BEBERAPA tahun lalu teknologi komunikasi sering disalahkan kerana menjadi faktor sambutan Aidilfitri hambar dalam kalangan keluarga. Anak muda dikatakan melekat di depan televisyen menunggu pelbagai hidangan filem dan sinetron raya.
Sambutan Aidilfitri tahun ini juga bakal menyaksikan senario serupa tetapi latar teknologi mungkin berbeza. Selepas dua tahun tidak dibenarkan pulang berhari raya, pasti ramai yang memiliki pelbagai idea untuk bercerita tentang sambutan Aidilfitri di kampung.
Selepas video call (VC) mewarnai sambutan Aidilfitri 2021, penulis meramalkan tahun ini takhta sosial media akan didominasi TikTok. Malah, sepanjang sambutan Ramadan, pelbagai rakaman dan gelagat manusia dirakam serta dimuat naik menerusi TikTok.
Penulis juga percaya, selepas menerima RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ada yang sanggup berbelanja membeli telefon pintar memiliki ciri-ciri high-end demi menghasilkan TikTok berkualiti sepanjang sambutan Aidilfitri nanti.
Penulis mendapati tindakan TikTok dalam format video bersaiz byte banyak memainkan peranan untuk mengatasi rakan sosial media yang lain seperti Facebook atau Instagram.
Meskipun tujuan asal teknologi TikTok untuk mendominasi Generasi Z dan Y, namun dalam masa sangat singkat, ia menguasai segenap minda pelbagai lapisan masyarakat termasuk Generasi X dan Baby Boomers, tidak terkecuali golongan tua, alim ulama serta tokoh politik.
Penulis juga pasti sepanjang Aidilfitri ini, ‘kaki TikTok’ akan memburu #FYP (For Your Page) untuk memuat naik video masing-masing. FYP banyak memainkan peranan dalam memanipulasi jumlah komen dan like kepada TikTok ciptaan pengguna serta berpeluang menjana pendapatan tambahan lumayan.
Sebenarnya senario itu telah ALLAH SWT sampaikan melalui Surah al-Israa’ [17:7] bermaksud, "Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik untuk diri kamu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka kejahatan itu untuk diri kamu sendiri.”
Dianggarkan angka penggunaan dan penghasilan video TikTok di Malaysia akan melonjak naik sehingga melepasi angka 20 juta sepanjang sambutan Aidilfitri nanti.
Sehingga Januari lalu, Statistica.com melaporkan Amerika Syarikat (AS) mempunyai pengguna TikTok terbesar setakat ini melebihi 131 juta pengguna, diikuti Indonesia (92 juta), Brazil (74 juta), Rusia (55 juta) dan Mexico (46 juta). Malaysia di tempat ke-10 dengan anggaran sekitar 15 juta pengguna atau hampir 50 peratus jumlah penduduk.
POPULAR
Penulis cuba mencari faktor utama kenapa dan bagaimana TikTok menjadi sangat popular dalam tempoh singkat.
Sejak dilancarkan pada 2017, populariti TikTok berkembang pesat. Pada Oktober 2018, ia muncul aplikasi foto dan video paling banyak dimuat turun di Appstore seluruh dunia. Aplikasi itu mengumpul lebih 500 juta pengguna aktif bulanan pada tahun tersebut. AS menjadi negara paling popular dan lebih 80 juta kali dimuat naik dalam tempoh sebulan.
Antara punca ialah TikTok menerima sokongan padu selebriti terkenal seperti Jimmy Fallon yang memulakan program rancangannya dengan menggunakan TikTok sebagai platform utama mulai November 2018.
Beliau mengajak penontonnya menyertai #TumbleweedChallenge dan menyebarkan video TikTok tentang diri mereka. Program tersebut mengumpul lebih 8,000 penyertaan dan 10.4 juta program dalam tempoh seminggu.
Satu lagi faktor pemacu utama TikTok menjadi popular dalam tempoh singkat ialah ia mempunyai tumpuan kuat pada kandungan setempat atau localized content (LC). Aplikasi itu sering menjalankan peraduan dan cabaran tempatan serta ‘menangkap’ arah aliran tempatan melalui penggunaan hashtag menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Kenapa TikTok menimbulkan ketagihan kronik? Sekiranya TikTok dibuka, video baharu dimainkan secara automatik. Algoritma TikTok melakukan kerja yang baik dalam memilih video untuk dinikmati pengguna. TikTok sentiasa berusaha meningkatkan konsep algoritmanya untuk dikagumi pengguna.
Ringkasnya, TikTok aplikasi sangat menghiburkan dan boleh menimbulkan ketagihan. Aplikasi TikTok juga berpotensi menjadi platform pemasaran dan rangkaian sosial yang besar seterusnya boleh memberi impak besar kepada kebaikan sekira digunakan dengan betul.
Kesimpulan penulis percaya peredaran masa menyaksikan sambutan Aidilfitri di negara ini akan terus didominasi pengaruh teknologi baharu sosial media. Suka atau tidak, akan timbul lagi pelbagai aplikasi baharu untuk memikat hati pengguna. Mungkin istilah ‘tabu’ pada era 1950-an dan 1960-an tetapi tidak sekarang. Malah, tahun ini juga timbul istilah ‘siberturahim’.
Klik di sini untuk terus membaca