KUALA LUMPUR - Meskipun waktu menunjukkan jam 3 pagi namun sekurang-kurangnya 10 pengemis termasuk remaja dan lewat usia 50-an dilihat masih menjalankan aktiviti meminta sedekah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.
Tinjauan mendapati kedai makan menjadi lokasi tumpuan mereka selain di kaki lima jalan raya bagi menagih simpati orang ramai.
Menurut seorang peniaga kedai makan yang ingin dikenali sebagai Mohamad, pengemis akan berada di hadapan kedainya sehingga tamat waktu operasi pada jam 6 pagi.
"Mereka ini akan duduk di laluan masuk depan kedai untuk meminta sedekah. Ada juga yang jual tisu dan hanya akan beredar selepas kami tutup kedai.
"Kalau nak tengok ramai pengemis tunggu dalam jam 4 pagi (waktu bersahur), ketika itu memang ramai. Mereka akan duduk di lorong-lorong utama depan kedai,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengemis kanak-kanak berusia 13 tahun memaklumkan dia meminta sedekah bersama seorang kakaknya yang berusia 14 tahun bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Mereka masing-masing mampu memperoleh sekurang-kurangnya RM50 pada setiap malam.
"Duduk di depan kedai makan dari waktu berbuka puasa hingga lewat malam. Tapi saya bukan minta sedekah saja sebab ada sekali jual kacang dan pelitup muka.
"Dah lama mengemis sejak kecil lagi sebab ayah sudah tiada. Kami tinggal dengan emak dan dua lagi adik,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Golongan Asnaf dan Gelandangan Kuala Lumpur dan Selangor (KASGE), Mohd Rashdan Abd Rashid berkata, jumlah pengemis di beberapa lokasi tumpuan ramai di bandar besar seperti Kuala Lumpur pada waktu malam adalah 10 peratus lebih ramai berbanding siang hari.
Jelasnya, antara kawasan yang menjadi tumpuan pengemis ialah di sekitar Masjid India, Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan Jalan Chow Kit.
"Ini kerana pada waktu malam kedai makan yang beroperasi sehingga awal pagi akan dipenuhi pelanggan. Jadi waktu inilah mereka ambil peluang untuk mengemis.
"Sebagai contoh di Chow Kit, sebelum pandemik Covid-19 pun kita dapati bilangan pengemis ini lebih ramai pada waktu malam.
"Sekarang selepas banyak kelonggaran dalam fasa peralihan endemik, kita dapati jumlah pengemis meningkat secara mendadak selain faktor bulan Ramadan,” jelasnya.
Pengemis di beberapa lokasi di bandar utama sekitar Kuala Lumpur; Ipoh, Perak dan Georgetown, Pulau Pinang dilihat sanggup bersengkang mata sehingga lewat malam untuk meminta sedekah.
Tinjauan Sinar Harian mendapati golongan ini dari usia kanak-kanak hingga warga emas memilih lokasi tumpuan seperti kedai makan dan laluan pejalan kaki di tengah bandar bagi menagih simpati orang ramai.
Mereka mengemis atas beberapa faktor, malah ada yang tiada tempat tinggal dan hanya tidur di ruang hadapan deretan kedai dengan beralaskan kotak.
Klik di sini untuk terus membaca