SHAH ALAM - UMNO Kelantan tidak mempunyai butiran terperinci mengenai hasil pertemuan antara Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dengan Pengerusi Amanah Kelantan, Muhammad Hussin sempena majlis berbuka puasa anjuran Pakatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO Kelantan tidak mempunyai butiran terperinci mengenai hasil pertemuan antara Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dengan Pengerusi Amanah Kelantan, Muhammad Hussin sempena majlis berbuka puasa anjuran Pakatan Harapan (PH) di Kota Bharu, baru-baru ini.

Berikutan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, menolak khabar angin bahawa UMNO akan bekerjasama dengan PH untuk menyusun strategi menawan Kelantan daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Saya mahu dengar apa kata Ku Li (Tengku Razaleigh) sendiri dulu baru boleh mengeluarkan kenyataan rasmi.

"Kalau saya keluarkan kepada media tiba-tiba beliau menyatakan tiada apa-apa perbincangan dibuat, tidak ke malu kita. Jadi biar kita dengar Ku Li kata apa dulu," katanya kepada Sinar Premium.

Ahmad Jazlan berkata demikian ketika mengulas laporan mendakwa Tengku Razaleigh, sudah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Amanah Kelantan, Muhammad Hussin sempena majlis berbuka puasa di Kota Bharu, Kelantan, dipercayai bagi membincangan strategi dan kerjasama bagi merampas negeri berkenaan dari Pas pada PRU15, tidak lama lagi.

UMNO KEKAL SOLO

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang, menegaskan setakat ini UMNO Kelantan kekal dengan pendirian akan bertanding secara solo di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen pada PRU15 nanti.

Sehubungan itu, Ahmad Jazlan berkata, beliau berharap tiada lagi tanggapan bahawa UMNO Kelantan menolak Muafakat Nasional (MN).

Tengku Razaleigh (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Melayu Perak kesembilan di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Taman Cempaka, Ipoh pada Sabtu.

Tambah Ahmad Jazlan, sebenarnya pihak yang menolak pembentukan MN di Kelantan ialah Pas bukannya UMNO seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

"Orang yang menolak MN sebenarnya Pas apabila mereka memungkiri janji dan tidak patuh kepada ikrar, tidak setia dalam persahabatan dan tidak menunaikan janji yang dibuat oleh mereka sendiri.

"Malah, tidak cukup dengan itu Pas secara diam-diam dan rahsia menyertai Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Apabila Pas menyertai PN apa guna mereka berada dalam MN.

"Sepatutnya Pas terus kekal dalam MN dan menjemput parti lain untuk menjadi rakan sekutu, bukan mereka pergi masuk PN, malah bergabung dengan Bersatu yang mahu membunuh UMNO. Jadi inikah yang kita patut panggil sahabat dan kawan, maka secara ringkasnya kita (BN/UMNO) lawan sahajalah dengan Pas, pada PRU15 nanti," katanya.

Ahmad Jazlan (kanan) menyampaikan zakat kepada penerima di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, Machang pada Selasa.

Ahmad Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status terkini dan masa depan MN di Kelantan susulan ada beberapa pemimpin UMNO dan Pas masih berpandangan kerjasama Pas dan UMNO dalam MN termasuk di Negeri Cik Siti Wan Kembang terbabit.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, tindakan itu perlu kerana di Kelantan hanya dua parti iaitu UMNO dan Pas mampu mentadbir dan menang setiap kali pilihan raya diadakan.

"Kalau Pas beranggapan bahawa mereka adalah parti memperjuangkan agama Islam dan bangsa Melayu, maka apa kurang UMNO yang memperjuangkan perkara sama.

"Kalau UMNO menang PRU15 maka parti Islam dan Melayu akan menang. Begitu juga jika Pas menang. Jadi saya menyerahkan kepada rakyat Kelantan untuk membuat penilaian dan membuat pilihan tepat demi masa depan mereka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca