SHAH ALAM - Penipu dalam talian atau scammer dikesan semakin rancak mengambil kesempatan memperdaya orang ramai khususnya wanita yang kini ghairah membeli pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri. Seorang mangsa yang hanya ingin dikenali... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penipu dalam talian atau scammer dikesan semakin rancak mengambil kesempatan memperdaya orang ramai khususnya wanita yang kini ghairah membeli pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri.

Seorang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Faz, 47, berkata, dia kerugian sebanyak RM620 akibat ditipu pemilik akaun Facebook bernama ‘Elminna’ pada 19 Mac lalu.

"Memandangkan saya sekeluarga sedang mencari baju sedondon untuk hari raya nanti dan baju-baju yang dijual juga sangat menarik, saya buat keputusan untuk membeli 11 pasang baju lalu membayarnya secara ansuran.

"Penjual janji untuk pos pada 20 April, namun bila diminta kemas kini nombor pengesanan penghantaran, tiada mesej balasan daripadanya.

"Saya juga ada sekali dua hubungi scammer itu dan mengugutnya, tetapi diendahkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang pelajar Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam, Fatin Nur Aqilah Koderi, 22, pula mendakwa diperdaya sebanyak RM220 oleh pemilik akaun Instagram fashionq_boutique pada 10 April lalu."Bermula 8 April saya survey akaun Instagram penjual baju tersebut sebelum membuat pembelian dan membayarnya dua hari kemudian.

"Keesokan harinya, saya mula berasa pelik sebab dia desak saya segera bayar lagi RM350 dengan alasan baju masih di Indonesia dan tidak lepas kastam sedangkan sebelumnya dia beritahu baju itu sudah sedia ada di Malaysia.

"Saya semak nombor telefon di aplikasi Truecaller dan bila dapat tahu ditipu, saya segera buat laporan di Balai polis Bandar Jengka, Pahang” katanya.Seorang lagi mangsa, Fatin Anisa Azman, 25, berkata, scammer dengan akaun ‘Izz Zulaikha’ mendesaknya membuat bayaran sebanyak RM88 bagi sepasang baju kurung.

Tangkap layar perbualan antara mangsa dengan 'scammer'.

Bagaimanapun katanya, setelah membuat pembayaran, penjual maklumkan baju akan dihantar dalam beberapa minggu, bukan dalam masa dua hingga tiga hari seperti yang dijanjikan pada awalnya.

"Apabila sampai tarikh yang sepatutnya baju dipos, dia hantar mesej mengatakan mereka telah ditipu pihak pengilang dan semua wang telah dibawa lari oleh pengilang.

"Saya mencari nama akaun scammer itu di Facebook dan terjumpa hantaran pelanggan yang mengalami masalah yang sama.

"Rupa-rupanya terdapat lebih 100 mangsa scammer tersebut yang mula menipu pelanggan sejak 2020,” kata penulis iklan sebuah syarikat swasta itu.

Bagi pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Siti Aisah Safani, 23, kejadian diperdaya pemilik akaun dengan nama ‘Butik Maisa’ pada 4 April lalu menyebabkan dia kerugian sebanyak RM160.

"Saya diminta untuk membayar dengan kadar segera kerana dia mendakwa tiga pasang baju saya akan dipos segera sebaik sahaja bayaran dibuat.

"Namun, selepas saya minta nombor pengesanan pos, pemilik akaun tersebut terus menyekat nombor telefon saya.

"Selepas kejadian itu, kini saya lebih yakin untuk membeli di platform beli-belah dalam talian yang lebih dipercayai seperti Shopee,” ujarnya.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Siti Aminah Dan, 42, menjelaskan dirinya ditipu sebanyak RM111 oleh scammer.

"Selepas dia maklumkan barang tidak dihantar, saya minta dia bayaran semula, kemudian dia beritahu akan poskan baju pada 15 April, tetapi lepas itu, dia beritahu barang saya sudah tercicir pula.

"Jadi, dari situ dah nampak sangat yang dia menipu,” jelasnya yang amat kecewa dengan perbuatan tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca