SUDAH lebih seminggu kontroversi melibatkan tuduhan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Ghazali. Daripada pembacaan Mat Taici, pada mulanya sebuah portal mendakwa Hakim Nazlan disiasat kerana gagal menjelaskan sejumlah wang RM1 juta... Klik di sini untuk terus membaca

SUDAH lebih seminggu kontroversi melibatkan tuduhan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Ghazali.

Daripada pembacaan Mat Taici, pada mulanya sebuah portal mendakwa Hakim Nazlan disiasat kerana gagal menjelaskan sejumlah wang RM1 juta di dalam akaun miliknya.

Ia disusuli dengan beberapa artikel mengaitkan Hakim Nazlan dengan penghakiman beliau dalam kes 1MDB dan SRC International melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehari selepas tuduhan tersebut, Hakim Nazlan segera membuat laporan polis berhubung artikel kononnya beliau disiasat berkaitan duit yang masuk ke akaunnya.

Laporan itu dibuat Nazlan bagi membersihkan namanya daripada tuduhan-tuduhan palsu portal tersebut.

Tuduhan portal yang pengendalinya nun jauh di bumi United Kingdom memang berat dan sudah tentunya sensasi.

Apatah lagi tuduhan yang dibuat itu jika benar bakal memberi impak besar bukan sahaja ke atas badan kehakiman negara, bahkan lebih menarik boleh menyebabkan keputusan ke atas Najib dipertikaikan.

Namun, seperti yang Mat Taici sebut tadi penekanannya ialah pada perkataan jika benar.

Bagaimanapun, tuduhan yang dibuat portal berkenaan tidak disusuli dengan pembuktian kukuh dalam portalnya.

Ia lantas menimbulkan banyak persoalan, adakah tuduhan tersebut satu perancangan dan konspirasi berniat tidak baik?

Ini kerana tanda-tanda ke arah itu agak jelas sebab pertamanya, pihak tersebut menggunakan portal yang pengendalinya kini berada di luar negara.

Pihak dan portal terbabit boleh membuat pelbagai tuduhan dan dakwaan, kerana dia tahu jika tuduhan itu tidak benar sekali pun, tiada siapa yang boleh mengambil tindakan ke atasnya kerana dia tidak berada di Malaysia.

Bagaimanapun Mat Taici nak ucapkan syabas juga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dengan pantas kini sedang menyiasat tuduhan ke atas Hakim Nazlan itu.

Mat Taici bukanlah nak memihak kepada sesiapa, bak kata orang, hakim atau majistret pun bukan malaikat.

Tetapi dalam kes ini SPRM memang laju dan bersemangat menyiasat. Ia agak berbeza dengan kes melibatkan bos SPRM sendiri sebelum ini.

Ia memerlukan desakan demi desakan dan laporan demi laporan polis sebelum pihak berkuasa mula menyiasat Tan Sri Azam Baki.

Azam mendapat perhatian ekoran pemilikan 1,930,000 dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada April 30, 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu - berkurangan kepada 1,029,500 setakat 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada waktu itu.

Dia turut memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016. Pada masa itu, Azam merupakan pengarah bahagian siasatan SPRM.

Ia mengundang pertikaian, antaranya daripada aspek konflik kepentingan.

Azam akhirnya mengaku akaun dagangnya digunakan adiknya, Nasir, bagi memperoleh saham berkenaan.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) kemudian menjalankan siasatan terhadap kes Azam adakah terdapat salah laku dalam dagangan tersebut.

Namun, yang mengejutkan tiba-tiba SPRM pula menjalankan siasatan ke atas (SC).

Pendek kata, 'Awak siasat saya, saya siasat awak'.

Pss: Banyak persoalan yang berada di minda, banyak tanda tanya dan kata puja...

Klik di sini untuk terus membaca