SHAH ALAM – Pengurusan kewangan individu adalah amat penting bagi sebahagian besar pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH). Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, para pendeposit... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – Pengurusan kewangan individu adalah amat penting bagi sebahagian besar pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH).

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, para pendeposit seharusnya tidak boleh sentiasa berharap bahawa subsidi atau bantuan kewangan haji akan sentiasa ada sehingga tiba giliran mereka menunaikannya.

"Menguruskan kewangan adalah satu keperluan penting bagi setiap daripada kita. Kurangkan mengambil hutang, sentiasalah berbelanja berkhemah dan apabila kita tetapkan keinginan untuk menunaikan tanggungjawab menunaikan haji, maka saya yakin kita akan lebih berhemah dalam berbelanja.

"Semangat atau iltizam untuk menyimpan itu amat penting. Janganlah berharap sangat (subsidi atau bantuan kewangan).

"Kalau dapat bantuan itu anggaplah sebagai bonus. Tetapi kemampuan atau keinginan untuk menunaikan haji itu haruslah datang daripada kita dengan perbelanjaan secara berhemah dan menyimpan dengan istiqamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Edisi ke-341 bertajuk ‘Kos Haji Meningkat, Masih Ada Subsidi?’ yang bersiaran di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Program ini turut menampilkan Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun K C Ahmmu sebagai panel manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Baru-baru ini, TH memperkenalkan dua kategori kadar bayaran bagi jemaah haji muassasah yang pertama kali mengerjakan haji bermula tahun ini.

Bayaran sebanyak RM10,980 perlu dibayar oleh jemaah daripada golongan B40 iaitu peningkatan sebanyak RM1,000, manakala bayaran sebanyak RM12,980 dikenakan bagi jemaah bukan B40 iaitu melibatkan peningkatan sebanyak RM3,000.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin ketika itu berkata, kadar bayaran tersebut adalah berikutan kos haji bagi tahun ini meningkat kepada RM25,540 seorang berbanding RM22,900 pada 2019.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, penggenapan jumlah yang ditetapkan oleh TH bagi menunaikan haji adalah satu cabaran yang dihadapi oleh semua pihak.

"Kita lihat semasa dua tiga tahun pandemik ini banyak yang kehilangan pekerjaan dan menghadapi kos sara hidup semakin tinggi yang terpaksa mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai contoh untuk kelangsungan hidup.

"Maka sedikit sebanyak ia telah menjejaskan juga hasrat rata-rata pendeposit haji untuk mendapat simpanan yang cukup apabila panggilan telah tiba terutamanya mereka yang telah lama menabung,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca