PERNAH tengok golongan lelaki kita pakai kilt, skirt lelaki-lelaki Scotland yang dari jauh nampak menarik, dari dekat nampak pelik itu? Pernah tengok orang kita berebut-rebut makan fufu, banku, kenkey, foutou, garri dan makanan-makanan... Klik di sini untuk terus membaca

PERNAH tengok golongan lelaki kita pakai kilt, skirt lelaki-lelaki Scotland yang dari jauh nampak menarik, dari dekat nampak pelik itu? Pernah tengok orang kita berebut-rebut makan fufu, banku, kenkey, foutou, garri dan makanan-makanan popular Afrika yang lain? Bagaimana dengan tarian hallingdansen yang popular di Norway atau marinera yang menjadi warisan Peru.

Pernahkah anda lihat sesiapa di sini menarikannya? Jawapan bagi semua soalan di atas mungkin sama - tidak pernah.

Kita tidak terpengaruh dengan budaya Scotland, Afrika, Norway, Peru dan ratusan negara lain kerana kita tidak mempunyai hubungan sejarah dengan mereka. Sebaliknya, Arab, India, China dan England adalah sebahagian daripada sejarah kita. Jadi, tidaklah pelik kalau pengaruh budayanya besar ke atas kehidupan kita.

Tetapi bagaimana dengan Korea Selatan? Sama ada anda belek buku sejarah yang ‘dibaca’ oleh Pak Maun dalam filem Nasib Do Re Mi, atau buku sejarah betul, anda akan mendapati orang-orang Korea tidak pernah berulang-alik berdagang di Melaka.

Mereka juga tidak pernah muncul dalam sejarah Langkasuka atau Gangga Negara. Jadi, pada dasarnya Korea tidak pernah mempunyai apa-apa hubungan sejarah atau budaya dengan kita.

Ironinya, sekarang ini apa sahaja tentang Korea (baca: Korea Selatan) menjadi kegilaan orang kita. Muzik, filem, drama, pakaian, makanan, fesyen, kosmetik dan serba-serbi yang lain dari negara itu telah meresap jauh hingga ke ceruk-ceruk terpencil.

Telah ada pak cik yang tak senang duduk kalau tak pekena kimchi atau bulgogi seminggu sekali. Telah ramai mak cik yang tahu serba-serbi tentang anggota kumpulan BTS, Black Pink, EXO, Bigbang, atau Got7 walaupun dia tidak berapa ingat nama cucunya sendiri.

Tidaklah pelik kalau kita terikut-ikut dengan budaya Amerika Syarikat. Ia kuasa besar yang besar juga pengaruhnya ke atas banyak bahagian dunia. Namun, Korea Selatan bukannya kuasa besar. Dari segi saiz pun begitu. Ia tidak besar. Luasnya cuma kira-kira satu pertiga saiz negara kita.

Pengaruh bahasa Korea tidak meluas. Secara umumnya, ia hanya dituturkan oleh orang Korea - 48 juta di Korea Selatan, 24 juta di Korea Utara. Selebihnya mungkin dua tiga juta di sana sini. Kalau dicampur secara keseluruhan, jumlahnya jauh lebih kecil berbanding 290 juta penutur bahasa Melayu.

Soalnya, bagaimanakah sebuah negara bukan kuasa besar, bersaiz kecil, dengan bahasa yang terbilang kecil pengaruhnya boleh mengeksport budayanya sehingga menjadi ikutan dan kegilaan hampir ke merata penjuru alam.

Bapa Pembangunan Korea Selatan, Jeneral Park Chung-hee sendiri mungkin tidak menyangka negara yang diterajuinya selama 17 tahun itu akan menjadi sehebat sekarang.

Ketika dia mula berkuasa pada 1962 –melalui rampasan kuasa – Korea Selatan adalah antara negara termiskin di dunia. Perkapita rakyatnya pada 1961 hanya AS$72. Enam tahun sebelumnya, angka itu cuma AS$64 dan majalah Time ketika itu menggambarkan keadaan Korea Selatan lebih buruk dari Iraq, Liberia, dan Zimbabwe.

SEMANGAT

Tetapi realiti itu tidak memudarkan semangat rejim tentera pimpinan Park. Presiden itu memperkenalkan dasar dan pendekatan yang kemudiannya mengubah Korea Selatan secara total.

Rakyat dimotivasikan supaya bekerja keras, bersedia menerima gaji rendah tetapi meletakkan sasaran yang tinggi. Disiplin dijadikan keutamaan. Pendidikan diberi tumpuan.

Kerana Korea Selatan tidak dilimpahi sumber kekayaan semula jadi, Park menjadikan perindustrian, terutama industri berat sebagai fokus utama, manakala sektor pertanian dirangsang bagi menghasilkan produk yang berganda dan berkualiti.

Menjelang 1980-an, Korea Selatan sudah mula bergerak pantas ke hadapan tetapi pengaruhnya belum ada. Bagi kita di Malaysia, Korea Selatan lebih dikenali kerana pasukan bola sepaknya yang menjadi antara gergasi di Pesta Bola Merdeka. Selain itu, mungkin melalui Dasar Pandang Ke Timur. Tetapi setakat itu sajalah. Malah, ketika Seoul menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 1988, kita tetap tidak ambil pusing mengenai negara tersebut.

Pada masa itu, Korea Selatan tidak penting bagi kita. Jika diberi pita video filem Korea, mungkin kita buang begitu sahaja. Bagi kita, ia sesuatu yang asing. Tiada kaitan.

Semuanya perlahan-lahan berubah. Pada tahun 1990-an, kerajaan Korea Selatan mula melihat keperluan menjadikan negara itu sebagai kuasa baharu dunia, bukan dengan ketenteraan (hard power) tetapi melalui budaya popular (soft power). Sasaran awalnya ialah negara-negara jiran, China dan Jepun.

Maka, pada 1997, buat pertama kalinya drama Korea ditayangkan di televisyen negara China. Kerajaan sendiri, melalui kementerian berkaitan kemudiannya menerbitkan album lagu-lagu Korea yang pasarannya disasarkan ke China.

GELOMBANG

Dari situlah bermulanya ‘hallyu’ yang bermaksud ‘gelombang Korea’. Pada masa sama, penarikan balik sekatan budaya Korea Selatan – Jepun turut membantu merancakkan gelombang tersebut.

Komitmen kerajaan yang menyediakan pelbagai dana dan kemudahan merangsang industri seni kreatif Korea Selatan. Dan ledakan bermula dengan kemunculan filem ‘Shiri’ pada 1999. Filem itu mencatat rekod kutipan luar biasa dan seterusnya menjadi fenomena. Selain China, Jepun dan Hong Kong, ‘Shiri’ turut mendapat sambutan di banyak negara Asia lain.

Shiri menjadi pemangkin kepada semangat dan keyakinan baharu penggiat seni Korea Selatan. Dan apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah. Pada 2000, muncul drama bersiri ‘Autumn in my heart’ (Endless Love) yang turut meledak di pasaran. Kemudian ‘My Sassy Girl’, ‘Winter Sonata’ dan seterusnya senarai pun bertambah panjang.

Filem/drama dan lagu selalunya bergerak seiring. Tembus yang satu, loloslah yang satu lagi. Apabila filem dan dramanya mula menakluki Asia serta dunia, maka lagu-lagu Korea Selatan pun ikut meledak. Tak faham lirik tidak mengapa, asalkan dapat siulkan melodinya.

Kumpulan-kumpulan K-pop menjadi kegilaan. Apa sahaja yang mereka buat dijadikan contoh. Bila Suho, anggota EXO memakai selipar Jepun, maka selipar itu menjadi kegilaan. Bila budak-budak K-pop Korea berambut kuning, stail rambut itu turut menjadi ikutan.

Kemuncak pengaruh muzik K-pop dapat disaksikan dengan kemunculan lagu Gangnam Style, nyanyian Psy. Lagu yang kawan emak saya kata ‘entah apa-apa itu’ menjadi kegilaan. Setakat ini di Youtube, ia meraih tontonan lebih 4.3 bilion kali.

Usaha Korea Selatan tidak terhenti setakat itu. Langkah untuk melebarkan pengaruh berjalan secara berterusan. Perancangan baharu dibuat, selera khalayak dikaji selidik, bakat baharu dicungkil, sekolah-sekolah seni diwujudkan, produktiviti industri ditingkatkan.

Bagi kita pula, serba-serbi tentang Korea Selatan telah menjadi begitu dekat. Apa sahaja ‘k’ yang datang dari sana, kita berikan tempat istimewa di hati. Kita tiru dan kita ikut.

Kalau ada pun yang kita tak tiru dan tak ikut cuma ‘k(erajinan)’ dan ‘k(esungguhan)’. Yang itu mungkin belum sampai seru lagi. #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca