SHAH ALAM - Umat Islam dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tular mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri yang didakwa akan disambut pada 2 Mei ini.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam perlu menunggu keputusan pengisytiharan yang akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja nanti.
"Orang ramai dinasihatkan supaya jangan panik dan tidak terpengaruh dengan apa sahaja berita yang tular di media sosial.
"Umat Islam juga perlu menyemak dengan pihak yang rasmi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Satu tangkap layar WhatsApp yang mendakwa Hari Raya Aidilfitri kali ini bakal disambut sehari awal iaitu pada Isnin mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Terdapat juga video tular yang mendakwa berdasarkan kiraan moden, sambutan Aidilfitri adalah pada hari Isnin dan bukannya Selasa seperti yang diketahui umum.
Mengulas lanjut, Wan Salim juga menjelaskan cerapan untuk menentukan tarikh hari raya yang akan dibuat nanti juga akan dilakukan oleh pakar yang berwibawa.Justeru, umat Islam tidak perlu ragu-ragu dengan hasil cerapan dan juga keputusan tarikh hari raya yang akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.
"Cerapan akan dilakukan pada Ahad ini oleh setiap negeri-negeri dan keputusan itu akan disampaikan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja."Mereka yang membuat cerapan terdiri daripada ahli astronomi dan juga ulama yang berwibawa. Jadi, kita tidak payah dengar sebarang khabar angin yang tidak sahih mengenai tarikh hari raya ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca