SHAH ALAM - Tiada salahnya Pakatan Harapan (PH) mengadakan perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk persefahaman politik menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tanpa perlu melibatkan koalisi itu dalam khemah besar... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Tiada salahnya Pakatan Harapan (PH) mengadakan perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk persefahaman politik menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tanpa perlu melibatkan koalisi itu dalam khemah besar pembangkang.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini kerana kedudukan PN yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan di peringkat negeri, kini berstatus pembangkang setelah tidak lagi bersama dengan UMNO selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Jelas beliau, keadaan itu berbeza dengan kedudukan PN di peringkat Pusat apabila masih berada dalam kerajaan dipimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini.

"Saya ingin menjelaskan konsep khemah besar masih kekal bertujuan memperkukuhkan kerjasama kesemua parti dalam blok pembangkang sahaja bagi mendepani PRU15 akan datang.

"Kenyataan saya yang disalahertikan sebelum ini adalah saya bukanlah bermaksud mahu membawa Bersatu dan PN dalam khemah besar kerana koalisi itu tetap dianggap entiti berasingan.

"Cuma bagi saya, apa salahnya PH boleh berbincang dengan PN kerana keadaan di negeri sudah berbeza dengan mereka kini menjadi pembangkang selepas PRN Melaka dan Johor," katanya sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekeliruan mengenai konsep sebenar khemah besar pembangkang yang hendak dijuarai PH ketika ini.

Hal ini susulan kenyataan Ahli Parlimen Pulai itu meminta semua pimpinan parti pembangkang berjiwa besar untuk memaafkan dan melupakan perkara lalu demi merealisasikan pendekatan khemah besar.

Susulan kenyataan Salahuddin dianggap mengalu-alukan penyertaan PN, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusi PH sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya menegaskan pendekatan khemah besar tidak merangkumi kerjasama parti-parti kerajaan sama ada UMNO dan PN.

SALAHUDDIN


Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah memberi bayangan koalisi itu bersedia menyertai agenda khemah besar pembangkang, apabila menyatakan kesediaan berunding dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU15.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram menegaskan belum ada perbincangan rasmi di antara pimpinan PH dan PN bagi memeterai sekurang-kurangnya persefahaman politik (electoral pact) sesama mereka.

"Keputusan akhir mengenai perkara itu bagaimanapun akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH kelak. Paling tidak pun mesti ada satu understanding (persefahaman), kalau masuk PRU15 dalam keadaan satu pasukan, itu adalah opsyen terbaik.

"Usaha merealisasikan khemah besar dengan parti-parti pembangkang sedia ada pun sentiasa kita perkukuhkan, ini penting supaya rakyat yakin balik dengan PH," katanya.

RAZALI


Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris mengenepikan kemungkinan Bersatu dan PN akan tertarik menyertai khemah besar pembangkang memandangkan ia sekadar idea PH bagi mendepani PRU15.

Namun, beliau berpandangan formula kerjasama politik yang terbaik boleh dicapai di antara PN dan PH adalah menerusi perjanjian persefahaman politik (electoral pact) dalam memastikan tiada pertembungan lebih dua penjuru dengan UMNO-Barisan Nasional (BN).

"Kalau hendak dapatkan satu formula kemenangan PRU15, ego masing-masing kena buang. Namun jika mereka hendak lawan banyak penjuru, kita juga tetap akan lawan.

"PN cuba hendak cari formula elak pertembungan lebih dua penjuru sahaja. Sekiranya pemimpin PH tetap sombong enggan berbincang, mereka kena sedar jumlah undi popular diperolehi PN pada dua PRN Melaka dan Johor adalah lebih tinggi daripada mereka," katanya.

Razali juga menegaskan proses perbincangan kerjasama tidak rasmi di antara PN dan PH baru memasuki pusingan pertama dan yakin ia akan memberi keputusan positif dalam pusingan seterusnya.

Atas sebab itu, beliau menegaskan Bersatu dan PN tidak mahu ada terlalu banyak prasyarat atau prosedur perundingan di antara dua pihak, sebaliknya urusan itu diserahkan sahaja kepada ketua-ketua parti daripada PN dan PH.

"Sekiranya keberadaan DAP dalam PH atau isu calon Perdana Menteri menjadi batu penghalang kerjasama PH-PN, pimpinan kedua-dua koalisi perlu cari satu formula menang-menang.

"Mungkin untuk isu calon Perdana Menteri, kita boleh tentukan parti mana menang banyak kerusi, calon parti itu menjadi Perdana Menteri.

"Untuk isu DAP pula, saya yakin PN dan Pas boleh bekerjasama dengan mereka selagi mana DAP tidak melanggar prinsip beragama dan berperlembagaan yang dijunjung kami," katanya. Klik di sini untuk terus membaca