WORLD #QuranHour bukan hanya sebuah acara, malah sudah menjadi fenomena. Ia bermula sebagai riak yang kecil tetapi kini menjadi sebuah gelombang besar. Semakin lama, kempen World #QuranHour yang dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, dipayungi Kumpulan Karangkraf menjadi sebuah gerakan yang menarik sekian banyak khalayak untuk menyertainya.
Kelmarin, tanggal 24 Ramadan atau 26 April, kalangan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, penjawat awam, kakitangan swasta, badan berkanun, pasukan beruniform, badan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi individu telah meluangkan masa untuk bersama al-Quran selama satu jam.
Di Malaysia sahaja, lebih 15,000 organisasi telah sama-sama menyertainya di masjid, surau, madrasah, pejabat dan dewan kuliah. Malakat Mall, satu-satunya pasar raya Muslim yang sentiasa mengamalkan urusan muamalah secara Islam tidak ketinggalan menjadikan pasarnya sebagai lokasi kempen.
Tahun ini surah As-Sajdah dipilih dengan tema ‘Dunia Bersujud.’ Sujud adalah satu perbuatan melekapkan dahi ke bumi sebagai tanda menyerah kepada yang lebih berkuasa. Ia adalah tanda bahawa si pelaku memperakui dirinya hamba kepada tuannya. Siapakah ‘tuan’ yang selayaknya menerima sujud seorang hamba? Hari ini satu dunia kerap bersujud, malah senantiasa bersujud tetapi dunia kini bersujud kepada siapa? Siapakah yang dunia perakui sebagai ‘tuan’? Jawabnya, apa-apa sahaja, siapa-siapa sahaja selain ALLAH, Al-Khalik. Pelik, namun tidak menghairankan.
Dunia tidak sujud kepada ALLAH, Maha Pencipta Makhluk kerana mengiktiraf kuasa lain yang lebih hebat. Dunia sujud kepada pembangunan hingga sanggup menarah dan menjarah seluruh pelosok dunia hingga ekosistem alamnya jadi tunggang terbalik. Kini, dunia kerap berdepan pelbagai bencana alam.
SUJUD KEPADA WANG
Ribut taufan, banjir dan kebakaran hutan adalah akibat sujudnya dunia kepada pembangunan. Pencemaran udara, tenaga dan sumber air mengakibatkan apa yang selama ini percuma di alam ini terpaksa dibayar dengan harga mahal.
Dunia juga sujud kepada wang. Ramai mengejar wang, malah sudah bertuhankan wang. Apa yang mendatangkan keuntungan akan dinaikkan harganya agar laba berlipat ganda.
Tidak cukup dengan itu, sistem riba pula diamalkan. Istilah riba dinamakan faedah dan hutang pula diperkenalkan sebagai kredit semata-mata untuk memberi nama cantik buat sesuatu yang hodoh. Yang menguasai wang mahu mengumpul sebanyak wang, yang meminjam pula terus mengejar wang, juga kerana hendak membayar hutang.
Ramai juga manusia kini sujud kepada masa. Mereka kononnya tidak cukup masa, lalu berebut-rebut mengejar masa. Tamaknya manusia itu kerana masa yang ada hanya untuk diri. Makan, tidur, bekerja dan berhibur hanya diperuntukkan kepada dirinya. Berziarah untuk sahabat handai dan taulan tidak dapat dilakukan kerana dia tiada masa.
Mengapa manusia sujud pada makhluk dan tidak kepada Tuhan? Sebab manusia sudah jauh daripada Penciptanya. Mengapa manusia jauh daripada Penciptanya? Kerana manusia berasakan dia berkuasa terhadap apa yang dia mahu. Man jadda wa jadda. Kalau dia bersungguh-sungguh, dia akan dapat. Doa, tidak perlu kerana dia hanya perlu berusaha.
Maka akhirnya, dia melupakan ALLAH dan sebaliknya langsung sujud pada apa dikejarnya. Apabila dia tidak sujud kepada-Nya, itu tandanya dia sudah hilang iman. Malangnya, jika dia tidak sedar yang dia sudah tidak beriman.
Orang begini tidak akan merebahkan dirinya untuk bersujud kerana mereka adalah manusia sombong! Dalam solat, ada sujud. Maknanya, mereka yang sengaja meninggalkan solat yang mana di dalamnya ada sujud adalah manusia sombong.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca