SHAH ALAM - Hari Raya Aidilfitri dijangka kekal pada hari Selasa, berdasarkan pengiraan astronomi terkini.
Koordinator Pusat Angkasa di Universiti Sultan Azlan Shah, Norul Ridzuan Zakaria berkata, anak bulan 1 Syawal dijangka kelihatan pada hari Isnin, 2 Mei iaitu pada waktu Maghrib di ufuk barat.
Menurutnya, berdasarkan pengiraan astronomi, anak bulan itu akan berada pada ketinggian 6 darjah pada pukul 7.27 malam di Semenanjung Malaysia iaitu pada hari berkenaan, matahari terbenam lebih awal dari bulan, cukup lama membolehkan anak bulan berada cukup tinggi di atas ufuk.
"Kedudukan anak bulan lebih tinggi dari 5 darjah semestinya membolehkan anak bulan itu kelihatan, kecuali berlaku cuaca buruk atau pencemaran atmosfera sehingga menghalang kenampakan anak bulan ketika itu.
"Namun, Islam tetap mensyaratkan anak bulan ini semestinya dapat dilihat secara fizikal dengan bantuan peralatan optik seperti teleskop dan teodolit. Inilah sebenarnya kehebatan dan keindahan ajaran Islam,” katanya pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mana-mana saintis astronomi yang berpegang semata-mata kepada metodologi pengiraan tanpa pembuktian melalui pemerhatian fizikal adalah bertentangan dengan metodologi saintifik, yang mensyaratkan pengiraan atau mesti disempurnakan dengan pemerhatian fizikal.
Justeru, sebagai orang Islam yang benar-benar memahami ajaran Islam mestilah menyerahkan keputusan kenampakan anak bulan Syawal ini kepada pencerapan dan bukannya pengiraan anak bulan Syawal.
"Dengan izin ALLAH, pencerapan itu akan membuktikan pengiraan tersebut. Isu ini juga hendaklah ditangani secara positif.
"Sekurang-kurangnya kita dapat buktikan bahawa metodologi saintifik bukan sahaja tidak bertentangan dengan ajaran Islam, malah disyaratkan sepertimana pencerapan anak bulan Ramadan dan Syawal,” jelasnya.
SYARAT KENAMPAKAN ANAK BULAN
Sementara itu, pensyarah ilmu falak dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, format terpakai pada tahun ini adalah syarat kenampakan anak bulan yang terkini, mulai Muharram 1443.
Ia berdasarkan justifikasi anak bulan ada dan boleh kelihatan apabila ketinggian melebihi 3 darjah dan jarak sendengnya 6.4 darjah iaitu nilai syarat lebih tinggi berbanding sebelum ini.
"Kaedahnya, awal bulan dimulai apabila kelihatan anak bulan atau sifat fizikalnya melampaui syarat. Format ini terpakai kerana ini merupakan kaedah rukyah dan hisab dengan penggunaan syarat kenampakan anak bulan.
"Kaedah penyusunannya adalah berdasarkan kaedah-kaedah takwim hijri dan kaedah rukyah dan hisab iaitu sesuatu bulan hijri mengandungi 29 atau 30 hari. Jika kelihatan anak bulan, bulan Ramadan 29 hari dan jika tidak bulan Ramadan mengandungi 30 hari.
"Dalam kaedah-kaedah takwim, kemungkinan berpuasa adalah 29 hari atau 30 hari tetap ada. Takwim disusun berdasarkan data cerapan untuk satu tempoh masa yang panjang. Namun, dalam kajian eksperimental, kaedah pengesan atau teleskop yang digunakan, persoalan cuaca serta lokasi terbaik bagi kenampakan anak bulan,” ujar beliau.
Beliau yang juga Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) berkata, ketepatan sains itu relatif dengan kaedah kajian tetapi dapatan semasa inilah yang digunakan sebagai justifikasi kenampakan anak bulan.
"Sekiranya anak bulan kelihatan di mana-mana lokasi rasmi melihat anak bulan pada petang Ahad nanti, data baharu ini dijangka memberikan kesan terhadap kredibiliti syarat kenampakan anak bulan yang digunakan.
"Masyarakat diminta menerima keputusan rasmi nanti, sebagaimana mereka menerima penggunaan takwim sebagai panduan ibadat,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca