DAKWAAN blogger dalam pelarian, Raja Petra Kamarudin baru-baru ini terhadap Hakim Mahkamah Rayuan benar-benar mencetuskan 'suhu panas' buat sistem perundangan dan pihak kehakiman negara. Blogger sensasi itu mendesak agar hakim Datuk Mohd... Klik di sini untuk terus membaca

DAKWAAN blogger dalam pelarian, Raja Petra Kamarudin baru-baru ini terhadap Hakim Mahkamah Rayuan benar-benar mencetuskan 'suhu panas' buat sistem perundangan dan pihak kehakiman negara.

Blogger sensasi itu mendesak agar hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali disiasat ekoran kononnya beliau terlibat dengan konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang turut membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Raja Petra dalam portal Malaysia Today baru-baru ini, Nazlan perlu disiasat berhubung wang lebih RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

Pertuduhan yang dilemparkan oleh blogger tersebut ternyata mengejutkan banyak pihak, sekali gus mengundang pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil membuat siasatan selepas menerima satu laporan.

Namun tindakan yang diambil oleh SPRM ekoran pertuduhan Raja Petra itu dilihat sebagai perbuatan 'melanggar batas' kerana siasatan yang dilaksanakan telah melanggar lunas perlembagaan yang seharusnya dipatuhi oleh semua pihak.

Malah Badan Peguam Malaysia secara terbuka menyatakan rasa tidak bersetuju, malah menyatakan pendirian menentang tindakan yang diambil oleh SPRM.

Selain menyatakan campur tangan SPRM di dalam pertuduhan Raja Petra itu sebagai tidak tepat, perkara tersebut juga boleh mengheret persepsi tidak baik masyarakat umum terhadap institusi kehakiman dan sistem perlembagaan negara.

Malah badan tersebut juga percaya tindakan SPRM menyiasat dakwaan itu boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem kehakiman.

JEJAS KEBEBASAN BADAN KEHAKIMAN

Bagi bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor, tindakan susulan yang diambil SPRM daripada pertuduhan Raja Petra adalah 'tidak kena' pada tempatnya.

Katanya, siasatan yang dilakukan oleh SPRM itu secara langsung melanggar doktrin pengasingan kuasa yang telah diamalkan di negara ini.

Selain itu menurutnya, tindakan SPRM itu juga boleh menjejaskan kebebasan badan kehakiman, memandangkan ia merupakan suatu tindakan yang jelas melanggar perlembagaan negara.

Perkara tersebut boleh menimbulkan persepsi tidak baik masyarakat umum kepada badan kehakiman, sekali gus bakal menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang mengendalikan keadilan buat seluruh rakyat serta negara.

Abdul Fareed

"Untuk itu, sebenarnya terdapat saluran atau mekanisme terbaik dalam menangani isu ini.

"Merujuk Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan, ia telah memperuntukkan kaedah khusus yang membolehkan sebarang aduan salah laku kehakiman dibuat," katanya kepada Sinar Harian.

Menerusi peruntukan perlembagaan tersebut tegasnya, perkara tersebut dapat ditangani dengan cara yang tepat, selain dapat memastikan keyakinan awam terus kekal yakin terhadap badan kehakiman negara.

Sebarang tindakan penyiasatan oleh SPRM boleh menjurus kepada percubaan berterusan untuk mengurangkan kredibiliti institusi yang dihormati.

Perkara seumpama itu harus dibendung segera bagi mengelakkan kesan buruk pada masa hadapan.

Sementara itu, diminta menjelaskan tindakan Raja Petra melemparkan tuduhan terhadap Mohd Nazlan, Abdul Fareed berkata, blogger tersebut sering kali menimbulkan pelbagai cerita di dalam blognya.

"Beliau hanya berani kerana berlindung di sebalik alam siber, selain berada jauh di United Kingdom (UK). Sekiranya beliau ada di Malaysia, mungkin beliau boleh disiasat.

"Malah kemungkinan beliau dipergunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan atas tujuan tertentu. Jika benar dakwaannya, beliau perlu datang ke Malaysia dan berikan penjelasan mengenai tuduhan tersebut," katanya.

TIADA SIAPA TERKECUALI DARIPADA UNDANG-UNDANG

Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Mohamad menegaskan secara ringkas bahawa tidak ada sesiapa yang boleh terkecuali daripada tindakan undang-undang.

Beliau berkata, semua orang boleh disabitkan dengan peruntukan undang-undang sekiranya melakukan kesalahan termasuk individu atau pihak yang berada dalam institusi kehakiman.

Ia termasuk kes yang melibatkan Mohd Nazlan setelah dikaitkan dengan wang lebih RM1 juta yang didakwa tidak dinyatakan sumber hasil di dalam akaun beliau.

Bagaimanapun melibatkan kes tersebut, Tun Hamid menjelaskan, beliau tidak tahu kenapa dan sebab mengapa Badan Peguam Negara membantah tindakan siasatan dilakukan oleh SPRM.

"Apa sebab Badan Peguam Negara membantah pun saya tidak tahu kenapa dilakukan.

"Jika ada maklumat yang boleh dipercayai menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat, ia perlu dilakukan.

"Jika tidak siasat, mana boleh tahu ada keterangan atau tidak," jelasnya ringkas.

DOUBLE STANDARD

Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn berkata, badan itu sepenuhnya menyokong hakim Malaysia yang bebas dan berintegriti.

Katanya, semua pihak perlu menghormati dan menjunjung integriti badan kehakiman sebagai institusi penting dalam menjalankan pelaksanaan keadilan.

Apa yang jelas kepada Majlis Peguam Malaysia ialah tidak sepatutnya wujud double standard oleh pihak berkuasa dalam menangani isu Mohd Nazlan.

Karen

"Atas dasar ini kami menuntut siasatan setara dijalankan oleh polis ke atas laporan yang dibuat oleh Mohd Nazlan mengenai dakwaan yang dibangkitkan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Raja Petra Kamarudin di blognya, Malaysia Today, bertarikh 20 April.

"Sebahagian daripada standard dwi seperti itu, Majlis Peguam Malaysia menyatakan bahawa Pejabat Ketua Daftar Mahkamah Persekutuan juga telah mengumumkan bahawa jawatan itu mengandungi tuduhan palsu, tidak berasas dan berniat jahat.

"Malah antara lain pertuduhan itu bertujuan mengganggu pentadbiran keadilan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, semua pihak sedia maklum bahawa badan kehakiman merupakan institusi yang mempunyai nilai tertinggi untuk kestabilan politik dan ekonomi di setiap negara.

Ia adalah syarat yang sangat diperlukan untuk kewujudan kedaulatan undang-undang, sekali gus menjadi badan kehakiman yang sentiasa bebas dan tidak berat sebelah.

Hakim secara peribadi perlu diberikan jaminan perlembagaan tertentu untuk melindungi mereka daripada pengaruh atau tekanan politik bagi menjamin kebebasan dan kesaksamaan mereka.

Badan Peguam Malaysia menyokong penuh usaha Ketua Hakim Negara dalam mengekalkan kebebasan badan kehakiman.

Semua hakim sewajarnya mempunyai ruang yang sesuai untuk melaksanakan tugas kehakiman mereka dengan cara yang jelas kepada semua.

"Majlis Peguam Malaysia tidak dapat menyokong persepsi negatif dan terburu-buru yang mungkin didesak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Selain itu, kami turut menggesa supaya tanggapan salah tersebut mesti ditangani segera.

"Jika tidak, satu lagi krisis keyakinan akan muncul melibatkan hak kebebasan dan kesaksamaan badan kehakiman dan pelaksanaan keadilan di negara ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca