SHAH ALAM - Penyebaran 'PasLeaks' didakwa dibuat pihak tertentu yang tidak mahu melihat Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula dan meningkatkan kebencian antara kumpulan pemimpin tertentu dalam Pas dan UMNO.
Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, PasLeaks dilihat cubaan menaikkan perasaan benci sesama kalangan pemimpin UMNO dan Pas.
"PasLeaks bukan minit mesyuarat atau sebarang perancangan, tapi merupakan suatu catatan. Tidak diketahui catatan itu dibuat oleh siapa dan adakah kandungannya benar atau bersama tokok tambah.
"Yang pasti, penyebarannya dibuat oleh pihak yang tidak mahu MN digerakkan semula dan mahu meningkatkan lagi kebencian kumpulan tertentu di dalam UMNO terhadap Pas," katanya.
Mengulas lanjut, Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, PasLeaks juga menghidupkan semula polemik dua 'mazhab' dalam UMNO iaitu pertama, mazhab, 'UMNO Go Solo' dan kedua mazhab, MN.
"Bagi penyokong 'mazhab' MN, tentulah berita yang diterima tanpa diketahui dengan jelas siapakah sumbernya, ditangani dengan cermat dan penuh tabayyun. Lebih baik bertanya kepada Pas dan menyelami sejauh mana agenda permuafakatan demi mengalahkan musuh yang berbeza ideologi masih kukuh dalam diri mereka.
"Tentu bagi penyokong 'mazhab' ini, MN masih boleh digerakkan bagi memastikan matlamat kemenangan dua per tiga majoriti dalam PRU15," katanya.
Bagi penyokong mazhab UMNO Go Solo pula kata Tun Faisal, berita yang tidak tahu dari mana sumbernya ini disambut ibarat 'orang mengantuk disorongkan bantal'.
Beliau berkata, ia akan disebar secara meluas kepada ahli UMNO dan ditambah dengan tuduhan yang membakar emosi, bahawa ia adalah 'minit mesyuarat Pas untuk menghancurkan UMNO'.
"Matlamat akhirnya adalah, Pas adalah parti yang perlu dibenci oleh UMNO dan MN mesti dibenam sedalam-dalamnya dan hanya dengan bertanding solo UMNO dan BN akan mencapai kemenangan mutlak dua pertiga majoriti.
"Ini kerana ketika ini UMNO dalam posisi yang sangat kuat dan bukti daripada dua pilihan raya kecil (PRK) lalu, UMNO telah diterima rakyat dan boleh menang besar jika PRU15 dilaksanakan sekarang.
Klik di sini untuk terus membaca