SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengekalkan arahan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup kerana ia adalah perlindungan baris pertama daripada jangkitan Covid-19.
Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, pemakaian pelitup muka itu bukan sahaja mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 tetapi juga penyakit yang lain.
"Bagi saya, pemakaian pelitup muka ini secara jujurnya saya tidak benarkan buka kecuali di tempat yang terbuka (open air).
"Saya tetap memperjuangkan pemakaian pelitup muka ini sebab ia antara first line protection, selain vaksin untuk mengurangkan risiko jangkitan.
"Walaupun kerajaan kata tidak wajib lagi, saya tetap akan menggalakkan pemakaian pelitup muka sebab banyak pencegahan yang kita akan dapat, tidak semestinya terhadap Covid-19 semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian.
Kerajaan akan mengumumkan kelonggaran tiga prosedur operasi standard (SOP) utama yang diguna pakai sejak negara dilanda Covid-19 pada Rabu.
Ia melibatkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, mengimbas kod QR MySejahtera dan keperluan menjalani Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) di lapangan terbang.
Dalam pada itu, Dr Hanafiah berkata, bagaimanapun ia terletak di tangan rakyat sama ada untuk kepentingan diri sendiri atau kesihatan mereka.
Namun, tegas beliau, pilihan untuk selamat adalah memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak atau di kawasan tertutup.
"Selamat dalam erti kata lain, kita ada pilihan dan ikhtiar untuk mengelakkan jangkitan dengan cara penggunaan pelitup muka, kita boleh teruskan penggunaannya.
"Dalam kalangan mereka yang tidak memakai pula, jangan mencemuh atau mengejek pilihan mereka yang ingin kekal selamat dan tetap amalkan perlindungan ini,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, rakyat Malaysia tidak bersedia untuk membuat kawalan kendiri apabila semakin banyak kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan.
Dr Hanafiah berkata, ia bukan satu perkara kebiasaan yang dilakukan oleh mereka dan ini melibatkan kesihatan.
"Bagaimanapun, bagi mereka yang faham keperluan memakai pelitup muka dan patuh SOP akan terus patuh walaupun diberi kelonggaran.
"Apa-apa pun yang boleh saya katakan, tahap kematangan dan kesedaran kita masih sama seperti sebelum Covid-19 melanda, awal-awal sahaja, selepas itu tidak ambil peduli,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca