PERTEMBUNGAN dua penjuru di antara Barisan Nasional (BN) dan gabungan mana-mana parti politik lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), diramal tidak akan berlaku ekoran wujud isu kepercayaan sesama parti.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, sikap sesetengah ahli politik yang mementingkan diri sendiri menjadikan perkara itu mustahil untuk berlaku.
Jelas Mujibu, sejarah kejatuhan kerajaan sebelum ini mencerminkan kesukaran mewujudkan kerjasama antara parti politik.
"Salah satunya, mereka ini ada perasaan curiga disebabkan luka lama akibat sejarah lalu dengan pengkhianatan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Dengan timbulnya ‘PasLeak’ dan sebagainya, maka ia menambahkan lagi kesukaran untuk wujudkan Pakatan Pembangkang atau ‘Khemah Besar’ pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Akuinya, kesepakatan gabungan parti untuk menamakan ketua yang bakal memimpin juga menyukarkan kewujudan kerjasama tersebut.
"Seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang akan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad, dan dalam Pakatan Harapan (PH) pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Begitu juga Bersatu dan Warisan, ia antara 'citrawarna’ Pakatan Pembangkang. Ia mungkin menyukarkan pembangkang mewujudkan pakatan atau satu lawan satu pada PRU15,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, untuk melaksanakan juga gabungan itu, blok pembangkang perlu mewujudkan satu gentleman agreement dengan menyasarkan kerusi bagi setiap kawasan.
"Bersatu dan Pejuang boleh tumpu dalam kawasan pengundi Melayu. DAP dan PKR pula fokus kawasan campuran dan sebagainya.
"Ia boleh difikirkan mengikut pengkhususan dan kekuatan masing-masing dan jika itu berlaku, mungkin satu lawan satu itu berlaku,” jelasnya.
TIGA PENJURU
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, Bersatu juga sukar kembali dalam PH kerana perpecahan dalaman menciptakan satu sejarah yang sukar dilupakan oleh mereka.
Beliau berkata, sebaliknya, trend pertembungan tiga penjuru seperti PRN lalu akan berlaku pada PRU15 dengan gabungan besar Perikatan Nasional (PN), PH dan BN.
"Saya melihat agak sukar untuk wujudnya pertembungan satu lawan satu antara kerajaan dengan pembangkang pada PRU15.
"Sebaliknya, wujud pertembungan tiga penjuru ini seperti PRN lalu. Ia peluang cerah untuk BN mendapatkan majoriti mudah dalam PRU15.
"Tetapi saya yakin BN boleh menang besar lebih daripada majoriti dua pertiga dan dapat memiliki ahli Parlimen yang lebih ramai berbanding keadaan terdahulu,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, Bersatu dilihat lebih cenderung bekerjasama dengan UMNO berbanding parti lain kerana separuh ahli Parlimen daripada parti itu masih berpandangan mereka boleh mengukuhkan kerajaan PN.
"Pada waktu yang sama, mereka (sebahagian ahli Parlimen UMNO) dilihat sebagai penyokong kuat (Tan Sri) Muhyidin (Yassin) untuk mengekalkan kerajaan PN.
"Permusuhan di antara Bersatu dengan sebahagian ahli Parlimen UMNO pula disebabkan isu tertentu.
"Jika dapat diselesaikan persepsi tersebut dengan baik, mereka boleh bekerjasama dan kukuhkan semula hubungan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca