktiviti pembalakan untuk mendapatkan kayu balak semata-mata, menunjukkan hutan bukan dilihat memainkan fungsi-fungsi ekologi yang penting dan pelbagai untuk kesejahteraan kehidupan sejagat.
Sungai dan laut juga menerima nasib yang sama, yang mana sisa-sisa buangan dicampak dengan sewenangnya demi untuk mencari keuntungan yang cepat, daripada mengambil kira kepentingan sungai tersebut sebagai sumber air untuk minuman dan kehidupan harian.
Mahatma Gandhi pernah berpesan, dunia ini penuh dengan sumber alam untuk menampung keperluan orang ramai tetapi ia tidak mencukupi untuk memenuhi ketamakan segelintir manusia dan kita seharusnya hidup secara sederhana supaya orang lain juga boleh hidup.
PEMULIHAN EKOSISTEM
Walaupun kesedaran dan keprihatinan terhadap alam sekitar makin meluas sejak lima dekad lalu, namun kegiatan manusia yang merosakkan alam sekitar masih berlaku. Ternyata mesej penting yang cuba disampaikan oleh alam semula jadi seolah-olah ‘gagal’ difahami sepenuhnya apatah lagi menginsafkan umat manusia akan segala kerosakan yang telah dan sedang dilakukan.
Pemulihan ekosistem yang meliputi daratan, pantai dan lautan menjadi fokus kerana dunia menghadapi ekosistem yang kian merosot dan tidak mampu memberikan perkhidmatan kepada manusia serta alam sekitar.
Habitat yang semakin merosot itu telah memberi kesan kepada perubahan iklim, kepupusan biodiversiti serta pemanasan global yang akhirnya akan memberikan kesan kepada kesihatan dan ekonomi manusia.
Perlu disedari bahawa sehingga akhir tahun ini, warga dunia hanya mempunyai 10 tahun sahaja lagi untuk merealisasikan hasrat pembangunan lestari yang akan tamat pada tahun 2030 nanti. Natijahnya, kita masih berpeluang untuk memastikan bahawa rancangan pemulihan ekonomi adalah mesra alam termasuklah pelaburan jangka panjang dan rancangan pertumbuhan ekonomi untuk projek iklim.
Rentetan itu, usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau, mempertingkatkan kemampanan tenaga dan mentransformasikan sektor air, harus kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara.
Dalam mencapai matlamat tersebut, seharusnya segenap ahli masyarakat bersama-sama menggembleng tenaga dan menyumbang masa membudayakan amalan kelestarian demi kelangsungan generasi akan datang. Masyarakat perlu menyumbang dan tidak alpa dalam usaha memulihkan ekosistem di negara ini bagi memastikan ia sentiasa stabil dan kondusif untuk kehidupan manusia.
Justeru, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah tindakan memulihkan kerosakan alam semula jadi dan perubahan iklim memerlukan tindakan segera dan penglibatan setiap individu selain daripada pihak seperti kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kita seharusnya tidak lagi melihat persekitaran dan ekologi sebagai isu sampingan tetapi harus menjadikannya aspek utama dalam membuat keputusan jika kita ingin menghindar lebih banyak malapetaka pada masa depan.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca