GEORGETOWN - Terpisah dengan lima adik beradik, ibu lari untuk mencari kehidupan baharu sementara dia mengambil keputusan untuk bersama bapanya yang uzur.
Itu realiti kehidupan seorang remaja berusia 18 tahun yang hanya dikenali sebagai Ana.
Ana berkata, dia mengambil keputusan mengikut bapanya yang berusia 70-an untuk hidup di jalanan dengan meminta sedekah.
Kata anak ketiga itu lagi, dia dan bapanya yang hanya mampu terbaring tidak mempunyai kediaman sebaliknya hanya tidur di kaki lima kedai.
"Beginilah hidup saya, ikut bapa untuk hidup mengemis. Tak ada kerja yang saya boleh buat kerana nak jaga bapa, melainkan mengemis. Saya ada juga terfikir nak cari kerja tetapi bimbang dengan kesihatan bapa.
"Dia hanya terbaring dan tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri. Selepas ibu lari meninggalkan kami enam beradik, hanya saya ikut bapa, yang lain semua ada di kampung di Alor Setar, Kedah,” katanya ketika ditemui di Jalan Masjid Kapitan Keling di sini.
Sementara itu, Khalisah (bukan nama sebenar), 51, yang mengemis sejak kecil berkata, dia dibuang keluarga sejak bapa dan ibu angkatnya meninggal dunia ketika dia masih kecil.
Menurutnya, disebabkan tiada tempat bergantung, dia tiada pilihan untuk meneruskan kehidupan melainkan meminta sedekah di Jalan Masjid Kapitan Keling.
"Saya bukan tak mahu bekerja tetapi saya ada penyakit sawan. Pernah kerja dua hari saja, majikan suruh saya berhenti kerana penyakit saya itu.
"Ibu bapa kandung masih ada tetapi di Kedah. Mereka pun sudah uzur. Saya tidak mahu ganggu mereka. Biarlah hidup saya selamanya begini,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di kawasan perhentian bas Prangin Mall di sini mendapati jumlah peminta sedekah dan gelandangan bertambah pada bulan Ramadan, malah ada yang sanggup menjadikan kawasan itu sebagai kediaman sementara bagi menantikan rezeki mudah pemberian orang ramai.
Klik di sini untuk terus membaca