[WAWANCARA EKSKLUSIF] Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kini menjangkau usia 51 tahun. Pertubuhan berlandaskan syariat Islam itu terkenal bukan sahaja kerana aspirasinya yang mengangkat Islam sebagai dasar penubuhan, malah dikenali ramai... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA EKSKLUSIF] Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kini menjangkau usia 51 tahun. Pertubuhan berlandaskan syariat Islam itu terkenal bukan sahaja kerana aspirasinya yang mengangkat Islam sebagai dasar penubuhan, malah dikenali ramai kerana melahirkan figura hebat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyusuri hala tuju ABIM ketika ini, Sinar Harian menerusi program Bersama Johan Jaaffar menemu bual Presiden ABIM ke-10, Muhammad Faisal Abdul Aziz untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai masa depan pertubuhan itu serta aspirasinya.

Ikuti wawancara dikendalikan tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.

JOHAN: ABIM sudah berusia 51 tahun. Ke mana hala tuju ABIM sekarang?

FAISAL: ABIM berorientasikan gerakan Islam, mahu bawa perubahan sosial dan cara berfikir. Kita membawakan tema gerakan ilmu dan bakti. Perubahan sosial ialah perubahan mengeluarkan masyarakat daripada garis kemiskinan, elemen kebaktian, perubahan cara fikir, normalisasi isu rasuah, ekstremisme dan pemikiran seumpamanya.

Berasaskan kepada elemen yang disebut itu, kita mahu memastikan masyarakat ada pelengkap untuk keluar daripada kelesuan dan kemiskinan, serta pemikiran mereka dicorakkan untuk bebas daripada gejala ekstrem.

Adakah itu sesuatu yang baharu atau memang proses yang berlaku dalam ABIM sejak penubuhannya?

Kita akui ia sesuatu penerusan, malah kita mempercepatkan perubahan. Sebab itu apabila kita menyebut agenda perubahan, kita berinteraksi dengan acuan perubahan lampau sama ada dari dalam atau di luar ABIM.

Malah kalau di dalam ABIM, kita ada pimpinan-pimpinan yang lalu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, (Allahyarham Profesor Datuk Dr) Siddiq Fadzil dan sebagainya.

Salah satu perkara yang selalu orang kaitkan dengan ABIM adalah tokoh-tokoh yang pernah memimpin pertubuhan itu termasuk Profesor Razali Nawawi, Anwar Ibrahim dan Siddiq Fadzil. Ini membayangi pimpinan pada hari ini. Apakah saudara rasa menakutkan berdepan dengan tokoh-tokoh besar ini?

Saya berpegang kepada kata-kata Almarhum Siddiq Fadzil. Ada dua faktor kejayaan ABIM. Pertama, ABIM lahir pada waktu yang tepat, ketika membawa elemen kesedaran Islam. Yang kedua ialah kepimpinan kolektif.

Apabila orang berkata tentang ABIM, dia bukan sahaja mengatakan tentang sejarah presiden. Ia adalah sejarah umat, berdekad-dekad lama. Malah apabila bercakap soal kejayaan, bukan sahaja di peringkat pusat tetapi peringkat negeri dan daerah. Ia bersifat kolektif.

Apakah ABIM berdepan dengan krisis pertengahan umur sebab ada yang menanyakan tentang hala tuju dan relevan ABIM pada hari ini?

Sebenarnya ABIM dilatih dan dididik untuk menjadi 'destination driven'. Kita bukan gerakan yang 'heritage driven'. Jadi apabila bercerita tentang 'destination driven', kita selalu melihat ke hadapan. Mungkin bahasa mudahnya ialah hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini. Jadi kalau kita melihat acuan yang betul dan tepat, kita bersungguh-sungguh beradaptasi dengan tujuan hari ini.

Kita cuba untuk menambah baik diri, organisasi dan juga masyarakat. Kita tidak fikir apa yang dilakukan itu sudah cukup. Jadi, tidak timbul persoalan sebegitu dan bagi kita, masih lagi belum cukup apa yang ABIM lakukan untuk masyarakat.

Muhammad Faisal (kanan) ketika diwawancara dalam program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf Shah Alam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

PERUBAHAN SOSIAL DAN PEMIKIRAN

Kita banyak mendengar konsep seperti islah, usrah, Tamrin al-Qader dan sebagainya. Apakah semua ini berjalan sebagai sebahagian aktiviti ABIM?

Islah adalah satu rangkaian perubahan. Itu memang orientasi ABIM dan relevannya adalah untuk membawa perubahan sosial dan cara berfikir. Sesi usrah adalah sistem inovasi pembelajaran agama. Kalau dahulu sebelum wujudnya sesi usrah, menelaah agama itu atas dasar satu hala, Pak Kiai dengan anak murid, tetapi ABIM sebagai gerakan Islam. Kita membawa agenda usrah ini, pembelajaran agama dibimbing secara berpatisipasi.

Kita wujudkan suasana dialog, berbeza pandangan dan atas kerancakkan itu, usrah ABIM melahirkan banyak gagasan-gagasan besar. Perubahan sekolah-sekolah ABIM, Taski ABIM, hospital ABIM lahir daripada sesi usrah.

Jadi usrah itu masih relevan dan kekal kerana ia bukan konsep gerakan. Ia adalah satu sesi dialog untuk membimbing orang memahami Islam dan menghormati pandangan semua pihak untuk berpatisipasi.

Salah satu perkara penting yang dibawa oleh ABIM adalah pembabitan dalam soal pendidikan. Sebab itu wujud sekolah ABIM. Apakah aktivisme seperti ini masih dijalankan?

ABIM memang tidak terlepas daripada agenda pendidikan, malah sejak dahulu lagi. Ramainya guru-guru kebanyakan di kampung-kampung masih aktif. Mereka ini adalah pendidik. Sebab itu patisipasi ABIM merubah dasar-dasar utama negara khususnya dalam konteks pendidikan masih berlanjutan.

Kita mempunyai hubungan kuat dengan pembuat dasar dalam bidang pendidikan. Kita berterima kasih kerana acuan ini dicorakkan daripada mantan pemimpin ABIM dahulu.

Salah satu daripada perkara yang sepatutnya ABIM ambil kredit adalah dengan pemakaian tudung dalam kalangan wanita, Melayu Islam di Malaysia yang bermula dalam tahun 70-an. Apakah ini satu sumbangan terbesar dalam konteks itu?

Benar pemakaian tudung adalah satu sumbangan besar ABIM. Ia dilihat sebagai satu yang penuh dengan makna. Tahun 70-an itu bukan mudah memakai tudung di kampus, mereka dihalau daripada duduk di dalam kampus dan sebagainya. Bagi kita, ini adalah cabaran yang berjaya ditempuh oleh hal ehwal wanita ABIM. Tetapi ia bukanlah satu-satunya kejayaan ABIM, ia menifestasi ABIM kepada kesedaran Islam yang dibawa oleh kita.

Salah satu perkara yang ditekankan oleh ABIM pada ketika itu ialah Milzam al-Ahya iaitu 'Way Of Life'. Maka apakah hal-hal luaran seperti tudung atau pakaian menjadi satu isi besar lebih daripada hal-hal lain dalam Islam?

Pemakaian tudung itu hanya bersifat luaran. Tetapi kita lebih menekankan kepada Islam sebagai penyelesaian praktikal. Dalam konteks sejarah ABIM, ia datang daripada kesedaran individu, kelompok dan organisasi. Menjalar kepada masyarakat dan ABIM menginstitusikan beberapa agenda-agenda dalam konteks praktikal amalan Islam. Yang lebih utama adalah konteks dalaman, bukan pakaian atau retorika tetapi apa yang ingin kita buat dalam penyelesaian praktikal kepada masyarakat.

MANHAJ MALIZIY

Apa beza antara kejayaan dalam konteks perniagaan yang dibandingkan dengan al-Arqam. Dari segi gerakan perniagaan, sesama ahli atau menyeluruh, nampaknya mereka lebih berkesan daripada ABIM?

Bagi kita, gerakan perniagaan, contohnya apa yang kita buat, lebih kepada untuk kita menyediakan penyelesaian kepada masyarakat. Jadi apa yang digerakkan oleh ABIM ialah bersifat inklusif, bukan eksklusif untuk ABIM.

Berbalik kepada model-model pendidikan ABIM, kita menyediakan sekolah, buat hospital, koperasi sebagai contoh, ia adalah untuk keseluruhan umat untuk menerima manfaat.

Dalam konteks keislaman orang Melayu, mungkin kalau di Pulau Jawa, tidak semua Muslim di negara Arab itu semua Islam. Tetapi di Malaysia, hampir 99.9 peratus orang Melayu itu Muslim. Tidakkah saudara melihat orang Melayu itu cuba mengetepikan nilai kemelayuan yang asli, serasi dengan Islam semata-mata untuk menjadi lebih Islamik tetapi akhirnya mereka lebih kepada Islam tetapi kurang Melayu?

ABIM membawa satu istihad setempat yang disebut Manhaj Maliziy, pembawakan dakwah dan pengamalan Islam berasaskan budaya setempat. Dua perkara iaitu dinilai dengan kebijaksanaan (hikmah) dan pertengahan bermaksud apabila kita menerima ajaran daripada luar, ia harus didorong oleh kebijaksanaan kita dan konsep wasatiyyah. Itu meraikan elemen-elemen budaya setempat dan ia bukan hanya terangkum dalam konteks pengalaman Islam, tetapi bermualamat. Melayu ada caranya, halus, sifat inklusif dan meraikan.

Apa komen saudara tentang keperluan untuk kita menghargai kewujudan orang lain, bukan hanya orang Islam, malah kaum lain. Apakah ini mempunyai kaitan sifat progresif yang dipancarkan oleh ABIM?

Dalam ucapan dasar baru-baru ini, kita ada sebut apabila bercakap tentang kebangkitan Islam, manfaatnya harus diterima oleh bukan hanya oleh ABIM atau orang Islam tetapi harus diterima oleh bukan Islam dan penghuni bumi. Kita percaya ia adalah sesuatu ditanggapi sebagai rahmat bukan sebagai ancaman.

Sebagai contoh, bila kita sebut tentang pensijilan halal Jakim, ABIM mengusulkan supaya sijil Halal itu dimasukkan juga kriteria mesra alam sebagai galakan. Tujuannya untuk mendidik dalam aspek kepenggunaan orang Islam supaya cakna terhadap isu krisis alam, perubahan iklim, kualiti hidup generasi akan datang. Jadi kita simpulkan bahawa semakin ramai yang berpegang kepada Islam, semakin ramai orang kuat berpegang kepada memperjuangkan isu-isu alam.

Apa agaknya cabaran yang paling besar yang dihadapi oleh ABIM kepada mereka yang mahu mengenali ABIM?

ABIM menyediakan banyak platform dan berkembang. Sebab itu kita berkembang dalam aspek agensi-agensi kemanusiaan, sekolah pelarian, hospital untuk kesihatan dan kepakaran Islam, malah ada juga perniagaan. Bila disebut tentang ahli, sebenarnya kita telah menyediakan sebanyak boleh platform yang ada untuk ahli-ahli beri sumbangan. Apabila anda menjadi ahli ABIM, anda bukan menyumbang kepada ABIM, tetapi kepada umat.

KRISIS SIFAT EKSTREMISME

Apakah krisis pemikiran utama dalam kalangan umat Islam sekarang ini?

Saya fikir krisis utama kini dalam konteks semasa, antaranya sifat ekstremisme dan kita tidak nafikan ia berlaku atas banyak faktor. Saya mengambil contoh peperangan antara Rusia dan Ukraine. ABIM mengeluarkan kenyataan kita menolak peprangan kerana ia menjejaskan isu-isu kemanusiaan dan berlakunya pelarian. Dalam masa sama kita juga menyokong rakyat Palestin, Kashmir, Uighur yang tertindas.

Kesan besar peperangan ini bukan kesan perang, tetapi ia adalah kesan selepas itu apabila melihat kepada bias atau berat sebelah tindakan Barat kepada Rusia. Tidak berlaku terhadap umat Islam Palestin, kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan India di Kashmir. Ini yang menyebabkan berlakunya gejala ekstremisme, kekecewaan dalam kalangan umat seluruh dunia terhadap ketempangan keadilan dunia menyebabkan rasa kepiluan yang mendorong pemikiran yang ekstrem.

Salah satu masalah dihadapi dalam kalangan umat Islam di Malaysia ialah terlalu banyak institusi yang tidak formal membuat fatwa, mengeluarkan penjelasan berkenaan isu-isu Islam dan sebagainya sehingga menimbulkan kecelaruan dan kekeliruan. Apakah ABIM merasakan ada keperluan untuk membantu mengurangkan suara-suara pelbagai ini dalam konteks memastikan keharmonian dalam kalangan umat Islam?

Kebebasan bersuara itu adalah hak untuk setiap orang, namun perlu ada adab dan ilmu. Bagi saya ia adalah satu refleksi bahawa orang semakin meminati Islam kerana apabila ramai orang bercakap mengenai Islam, bermaksud agama itu menjadi sesuatu yang amat diminati oleh masyarakat. Namun bagi ABIM, apa yang kita ketengahkan adalah prinsip wasatiyyah itu sendiri, pertengahan.

Kita mendidik masyarakat dalam konteks wasatiyyah. Apabila kita menerima anutan atau ajaran daripada mana-mana pihak, kita harus menerima dalam kerangka pertengahan dan bersederhana. Jangan jatuh ke kancah ekstrem hingga benci antara satu sama lain dan menyebabkan berlaku kekeliruan dan perpecahan. Prinsip wasatiyyah itu penting dalam menerima mana-mana ajaran, pandangan atau fatwa daripada orang luar.

Masalah yang paling besar adalah gerakan Islam tidak lagi menjadi suara bicara untuk menyatakan, melindungi atau mempertahankan golongan kecil. Tidak membabitkan soal rakyat penderitaan dan kekejaman yang membabitkan kemiskinan. Tumpuan terlalu banyak diberikan kepada isu antarabangsa. Apa pandangan saudara?

Tidak dinafikan wujud kelompok gerakan Islam yang masih lagi memperjuangkan isu-isu tersebut, tetapi mungkin kita berada dalam situasi kepenatan isu. Terlalu banyak isu yang bersilih ganti antara satu sama lain. Hari ini kita berbicara tentang Covid-19, tiba-tiba esok tentang bencana. Kemudian berlaku pula isu rasuah. Ini yang saya fikir memerlukan masa untuk bukan sahaja pergerakan Islam tetapi untuk NGO lain lakukan penyelarasan terhadap isu-isu lain yang diperjuangkan.

PERJUANGAN AGENDA REFORMASI

Dalam wawancara Profesor Tan Sri Mohd Kamal Hasan dalam buku ‘Corruption And Hypocrisy In Malay Muslim Politics’ beliau menyatakan perlunya gerakan massa seperti ABIM untuk bangkit menyuarakan kebenaran dan menentang kemunafikan untuk menterjemah hipokrasi. Apa pandangan saudara?

Memang benar ABIM sebelum ini berperanan besar dalam memastikan badan-badan penguat kuasa bersifat mandiri dan kita pro kepada agenda reformasi dalam transformasi politik dan tata kelola yang baik. Ia amat penting untuk gerakan massa mengetengahkan isu ini kerana kesan rasuah itu besar. Ia bukan hanya soal bagi duit, selesai. Tetapi ia membawa dua elemen yang disebut oleh Syed Hussin Alatas dalam bukunya ‘Rasuah’ iaitu rakyat atau masyarakat tanpa nilai langsung, tidak ada sandaran lagi apabila rasuah itu dinormalisasikan.

Yang kedua ialah rakyat sinikal. Hari ini apabila si A melihat si B kaya, ada pandangan bahawa B dapat tender dan terlibat rasuah. Seolah-olah masyarakat sekarang sudah hilang kerukunan, moral dan sesuatu yang boleh kita pegang. Akhirnya boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dalam masyarakat. Bangsa diperkotak-katikkan dan pembahagian kelas dibahagikan. Sebab itu ABIM menghargai peranan beliau. ABIM mengetengahkan bangsa bermaruah dan yang menolak rasuah. Ini adalah identiti kebersamaan sebagai rakyat Malaysia, kita dokong identiti bangsa Malaysia.

Situasi politik di Malaysia. Apa komen saudara?

Dalam konteks hari ini, saya rasa kita mempunyai masalah kelelahan dalam kalangan masyarakat kerana atas faktor perubahan drastik Perdana Menteri dan sebagainya. Tetapi saya fikir kita positif, melihat apa yang berlaku hari ini adalah kematangan. Kalau di Indonesia, ketika krisis, berlaku pertukaran Presiden yang terlalu ramai dalam tempoh yang singkat. Malaysia juga hari ini meniti jalan yang sama dan kita boleh melihat ke hadapan apa yang akan berlaku kalau kita bersedia untuk memimpin perubahan.

Tan Sri Johan Jaaffar

Antara yang dibangkitkan ketika ini adalah orang politik dari segi defisit kepercayaan berada pada kedudukan yang paling rendah sekali. Apa agaknya yang boleh ABIM lakukan untuk mengubah persepsi ini dan memastikan orang politik mempunyai pegangan 'moral compass etika', 'good governance' dan sebagainya?

Bagi saya, perkara yang penting adalah perubahan polisi atau dasar. Bagi memastikan orang politik menerima atau menambah baik pengamalan politik yang bersih, perlu ada desentralisasi kuasa. Kuasa Perdana Menteri itu harus dikurangkan, jadi dua penggal dan kuasa melantik juga harus dikurangkan. Secara tidak langsung ahli politik terpandu kepada kompas yang betul. Kita fikir dalam konteks governance pada hari ini iaitu isu lompat parti. ABIM mengetengahkan akta untuk melucutkan ahli Parlimen kalau berlakunya perkara yang di luar batasan undang-undang atau penderhakaan terhadap mandat rakyat.

Jadi, kalau orang politik sendiri sanggup mengurangkan kuasa melakukan salah guna, maka orang politik akan mendapat kepercayaan rakyat.

Apa yang saudara lihat ABIM dalam tempoh 50 tahun dari sekarang?

Saya fikir ABIM ada disiplin dan berkembang sebab kita belajar. Kita juga tidak malu untuk belajar daripada senior dan berkonsep aspirasi. Apabila bercakap tentang masa depan Malaysia, kita mahukan aspirasi ABIM dikongsi dengan kawan-kawan bukan Islam. Ini aspirasi kita dan atas libat urus dan adaptasi keperluan masyarakat.

Saya optimis pimpinan ABIM dalam 50 tahun akan datang kita akan terus kuat dan kukuh, asalkan berpegang kepada disiplin yang disebut tadi.

Klik di sini untuk terus membaca