MENTERI Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, telah mengumumkan bahawa menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri secara sebulat suara bersetuju untuk meneruskan program kapal tempur pesisir... Klik di sini untuk terus membaca

MENTERI Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, telah mengumumkan bahawa menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri secara sebulat suara bersetuju untuk meneruskan program kapal tempur pesisir pantai atau Littoral Combat Ship (LCS) yang telah terbengkalai sekian lama.

Menurut beliau, antara faktor yang diambil kira mengenai kenapa program tersebut bakal diteruskan ialah, LCS merupakan aset yang amat dikehendaki dan diperlukan, terutama dalam merealisasikan konsep pemodenan platform 15 ke 5 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut pelan transformasi sedia ada.

Apa yang lebih kritikal menurut beliau lagi, LCS diperlukan untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada TLDM dan menambah baik usaha memelihara serta menjaga persempadanan kedaulatan maritim negara daripada diceroboh.

Terdapat 400 vendor terbabit dalam projek ini dan daripada jumlah itu, 100 adalah syarikat tempatan milik rakyat Malaysia. Implikasi bayaran tertunggak melibatkan syarikat-syarikat tersebut mencecah sehingga RM1 bilion kepada vendor sejak tiga tahun lalu, menjejaskan kedudukan kewangan mereka manakala ramai pekerja terpaksa dibuang.

Sebanyak 90 peratus daripada syarikat-syarikat ini pula ada hubung kait dengan veteran dan majoritinya berada di Lumut, terutama pekerja berkemahiran dan pakar yang turut mempunyai keluarga atau tanggungan di kawasan sekitarnya.

Impak terhadap ekonomi kawasan berdekatan seperti Manjung juga bakal terjejas teruk sekiranya LCS tidak diteruskan, apa lagi selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

KELEWATAN

Satu siasatan khas diketuai Ketua Audit Negara pada 2021, mendapati hanya RM5.94 bilion telah digunakan manakala sekurang-kurangnya RM1 bilion tidak diketahui ke mana perginya.

Lebih menyedihkan proses perolehan kapal pertama LCS mengalami kelewatan 39.52 peratus atau 43 bulan, menyebabkan pembayaran kepada pengeluar asal atau OEM tidak dapat dibuat mengikut jadual ditetapkan.

Program LCS itu kini seakan satu skrip filem lama yang dimainkan semula, dengan tajuk sedikit berbeza, pengarah serta para pelakon baharu tetapi dengan kesudahan yang sama.

Masih ingatkah mengenai apa yang berlaku pada kapal ronda generasi baharu atau New Generation Patrol Vessel atau (NGPV) untuk TLDM sekitar awal tahun 2000?

Pada tahun 2005, pihak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau Public Accounts Committee (PAC) telah mengumumkan bahawa terdapat skandal rasuah dan kewangan dalam pengurusan program tersebut mengakibatkan firma PSC-ND telah gagal memenuhi tarikh penyerahan NGPV kepada TLDM.

Seperti LCS, 40 buah firma tempatan yang terlibat sebagai sub-kontraktor dalam program NGPV telah tidak dibayar oleh PSC-ND dengan jumlah kira-kira RM180 juta, selain gagal membayar wang caruman KWSP bernilai RM4 juta walaupun potongan dibuat terhadap gaji 1,500 pekerjanya.

PAC menyatakan bahawa RM120 juta perlu untuk menyiapkan dua kapal pertama dengan pihak kerajaan terpaksa menyuntik dana RM80 juta untuk dibayar kepada vendor-vendor tempatan yang terkesan.

Rakyat sebenarnya tidak lagi merasa terkejut dengan apa yang berlaku, malah kata-kata Menteri Kanan (Pertahanan) bahawa keputusan meneruskan program LCS bakal dapat meningkatkan lagi semangat anggota TLDM untuk terus berjuang demi kedaulatan negara mungkin kedengaran sedikit ‘kosong’.

Mungkin mereka yang diamanahkan untuk merangka, melaksana, menjaga dan menguruskan perolehan platform TLDM perlu bermuhasabah di bulan Ramadan yang mulia ini.

Dari Abu Hurairah R.A, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda, "Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali.” (HR. Bukhari no. 6133 dan Muslim no. 2998)

Imam Nawawi memberi pencerahan berkaitan hadis ini, iaitu, seorang mukmin itu terpuji ketika ia cerdas, berwaspada dalam pekerjaannya, tidak lalai dalam urusannya, dan tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Analogi yang diberi junjungan Nabi kita berkaitan kesilapan yang dilakukan ialah dengan membenarkan seekor ular sama dari lubang yang sama mematuk kita buat kali yang kedua, setelah terkena patukan kali pertamanya.

Bukankah ini satu analogi yang tepat berkaitan program NGPV dan LCS?

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca