DALAM riuh-rendah khemah politik Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), moleklah kita mendalami khemah yang lebih luas iaitu ‘kerukunan hidup bersama dalam budaya damai’ (Siddik Fadzil). Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama. Kepelbagaian... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM riuh-rendah khemah politik Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), moleklah kita mendalami khemah yang lebih luas iaitu ‘kerukunan hidup bersama dalam budaya damai’ (Siddik Fadzil).

Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama. Kepelbagaian ini wujud dengan aman dan harmoni. Namun, terdapat beberapa isu di sana sini. Ia perlu ditambah baik.

Dalam konteks ini, kita perlu memurnikan dua perkara asas. Pertama, menangani politik perkauman. Ia merujuk seseorang yang berasa atau menunjukkan kebencian terhadap seseorang daripada kaum yang lain.

Ia juga merujuk sesuatu kerajaan yang mencipta kaum tertentu dan mengizinkan diskriminasi kaum berlaku iaitu dari segi penggunaan undang-undang, dasar-dasar dan institusi-institusi awam yang melibatkan kaum untuk memenangi pilihan raya atau kekal berkuasa (Jill Vickers & Annette Isaac).

Kita seharusnya lebih memahami ‘orang lain’. Ini akan membolehkan kita bukan sekadar bertoleransi dengan orang lain tetapi lebih penting lagi meningkatkan kefahaman sehingga menyukai dan merayakan kehadiran orang lain.

Di samping itu, kita mesti bersungguh-sungguh mengelakkan elemen-elemen politik perkauman, khususnya dalam berkerajaan daripada berleluasa.

PENDEKATAN WASATIYYAH

Kedua, meningkatkan pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) dalam kalangan rakyat yang mengamalkan agama berbeza.

Al-Quran menyatakan bahawa Islam "rahmat untuk semesta alam” (al Anbiya: 107). Kita perlu merayakan kepelbagaian kerana sekiranya ALLAH mahu "Dia boleh mencipta kamu daripada satu umat saja.” (an Nahl: 93) tetapi ALLAH "mencipta kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali.” (al Hujurat: 13).

Kita harus menegakkan kebebasan beragama kerana "Tiada paksaan dalam beragama.” (al Baqarah: 256). Islam melarang mengata agama lain: "Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain ALLAH.” (al An’am: 108).

Sebaliknya, berinteraksilah dengan penganut agama lain dengan "berlemah lembut” (al Imran: 159) dan "janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat dengan takwa.” (al Maidah: 8).

Oleh sebab kedua-dua perkara asas itu adalah perkara yang lama, maka sebahagian kita tidak menganggapnya penting. Atau tidak menganggapnya masalah. Sebahagian mungkin menerimanya seadanya kerana menganggap tidak boleh diubah, manakala sebahagian mungkin menggunakannya untuk kepentingan diri.

Terdapat pelbagai kaedah menanganinya. Contohnya, dengan menghayati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan dan kedudukan yang adil dari segi kaum serta agama.

Tetapi, pokoknya adalah meningkatkan perhubungan dan perundingan antara semua pemegang taruh (kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil) dan sesama rakyat dengan "kebijaksanaan dan dialog.” (an Nahl:125)

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca