SHAH ALAM - Kerajaan seharusnya mengutamakan penggubalan dan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik berbanding RUU Anti Lompat Parti bagi mengelakkan kes seperti syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berulang.
Peguam, Mohd Ridwan Talib berpandangan, sekiranya RUU Pendanaan Politik disegerakan, kes pengubahan wang haram dalam kalangan ahli politik dapat diadili sewajarnya tanpa perlu melalui proses yang diragui.
"Isu pengubahan wang haram dan rasuah dalam kalangan ahli politik di negara ini semakin berleluasa dan menjadi barah. Justeru, RUU itu akan memastikan kes tersebut disiasat dan diadili dengan saksama di mahkamah.
"Dengan adanya RUU tersebut nanti, sudah pasti aliran wang yang mendanai aktiviti politik dikira sah dari segi undang-undang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu media melaporkan, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menggariskan tujuh cadangan penambahbaikan usaha memerangi rasuah di negara ini yang akan segera dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mohd Ridwan berkata lagi, badan pemikir bebas dan penganalisis telah banyak memberi cadangan konkrit mengenai kaedah penggubalan undang-undang ini antaranya, parti politik perlu mendapat akses kewangan yang adil dan telus.
Katanya, pengisytiharan aset dan harta oleh ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) juga perlu diwajibkan di sisi undang-undang.
"Melalui pengamatan saya, cadangan RUU Pendanaan Politik itu sudah dicanang sejak zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah lagi.
"Yang tinggal kini hanya keazaman politik (political will) di pihak kerajaan untuk menyegerakan pembentangan, perbahasan dan penggubalan RUU seperti usaha membentangkan RUU Anti Lompat Parti.
"Saya yakin ia dapat dilaksanakan kerana masyarakat sudah melihat impak negatif kes 1MDB terhadap ekonomi dan sektor kewangan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Fareed Mohd Hassan berkata, penggubalan sebarang RUU memerlukan kajian dan penelitian terperinci sebelum dimuktamad dan dikuatkuasakan.
Katanya, sebarang cadangan mengenai penggubalan undang-undang untuk kebaikan negara harus disambut baik oleh semua pihak.
"Proses (penggubalan RUU) bukan boleh diambil dan dibuat sehari dua dan selagi mana ianya adalah proses, maka segala prosedur mesti diikuti.
"Isu menyegerakan atau menyegerakan penggubalan RUU yang mana terlebih dahulu tidak timbul kerana apa jua jenis undang-undang yang akan digubal di Parlimen, prosesnya semua sama.
"Kalau ikut urutan, RUU Anti Lompat Parti sudah sedia, cuma tunggu untuk dibahas, manakala cadangan penggubalan undang-undang berkaitan dana politik itu baru di peringkat cadangan. Maka prosesnya jauh lebih panjang,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca