'RAKYAT Hakim Negara’ adalah slogan lama pada zaman Reformasi. Maksud tersuratnya, kalau keadilan tidak ditegakkan di mahkamah, maka ia akan ditegakkan dalam pilihan raya oleh pengundi. Kes Datuk Seri Najib Tun Razak kini berbeza sekali... Klik di sini untuk terus membaca

'RAKYAT Hakim Negara’ adalah slogan lama pada zaman Reformasi. Maksud tersuratnya, kalau keadilan tidak ditegakkan di mahkamah, maka ia akan ditegakkan dalam pilihan raya oleh pengundi.

Kes Datuk Seri Najib Tun Razak kini berbeza sekali dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu kerana ia bukan penganiayaan politik (political persecution), kecuali di mata penyokongnya.

Kalau ini penganiayaan politik, maka Najib adalah mangsa penganiayaan yang paling ‘murah rezeki’ kerana beliau telah ‘dimangsakan’ dengan kemasukan RM42 juta − dari SRC International milikan 1MDB ketika itu − ke dalam akaun banknya, ‘tanpa pengetahuannya’. Malah, beliau mungkin terus dimangsakan tanpa pengetahuannya jika menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Lain sekali dengan pengalaman orang kebanyakan. Biasanya wang dikeluarkan, bukan dimasukkan daripada akaun tanpa pengetahuan. Nampaknya nasib malang pun ada perbezaan ‘dua darjat’.

Kalau ini ‘penganiayaan’, maka terdapat dua jalan untuk mematahkannya.

Jalan pertama ialah dengan jalan politik ala ‘Rakyat Hakim Negara’. Najib tidak boleh bertanding dalam PRU15 kecuali jika rayuannya diterima oleh Mahkamah Persekutuan. Akan tetapi, sekali pun jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman beliau, jika sekutu-sekutu beliau menang besar, maka mereka bolehlah memohon pengampunan diraja bagi pihaknya.

Oleh itu, dengan hukuman 12 tahun di bahunya, bukan calang-calang hebat Najib dapat dijemput untuk berbuka puasa dengan ketua negara dan pemimpin lain.

Jalan kedua ialah jalan mahkamah, yakni mempersoalkan kesahihan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dan mewujudkan keadaan (circumstance) atau hujah yang boleh membawa kepada pembebasan Najib di Mahkamah Persekutuan.

Minggu lepas, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman 12 tahun ke atas Najib di pengadilan Mahkamah Tinggi tiba-tiba menjadi sasaran tohmahan seorang blogger di Manchester, United Kingdom.

Tanpa sebarang bukti, blogger ini mendakwa bahawa wang sejumlah RM1.036 juta telah dimasukkan ke dalam akaun Hakim Nazlan di Maybank.

KESUNGGUHAN LUAR BIASA

Hakim Nazlan menafikan tuduhan itu dan membuat laporan polis terhadap laman blogger Manchester. Sebelum sebarang tindakan diambil polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu membuka fail terhadap Hakim Nazlan kononnya kerana ada laporan dibuat ke atas beliau.

Yang anehnya, apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki didedahkan bahawa beliau pernah memiliki RM2 juta saham syarikat, melebihi had untuk pegawai kerajaan, SPRM ‘malas’ menyiasat fail sekali pun banyak laporan dibuat. Malah, Azam Baki sendiri elak persoalan oleh jawatankuasa Parlimen.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa salah laku hakim-hakim untuk Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan hanya boleh diadili oleh tribunal yang terdiri daripada hakim-hakim. Ini untuk melindungi kehakiman daripada penganiayaan politik oleh eksekutif.

Sungguhpun tuduhan jenayah hakim boleh disiasat oleh polis atau SPRM, namun kesungguhan luar biasa dan keghairahan SPRM untuk menyiasat Hakim Nazlan apabila tuduhan dibuat tanpa bukti mengundang persoalan tentang siapa ‘udang galah’ di sebalik batu.

Nampaknya isu Najib akan mewarnai PRU15. Dokumen Pas Leak yang kononnya terbocor pun isu masa keputusan Mahkamah Persekutuan dan PRU15.

Kalau sekali lagi ‘Rakyat Hakim Negara’, moga-moga kempen usaha gigih Rasuah Busters setahun ini sudah berjaya menyemai nilai moral di semua lapisan masyarakat untuk tidak mengejar kekayaan sehingga menghalalkan pencurian dan pencuri.

Berhemahlah hidup di dunia,

Jangan curi macam beruk.

Gunalah akal yang dikurnia,

Bezakan baik dari buruk.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca