JIKA Ferdinand Romualdez Marcos Jr. yang merupakan anak lelaki bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos Sr berjaya memenangi pilihan raya Presiden pada 9 Mei depan, beliau bukan satu-satunya dinasti Marcos yang kini sedang berkuasa di negara berkenaan.
Ini adalah kerana keluarga elit telah lama memerintah negara yang dilanda kemiskinan itu dan memegang kuasa selama beberapa generasi dengan memberikan bantuan kepada penduduk miskin, membeli undi atau menggunakan keganasan sebagai usaha untuk mendapatkan jawatan politik.
Marcos Jr. dikenali juga sebagai Bongbong Marcos dan kini berusia 64 tahun pernah berkhidmat sebagai Timbalan Gabenor Ilocos Norte, utara Filipina ketika berusia 20an dengan menang tanpa bertanding bagi memegang jawatan itu pada tahun 1983 apabila mewakili parti bapanya yang semasa itu menjadi Presiden.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Gabenor Wilayah Ilocos Norte iaitu tempat kelahiran bapanya pada tahun 1998, menjadi senator dari tahun 2010 hingga 2016 dan merupakan anak lelaki tunggal kepada Marcos Sr. dengan bekas wanita pertama, Imelda Romualdez Marcos yang terkenal kerana mempunyai koleksi hampir 3,000 kasut semasa menjadi isteri Presiden.
Bongbong Marcos bertanding bagi merebut jawatan Presiden setelah Presiden ketika ini, Rodrigo Duterte, 77, tidak boleh bertanding lagi mengikut Perlembagaan negara itu selepas beliau memerintah selama satu penggal yang melibatkan tempoh masa enam tahun.
Walaupun beliau masih belum dipilih menjadi Presiden, kakaknya, Imee Marcos, 66, merupakan seorang senator sejak tahun 2019 manakala anak Imee, Matthew Manotoc, 33, kini merupakan Gabenor Wilayah Ilocos Norte.
Sepupu Bongbong Marcos iaitu Michael Marcos Keon adalah seorang ahli politik dan bekas Gabenor Wilayah Ilocos Norte dari tahun 2007 hingga 2010 dan merupakan anak lelaki kepada adik perempuan Marcos Sr iaitu Elizabeth E. Marcos.
Elizabeth merupakan wanita pertama Filipina pernah menjadi Gabenor Wilayah Ilocos Norte dari tahun 1971 hingga 1983 ketika abangnya, Marcos Sr menjadi Presiden.
KUBU KUAT
Wilayah Ilocos Norte itu menjadi kubu kuat politik keluarga Marcos kerana bapa bekas Presiden Filipina itu ialah Mariano Marcos iaitu seorang peguam, ahli politik dan juga Ahli Kongres Filipina yang didakwa meninggal dunia pada tahun 1945 kerana dihukum mati oleh unit gerila anti-Jepun kerana bersubahat dengan pihak Jepun.
Justeru, dinasti Marcos kembali aktif politik selepas Marcos Sr meninggal dunia di Hawaii pada tahun 1989 setelah beliau melarikan diri akibat gelombang kebangkitan lebih sejuta rakyatnya pada tahun 1986 yang menentang pemerintahannya selama lebih 19 tahun kerana bersikap diktator, korup dan dituduh mencuri wang negara.
Pengganti Marcos Sr ketika itu, Presiden Corazon Aquino kemudian membenarkan isteri diktator itu, Imelda kembali ke Filipina dan beliau telah menceburi dunia politik walaupun reputasi buruk yang dialami oleh mendiang suaminya sebelum kematiannya itu.
Corazon yang merupakan wanita pertama memegang jawatan sebagai Presiden selepas suaminya yang merupakan pengkritik rejim Marcos dan bekas Gabenor Wilayah Tarlac serta mantan Senator iaitu Benigno 'Ninoy' Simeon Aquino Jr., mati ditembak di lapangan terbang antarabangsa Manila ketika pulang ke Filipina dari Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 1983.
Isteri Aquino Jr itu telah menentang Marcos Sr dalam pilihan raya Presiden yang diadakan secara mengejut pada tahun 1986.
Namun, Marcos Sr diumumkan sebagai pemenang di tengah-tengah penipuan pilihan raya besar-besaran menyebabkan protes besar-besaran bermula dan Marcos Sr kemudian melarikan diri ke Hawaii, AS selepas beberapa hari gelombang kebangkitan rakyat negara tersebut diadakan.
Seorang anak lelaki Corazon bersama dengan suaminya tersebut iaitu Benigno Aquino III juga pernah menjadi Presiden Filipina pada tahun 2010 hingga 2016 sebelum digantikan dengan Duterte yang memegang jawatan yang sama dari tahun 2016 sehingga tahun ini.
Bagaimanapun, seorang anak perempuannya Duterte, Sara, 43, yang kini merupakan Datuk Bandar Davao bertanding untuk jawatan Naib Presiden negara itu manakala bapanya yang pernah menjadi Datuk Bandar Davao lebih 21 tahun telah berkata bahawa beliau telah melaksanakan tugasnya.
"Saya mempunyai seorang anak perempuan yang bertanding jawatan Naib Presiden, seorang anak lelaki yang akan bertanding untuk menjadi anggota Kongres dan seorang lagi sebagai datuk bandar. Saya berpuas hati," kata Presiden Filipina tersebut seperti dilaporkan oleh AFP.
Menurut Julio Teehankee iaitu seorang profesor politik di Universiti De La Salle, Manila, kepulauan Filipina telah melahirkan kira-kira 319 keluarga dinasti politik, sejak negara itu menjadi jajahan AS pada separuh pertama abad ke-20.
Bagaimanapun, pada tahun 2019, sekurang-kurangnya 234 orang daripada keluarga dinasti politik itu telah memenangi jawatan dalam pilihan raya penggal pertengahan, katanya.
Usaha untuk mengurangkan pengaruh keluarga sebegitu menjadi sia-sia walaupun Perlembagaan negara pada tahun 1987 mewajibkan Kongres mengharamkan mereka.
"Anda tidak boleh mengharapkan sebuah rumah yang penuh dengan dinasti (keturunan politik) meluluskan undang-undang antidinasti. Ia seperti meminta Dracula untuk menjaga bank darah," kata Teehankee seperti dilaporkan oleh AFP. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca