SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan orang ramai supaya hanya melakukan pembelian baju raya secara dalam talian daripada peniaga yang memiliki kod respons pantas (QR) BizTrust Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, cara itu bagi mengelakkan pembeli ditipu scammer baju raya yang aktif memperdaya mangsa di media sosial terutama Facebook dan Instagram menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
"KPDNHEP menerusi SSM sebelum ini telah memperkenalkan kod QR SSM BizTrust yang berfungsi sebagai pengesahan dan pengenalan identiti digital kepada peniaga yang berdaftar dengan SSM.
"Jadi peniaga yang memiliki kod QR ini adalah yang benar-benar boleh dipercayai dalam urusan jual beli dalam talian sebegini,” katanya kepada Sinar Harian.
Rosol menjelaskan, sekiranya peniaga terbabit tiada kod QR, cara kedua ialah pembeli perlu mengesahkan terlebih dahulu sama ada peniaga berkenaan memiliki SSM dan perlu dapatkan nombor pendaftaran SSM untuk tujuan semakan.
"Namun, kita akui ada juga peniaga yang jual secara kecil-kecilan dan tak ada SSM.
"Namun dalam konteks kes ini, kalau penjual tiada kod QR SSM BizTrust dan tiada nombor pendaftaran SSM, lebih baik jangan beli.
"Inisiatif ini sebagai jaminan untuk pastikan pembeli tidak ditipu,” ujar beliau.
Rosol memberitahu, setakat Ahad lalu, KPDNHEP menerima sebanyak 27 aduan berkaitan penipuan pembelian baju raya sejak Februari lalu dan kes disiasat di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
"Jadi kementerian ingatkan pengguna agar berhati-hati dalam pembelian online kerana memang ramai pihak tidak bertanggungjawab ambil kesempatan pada musim perayaan.
"Selain baju raya, mungkin ada juga yang menipu dalam penjualan barang-barang yang dapat permintaan tinggi semasa perayaan seperti perhiasan rumah dan mercun,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca