SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dibantah beberapa pihak. Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, SPRM tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dibantah beberapa pihak.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, SPRM tidak sewajarnya terlibat dengan siasatan terhadap tuduhan dan kesalahan yang dikaitkan dengan hakim di dalam negara kerana semua pihak perlu menghormati prinsip pengasingan kuasa.

Bagi pakar undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, tuduhan berat terhadap badan atau sistem kehakiman negara tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh menghakis kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap institusi penting negara.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kertas siasatan itu melanggar prinsip institusi kehakiman kerana ia mempunyai badan yang menyelia dan mengawal integriti para hakim.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, siasatan SPRM merupakan satu serangan sebuah agensi eksekutif ke atas badan kehakiman dan agensi itu sepatutnya bertanggungjawab untuk bersama mempertahankan kebebasan badan kehakiman Malaysia.

HORMATI KONSEP PENGASINGAN KUASA

Dalam pada itu Mohamad Ariff berkata, SPRM tidak wajar melakukan siasatan kerana semua pihak perlu menghormati prinsip pengasingan kuasa dan melindungi kedudukan hakim yang seharusnya tidak terpalit dengan tuduhan melulu terhadap integriti mereka.

Tangkap layar antara komen daripada rakan-rakan Mohd Nazlan yang menyokong beliau.

"Tuduhan oleh ‘blogger’ jarak jauh itu pada asasnya melibatkan salah laku hakim. Untuk kesalahan begini, Perlembagaan Persekutuan dan kod etika hakim menetapkan cara yang sepatutnya digunakan.

"Untuk menghormati prinsip pengasingan kuasa dan melindungi kedudukan hakim yang seharusnya tidak terpalit dengan tuduhan melulu dan tuduhan kesalahan sebegini lebih wajar tidak melibatkan SPRM,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan telah membuka siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang tidak dapat dijelaskan dalam akaun bank.

Mohd Nazlan pada Khamis telah membuat laporan polis berhubung satu artikel bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac lalu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan media berkata, Mohd Nazlan menafikan tuduhan palsu yang tidak berasas serta berniat jahat untuk menjatuhkan kredibilitinya sebagai hakim, selain mengganggu sistem keadilan dan institusi kehakiman.

SYOR TUBUH PASUKAN JAWATANKUASA KHAS

Sementara itu, Pejabat Peguam Negara disaran supaya menubuhkan pasukan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, beliau khuatir berlaku pertindihan siasatan melibatkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"SPRM sepatutnya tidak memulakan lagi langkah siasatan terhadap Mohd Nazlan kerana sudah ada laporan polis yang telah dibuat. Biar polis siasat terlebih dahulu dan jika artikel tersebut tidak berasas, apakah tujuan SPRM untuk menyiasat lagi?

"Jika sudah ada asas daripada siasatan polis mengenai artikel tersebut, maka selepas itu SPRM boleh mula menyiasat. Sekarang ini, seolah-olah telah berlaku pertindihan siasatan.

"Cara terbaik untuk kes ini adalah Pejabat Peguam Negara wajib tubuhkan satu pasukan jawatankuasa khas agar siasatan tidak bertindan dan kerja dapat dilakukan dengan teratur,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan berhubung kes tersebut.

Menurutnya, jika ada sebarang kenyataan yang tidak tepat, ia bakal menyebabkan kecurigaan di mata rakyat terhadap sistem undang-undang negara.

"Mohd Nazlan juga telah melakukan tindakan yang bermaruah dengan membuat laporan polis terhadap dakwaan yang telah dilemparkan kepadanya itu,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca