SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa mangsa yang ditipu penjual dalam talian supaya membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Dr Saravanan Thambirajah berkata, ini bagi membolehkan kementerian berkenaan segera mengenal pasti mana-mana akaun yang digunakan untuk menipu pengguna.
Pada masa sama, tambah beliau, peniaga dalam talian juga perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk memudahkan pemantauan dan tindakan diambil terhadap mereka jika didapati menipu.
"Nasihat nombor satu daripada FOMCA, jangan beli barangan melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp atau WeChat kerana kebanyakan penjual di situ tidak berdaftar dengan SSM.
"Jadi apabila tidak berdaftar, kebarangkalian untuk tindakan diambil ke atas penjual agak sukar sebab kita tidak tahu mereka beroperasi dari mana selain tiada permit jualan.
"Kalau boleh pengguna harus membeli daripada platform-platform berdaftar atau peniaga di kedai,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna juga dinasihatkan membuat laporan polis dengan menyediakan bukti-bukti yang ada kerana ia melibatkan kes jenayah penipuan.
"Pengguna perlu buat laporan polis kerana ada elemen penipuan dan perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. Namun peluang untuk pengguna dapatkan kembali wang adalah rendah.
"Ini kerana kebanyakan scammer ini licik dan cepat melarikan diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saravanan mengingatkan pembeli supaya menjadi pengguna bijak dan lebih berwaspada dengan membuat pembelian di laman web rasmi jenama berkenaan.
"Seringkali peniaga menjual barangan berjenama melalui Facebook, tetapi jika mereka tidak mempamerkan nombor SSM, kita nasihat jangan beli daripada mereka.
"Mungkin itu barang tiruan atau barang curi yang kita tidak tahu.
"Kalau nak beli barang itu, terus pergi ke laman web rasmi jenama terbabit walaupun ada tawaran lebih murah di luar kerana kita tidak pasti kesahihannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Saravanan mendedahkan FOMCA menerima banyak aduan daripada pengguna yang menjadi mangsa penipuan sejak dua minggu lalu bagi pembelian barangan raya.
"Memang kita ada terima banyak aduan apabila barang sampai, tidak sama dengan gambar. Selalunya nak dapatkan pulangan wang bukan senang kerana melibatkan kedai-kedai dalam talian.
"Kalau melalui Shopee atau Lazada selalunya dia ada nombor siri yang kita boleh jejak.
"Biasanya pengguna yang membeli melalui Facebook atau WhatsApp ini paling banyak aduan. Dua minggu baru ini, aduan paling banyak ialah mereka tidak puas hati dengan barangan yang dihantar, barang tidak sampai atau penjual menghilangkan diri,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca